Malaysia Dateline

Aktivis Indonesia dakwa pelancongan suburkan pemerdagangan seks kanak-kanak

Pelancongan dan seks kanak-kanak (pedophilia) bagaikan dua sisi matawang, termasuk juga di Indonesia.

Koordinator Hentikan Pelacuran, Pornografi Kanak-kanak dan Pemerdagangan Kanak-kanak Untuk Tujuan Seksual (ECPAT) Indonesia Ahmad Sofyan berkata, jumlah pelancong yang berkunjung ke Indonesia hingga 2017 berjumlah 9.25 juta atau meningkat 25.68 peratus dari tahun sebelumnya.

Sektor pelancongan, ujarnya memberikan sumbangan besar kepada hasil negara, namun di sisi lain, limpahan para pelancong ke Indonesia juga memberi banyak kesan negatif. Salah satunya adalah pemerdagangan seks kanak-kanak.

“Pemerdagangan seks kanak-kanak berlaku di destinasi pelancongan. Eksploitasi yang paling ketara adalah meningkatnya pelacur kanak-kanak,” ujar Sofyan dalam program diskusi di Cikini, Jakarta Pusat, semalam.

Beliau menambah, peningkatan sektor pelancongan di negara itu didorong oleh permintaan yang tinggi dari para pelancong sehingga kerap kali diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggung jawab untuk menyediakan khidmat pelacuran kanak-kanak.

Anggota sindiket pemerdagangan seks kanak-kanak yang tumpas di Indonesia.

Situasi itu tambah membimbangkan apabila sejumlah pedofil (penggemar seks kanak-kanak) dikesan masuk ke destinasi pelancongan Indonesia.

Berdasarkan laporan Direktorat Jenderal Imigrasi Kementerian Hukum dan HAM, hingga September 2017 seramai 107 orang yang diduga sebagai pedofil telah diusir setibanya mereka di beberapa lapangan terbang di Indonesia.

Berdasarkan maklumat itu, Sofyan berkata pihaknya kemudian melakukan analisis terhadap 13 kes pengusiran yang diduga pedofil tersebut dan hasilnya, 12 di antaranya bertujuan melancong ke Bali.

“Majoriti warga Australia yang ingin melancong ke Bali,” kata Sofyan.

Di samping itu, mereka yang disyakki pedofil menggunakan penerbangan murah untuk masuk ke Indonesia.

Sofyan juga mendedahkan laporan media antarabangsa yang menyatakan Indonesia adalah salah satu pilihan destinasi bagi para pedofil.

“Kerana itu kami mendesak agar pemerintah melakukan langkah-langkah yang lebih konkrit. Kementerian terbabit belum melakukan kolaborasi yang konkrit bagaimana menyelamatkan destinasi pelancongan kita,” ujarnya.

Beliau turut menggesa pengusaha pelancongan dan orang ramai bersama melakukan langkah pencegahan dan perlindungan. – KOMPAS.com