Malaysia Dateline

Aina Sayuti

Aktivis kesal cadangan sampah dijadikan duit dipersenda

Percubaan untuk menarik perhatian ramai tentang bahaya dan kerugian akibat cara pelupusan sampah di Kelantan yang mendapat cemuhan netizen amat dikesali aktivis.

Ketua srikandi PKR Kota Bharu, Aina Sayuti yang juga aktivis sosial dan alam sekitar terkejut kerana ada yang memaki hamun secara tidak berakhlak di media sosial berhubung cadangannya supaya sampah dijadikan duit.

“Saya tetap meneruskan gagasan perjuangan yang Insya-Allah akan terus saya perjuangkan iaitu sampah adalah duit.

“Benda ini telah diamalkan di beberapa negara maju seperti Jepun dan Jerman.

“Di negara kita, sampah menjadi liabiliti kepada PBT dan kerajaan.

“Bahkan secara purata, kos penyelenggaraan sisa pepejal boleh menelan belanja hingga 40 peratus bajet tahunan PBT,” katanya dalam satu status Facebooknya.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada semua yang memberi respon terhadap isu sampah yang dibangkitkan PKR Kota Bharu.

“Respon anda semua membuat saya terfikir, betapa banyak lagi kerja yang perlu dibuat untuk tumbangkan kezaliman pemerintah.

“Betapa saya sedar, pemerintah yang ada telah semakin hari semakin mengelirukan rakyat,” katanya.

Menurutnya beliau memuat naik aksi swafoto menunjukkan dia jujur tanpa bersembunyi membawa permasalahan ini ke tengah perbincangan media sosial.

“Ada sesetengah orang mengambil pendekatan menyembunyikan wajah, hanya bawa isu.

“Bagi saya, saya perlu bertanggungjawab atas persoalan yang saya bangkitkan,” katanya.

Beliau percaya, dengan iltizam politik, kehidupan akan menjadi lebih baik.

“Sampah akan menjadi rezeki buat rakyat. Bau busuk tiada lagi. Alam sekitar tidak tercemar dengn air sisa sampah.

“Bahkan impian para pengkritik saya mahu kawasan sampah menjadi wangi dan boleh jogging akan menjadi satu realiti,” katanya.

Kepada rakan-rakan yang memaki hamun, Aina berharap mereka menunjukkan akhlak yang baik.

“Sebagaimana saya kenali kalian di dalam satu saf perjuangan sewaktu ketika dahulu, saya masih orang yang sama.

“Beza kita adalah platform kepartian.

“Tidak mungkin pakaian kita yang sudah berbeza mengubah matlamat kita yang sama, iaitulah menjatuhkan pemerintah yang zalim.

“Rasanya kita masih percaya bahawa menyatakan kebenaran dihadapan pemerintah yang zalim adalah jihad yang utama,” kenyataannya dipetik.