Aktivis pro-Umno kecam Adun AMANAH Johor

Aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor mempertahankan Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin mengenai miskin sifar di negeri itu.

Aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor mengecam kenyataan Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan bahawa Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berbohong mengenai kemiskinan sifar di negeri itu.

Ketua Penyelidiknya Fikri Allaudin dan juga Biro Penulisan Politik persatuan Hasim Md. Jani berkata, pendirian Aminolhuda seolah-olah tidak mengiktiraf kejayaan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor.

Mereka juga menuduh Aminolhuda cuba mencari tempat bagi menenggelamkan pengaruh Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub untuk merebut calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) di Johor.

“Dengan tuduhan MB Johor sebagai pembohong, benarlah beliau (Aminolhuda) mengakui bahawa kini terbukti banyak kejayaan dan pencapaian yang sedang dicatatkan oleh negeri Johor.

“Semua agenda pembangunan dan pencapaian tersebut dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bukannya pembangkang dan yang pelik bin ajaib jika pembangkang pula yang mengambil kredit dalam isu kejayaan ini.

“Barangkali ini adalah antara strategi Aminolhuda dalam usaha menenggelamkan populariti Salahuddin Ayub memandangkan kedua-duanya kini sedang berlumba serta bersaing sengit untuk menjadi lebih menonjol antara satu sama lain di Johor,” kata mereka dalam kenyataan.

Minggu lalu Aminolhuda yang juga Adun Parit Yaani mempersoal kaedah yang digunakan Khaled bagi mengukur tahap kemiskinan di negeri itu yang disifatkan jauh daripada realiti.

“Saya menafikan Johor ini sifar miskin kerana kita boleh lihat sendiri masih wujud penerima-penerima zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor yang sememangnya kebanyakkan mereka yakni penerima zakat tersebut adalah dari mereka yang kurang berkemampuan atau miskin.

“Saya turut menyenaraikan penerima-penerima zakat yang ada di Johor ini boleh dikatakan lebih seribu penerima bagi setiap daerah dan bagaimana Menteri Besar Khaled boleh menafikan akan hal ini.

“Apa yang dimaksudkan oleh Menteri Besar di dalam sidang DUN itu adalah berkenaan dengan miskin tegar melalui sistem yang diadakan oleh pihak kerajaan negeri dalam sistem E-Kasih,” katanya.

Bagaimanapun mereka berkata, menurut Khaled, terdapat banyak kaedah dalam mengukur kemiskinan dan tidak ada satu kaedah pun yang boleh diangkat sebagai yang paling tuntas dan terbaik.

Setiap satu kaedah ekonomi yang digunakan katanya, akan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan yang penting adalah kejelasan justifikasi mengapakah sesuatu kaedah itu dipilih.