Malaysia Dateline

Aktivis gesa hentikan gangguan seksual di sekolah

Baru-baru ini kita dikejutkan di media sosial dengan aduan seorang pelajar perempuan mengenai lawak rogol yang diutarakan oleh seorang guru PJK sewaktu berdiskusi perihal gangguan seksual.

Apabila isu ini dibawakan kepada guru kaunseling, guru tersebut mengatakan bahawa ianya – hanya gurauan biasa semata-mata.

Setelah isu ini menjadi tular di media sosial, pelajar tersebut telah diugut juga oleh rakan sekelasnya untuk dirogol kerana mengangkat isu ini.

Menjadi lebih keruh, apabila terdapat juga netizen yang menyokong tindakan guru tersebut. Ada yang mengatakan bahawa lawak dewasa adalah keperluan untuk mengakrabkan lagi hubungan sesama dengan pelajar dan guru.

Lebih membimbangkan lagi apabila Timbalan Ketua Polis Negara sendiri mengakui bahawa ugutan rogol tersebut hanyalah gurauan rakan sedarjah semata-mata.

Kenapa isu ini sangat serius dan perlu diberi perhatian?

Masalah rogol bukanlah perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka. Mangsa rogol akan dihantui dengan trauma, ketakutan dan sentiasa berasa tidak selamat.

1 daripada 3 mangsa rogol mempunyai kecenderungan dan merancang untuk membunuh diri manakala 13 peratus akan membuat cubaan membunuh diri.

Apakah perkaitan ini dengan lawak rogol?

Perkara ini sebenarnya termasuk dalam satu garis perubahan tindakan dalam budaya menormalisasikan rogol (Rape Culture). Bermula dengan proses menormalisasikan lawak rogol, seksisme dan ‘catcalling’.

Ianya akan memburukkan lagi penerimaan ‘rape myth’, iaitu persepsi dan tanggapan yang salah terhadap mangsa dengan menyalahkan, memalukan, memanipulasi dan mengugut mangsa. Sehinggalah kemuncaknya berlaku serangan iaitu kelakuan rogol.

Memang tidak dapat dibayangkan perkara sekecil lawak rogol dapat menyebabkan impak seteruk itu, tetapi kajian daripada Washington & Jefferson College telah menunjukkan lawak rogol dapat meningkatan penerimaan rape myth. Hal ini adalah selangkah mendekati perbuatan rogol.

Kesan lawak rogol tidak terhenti hanya di situ, ianya juga menjejaskan psikologi pelajar. Sebuah kajian yang dijalankan dalam kalangan pelajar 11, 13 dan 15 tahun di Sweden untuk mengenal pasti hubungan antara pendedahan kepada lawak seksual dengan kadar aduan psikologi pelajar.

Hasil kajian menunjukkan pelajar yang terdedah dengan lawak seksual mempunyai kadar aduan masalah psikologi yang tinggi.

Manakala, pelajar yang terdedah secara tidak langsung juga mendapat kesan negatif daripadanya. Aduan masalah psikologi ini adalah termasuk stress, tekanan jiwa, kemurungan dan paranoia.

Persoalan yang masih belum terjawab daripada isu ini adalah sejak bilakah jenaka rogol dianggap sebagai norma?

Sejak bila ugutan rogol dilihat sebagai gurauan? Sebenarnya masalah ini sudah lama berlaku, tetapi pelajar sering berdiam diri apabila berhadapan dengan masalah ini.

Terma yang lebih tepat untuk menerangkan situasi yang berlaku ialah gangguan seksual, kerana ia merangkumi masalah lawak rogol dan mengugut untuk melakukan perbuatan merogol.

Alasan pertama kenapa pelajar mendiamkan diri ialah kerana kurang kesedaran bahawa gangguan yang dihadapi di sekolah adalah perkara yang salah.

Terma gangguan seksual tidak hanya tertakluk kepada gangguan fizikal tetapi juga merangkumi gangguan lisan seperti lawak seksual, komen seksual terhadap tubuh badan, isyarat seksual dan sentuhan yang tidak diingini.

Kedua, kegagalan sekolah dalam menangani isu ini secara berkesan kerana kecenderungan sekolah untuk menjaga imej berbanding mengakui kesalahan. Malah mereka memikirkan kepentingan mengekalkan guru yang bermasalah kerana guru itu guru mempunyai prestasi yang cemerlang.

Ketiga, masalah kemaskulinan beracun yang berlaku dalam masyarakat. Stereotaip yang sering berlaku ialah apabila pelajar lelaki merasakan mereka lebih dominan berbanding pelajar perempuan.

Mereka merasakan boleh untuk melakukan gangguan seksual kerana perempuan adalah lebih lemah, perkara ini dibuktikan dalam kajian oleh University of Aberdeen bahawa kemaskulinan beracun ini mempertingkatkan gangguan seksual.

Setiap pihak harus memainkan peranan dalam usaha untuk mengekang penularan masalah ini.

Pentadbiran sekolah hendaklah menjadi lebih bertanggungjawab dalam mendepani masalah gangguan seksual. Sifat keterbukaan dalam mengakui masalah yang berlaku adalah antara cara boleh dilakukan untuk memupuk ketelusan di sekolah.

Hatta, imej sekolah akan menjadi lebih baik apabila sekolah berjaya mengurangkan masalah ini daripada berlaku.

Kita tidak boleh memilih bulu dalam ingin mengenakan tindakan dan guru yang bersalah seewajarnya dipertanggungjawabkan atas kesalahannya. Melalui ini, guru-guru juga akan berwaspada dalam perkataan yang ditutur dan perbuatan yang dilakukan.

Selain itu, perlu ditambahkan dalam silibus pembelajaran semasa mengenai hormat terhadap jantina berlainan. Pembelajaran ini merangkumi kepentingan untuk menghormati antara satu sama lain, peranan jantina, stereotaip yang bermasalah, dan perkara-perkara yang boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual.

Apabila perkara ini dijalankan, pelajar dapat lebih memahami tanggungjawab jantina masing-masing dan tidak memandang lebih hebat berbanding jantina lain.

Tidak terhenti disitu, pelajar juga akan mendapat kesedaran mengenai batas-batas dalam pergaulan dan pemahanan mengenai gangguan seksual kerana harus diakui dalam keadaan semasa pelajar tidak menyedari mereka sedang melakukan perkara tersebut.

Ketiga, menggalakkan pelajar untuk bersuara mengangkat isu dan membuat aduan. Melalui pembudayaan ini, pelajar dapat menjadi lebih kritikal dan lebih cakna mengenai perkara yang berlaku disekeliling.

Walaupun begitu, cadangan ini hendaklah disertakan sekali dengan ruangan selamat untuk pelajar membuat aduan yang bebas daripada ugutan guru dan pihak-pihak lain.

Saluran yang boleh dicadangkan adalah pelajar membuat aduan kepada Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) bagi tindakan susulan mengenai masalah tersebut.

Katakan tidak pada lawak rogol, dan hentikan normalisasi budaya lawak lucah. Percayalah, persekitaran sekolah adalah antara perkara yang mempengaruhi pembentukan modal insan.

Jadi pastikan kita bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan selamat untuk para pelajar.

——————————————
Penulis merupakan aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia dan Pelajar Fakulti Pendidikan UiTM