Aktivis mahu tindakan lebih keras ke atas Myanmar

Aktivis mahu tindakan lebih keras ke atas Myanmar

Aktivis yang memperjuangkan nasib penduduk Rohingya menggesa tindakan lebih keras diambil ke atas Myanmar atas jenayah kejam yang dilakukan pihak tentera negara itu terhadap majoriti kelompok etnik Islam Rohingya.

Gesaan itu dibuat selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (US), Rex Tillerson dalam satu sidang akhbar bersama pemimpin de facto Myanmar Aung San Suu Kyi di bandar Naypyitaw baru-baru ini berkata, beliau tidak bersetuju Myanmar “dikenakan sekatan ekonomi secara meluas”.

Tillerson hanya bersetuju sekatan individu dibuat ke atas pegawai-pegawai tentera terbabit berdasarkan “maklumat yang dipercayai dan berwibawa” tentang penglibatan mereka dalam jenayah kejam tersebut, demikian laporan Aljazeera.

Kira-kira 600,000 etnik Rohingya melarikan diri dan menjadi pelarian di Bangladesh akibat jenayah kejam tentera Myanmar.

Mengulas mengenai gesaan Tillerson supaya siasatan bebas dibuat, Tun Thin, Presiden Kesatuan Burma Rohingya yang berpengkalan di United Kingdom (UK) berkata, bagaimanakah siasatan seperti itu boleh dibuat sedangkan tentera Myanmar tidak membenarkan sebarang misi mencari maklumat dan fakta dilakukan.

“Penduduk Rohingya diperlakukan dengan kejam dalam abad ke-21. Sekarang waktu untuk bertindak. Apa yang AS dan komuniti antarabangsa lakukan tidak cukup,” kata Tun Khin.

Menurut satu laporan yang diterbitkan Selasa lalu oleh Holocaust Memorial Museum and Fortify Rights Amerika Syarikat, terdspat “terlalu banyak bukti” kekejaman dilakukan ke atas penduduk Rohingya di Myanmar.

“Jenayah ini meningkat tanpa tindakan diambil,” kata Matthew Smith, ketua pegawai eksekutif Fortify Rights dalam satu kenyataan.

“Kecaman sahaja tidak memadai. Tanpa tindakan segera peringkat antarabangsa, lebih banyak pembunuhan beramai-ramai akan berlaku.”

Siasatan pelbagai pihak sukar dilakukan ke atas kes kekejaman tentera Myanmar kerana halangan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat dan fakta.

Tun Khin menggesa sekatan khusus dilakukan terhadap tentera Myanmar yang telah mengusir kira-kira 600,000 penduduk Rohingya dari wilayah barat Negeri Rakhine ke negara jiran Bangladesh sejak Ogos lalu.

“Setiap hari penduduk Rohingya dibunuh dan rumah mereka dibakar. Sudah dua bulan setengah ia berlaku sejak tentera memulakan tindakan ganas, dan kini ia terus dilakukan,” katanya.

“Kami menuntut supaya Myanmar dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan pasukan pengaman PBB diltempatkan di Myanmar untuk melindungi nyawa penduduk Rohingya. Kami juga mahukan mandat PBB mengenakan sekatan senjata secara global ke atas negara itu.”

Pemerhati hak asasi manusia juga mengecam laporan tentera Myanmar yang mengatakan bahawa tiada orang awam Rohingya dibunuh dalam operasi tentera bagi membalas serangan berani mati ke atas tentera oleh kumpulan pemberontak Rohingya.

Ro Nay San Lwin, seorang aktivis Rohingya yang berpengkalan di Jerman berkata, tentera Myanmar tidak akan mengaku salah atas jenayah yang dilakukan mereka kepada penduduk Rohingya – jenayah yang dilakukan sejak 39 tahun lalu.

“Mereka juga turut melakukan banyak jenayah ke atas kaum minoriti yang lain seperti Karen, Kachin dan Shan,” kata Ro Nay San Lwin.

Tentera Myanmar telah menukarkan Major General Maung Maung Soe, yang merupakan dalang operasi kejam ke atas penduduk Rohingya, ke jawatan yang lain.

Tetapi menurut Ro Nay San Lwin, itu hanyalah “amalan perhubungan awam”.

“Mereka mahu menunjukkan bahawa tindakan telah diambil sebelum Tilleson mengadakan lawatan.”

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote