Aktivis pertikai tiada peruntukan alam sekitar dalam Bajet 2018

Abrary Ramly berucap menjelaskan mengenai permasalahan air di Johor.

Aktivis alam sekitar di negeri Johor mempertikaikan mengenai ketiadaan peruntukan buat alam sekitar dalam Bajet 2018 yang dibentangkan baru-baru ini untuk disalurkan khusus kepada pemulihan alam sekitar yang sedang mengalami masalah terutamanya di negeri Johor.

Menurut Pengarah Pusat Peduli DUN N35 Pasir Raja, Abrary Ramly, perkara ini jelas dapat dilihat iaitu pada 28 Oktober 2018, sekali lagi catuan air di selatan negeri itu terpaksa dibuat akibat tahap ammonia yang tinggi dari sumber air loji rawatan.

Abrary berkata, penutupan sementara operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semanggar, Sg Johor dan Tai Hong dihentikan akibat pencemaran sumber air yang disalurkan ke loji rawatan berkenaan terutamanya dari Sungai Johor.

“Bajet 2018 adalah belanjawan yang membelakangkan soal pemulihan alam sekitar dan sememangnya belanjawan tersebut dibuat tanpa memikirkan masalah rakyat yang terpaksa berhadapan dengan permasalahan sungai tercemar di negeri ini.

“Sebelum ini pihak kami telah berulang kali mengemukakan soal pencemaran sungai yang menjadi semakin kronik dengan catuan yang terpaksa dibuat sehingga boleh dikatakan setiap bulan.

“Saya berharap pada Belanjawan Negeri Johor yang akan dibentangkan kali ini, soal permasalahan pencemaran sungai yang berlaku di seluruh negeri ini perlu disebut dan tindakan segera terhadap kilang-kilang yang menyumbang kepada berlakunya aktiviti-aktiviti pencemaran diambil,” ujar Abrary Ramly.

Dalam masa sama, Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mejar Zaidi menyatakan, di negeri yang ditadbir DAP itu, selama ini, tidak pernah sekali pun tindakan mencatu air dibuat.

CATEGORIES
TAGS