Aktivis masyarakat, Mona Din memohon Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang juga Pengerusi Bernama supaya menyiarkan liputan perbicaraan sepanjang empat hari membabitkan seorang remaja Sindrom Down, Bella.
“Mohon Bernama tolong siarkan liputan perbicaraan pada 4, 5, 6 dan 7 April.
“Saya dan rakyat betul-betul mahu tahu butir-butir keterangan dari empat saksi-saksi tersebut, terutamanya daripada tiga doktor pakar.
“Tolonglah YB,” rayunya hari ini yang menyokong kempen kesedaran awam, Justice4Bella.
Reaksi Mona itu susulan jaminan Ras Adiba bahawa Bernama akan terus memberikan liputan dari semasa ke semasa berhubung kes Bella yang didakwa disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Rumah Bonda.
Semalam, Ras Adiba yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara berkata, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes mahkamah membabitkan Bella.
Menurutnya, beliau mengikuti kes itu secara dekat walaupun secara peribadinya tidak dapat hadir ke perbicaraan kerana prosedur operasi standard Covid-19 ketika ini, mengehadkan kehadiran pihak tidak berkaitan.
“Bagaimanapun, memandangkan kes ini sedang berjalan, saya menerima nasihat dari segi perundangan, saya tidak seharusnya membuat sebarang kenyataan berkaitan kes itu kerana ia mungkin boleh mengganggu proses undang-undang.
“Saya mendapati tidak adil apabila kenyataan yang dibuat seorang individu yang mengatakan beliau berjuang untuk Bella, terutama apabila mendakwa saya tidak mengambil peduli atau saya tidak hadir ke mahkamah semasa perbicaraan kes Bella sedang dijalankan,” jelas Ras Adiba dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, dalam satu hantaran terkini di Facebook, Mona yang mendakwa telah berkecimpung selama 16 tahun dalam bidang media mempersoal mengapa tiada liputan berita berkenaan perbicaraan Bella antara 4 hingga 7 April lalu.
“Dalam kes seperti adik Bella, empat hari perbicaraan secara berturut-turut, keterangan oleh tiga saksi doktor pakar, tapi waima satu media pun tak cover, tak pelik ke?” tegasnya.
Kes Bella, 13, yang menarik perhatian orang ramai tahun lalu menyaksikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa di mahkamah.
Siti Bainun yang pernah menerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno pada 2016 itu didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun yang juga pernah bertanding dalam pemilihan Puteri Umno pada 2018 itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Siti Bainun tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Pada 8 April lalu, seorang penghuni Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa dia menggigit perut Bella atas arahan Siti Bainun.
Yasmin Nahar Mahmood, 18, berkata Siti Bainun mengarahkannya untuk berbuat demikian kerana Bella tidak mengikuti arahan tertuduh untuk berdiri di bahagian dobi sebuah unit kondominium yang didiami mereka di Wangsa Maju.
Ekoran kejadian itu, Yasmin memberitahu Siti Bainun naik berang dan mengarahkannya untuk mengambil picagari berisi air panas untuk dipancutkan kepada Bella sebagai hukuman kerana tidak mendengar cakapnya.
“Saya lihat Bella menggelupur tetapi dia tidak menjerit kesakitan…melihatkan keadaan itu, Siti Bainun semakin marah dan arahkan saya untuk gigit perut Bella,” jelasnya.
Yasmin berkata demikian ketika dirujuk dengan sekeping gambar Bella yang terdapat kesan gigitan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi dijadualkan bersambung 13 April depan.
Baca: 7 pendedahan terkini saksi, adik Bella dipaksa makan najis, 20 biji cili dan disimbah air panas
Baca: Anak hanya puasa separuh hari, Mufti beri penjelasan hukum puasa bagi kanak-kanak