Malaysia Dateline

Mohd Adnan Abdullah

Aktivis R Mohamad meninggal dalam kemalangan sebelum berbuka

Aktivis R Mohamad Adnan Abdullah meninggal dalam kemalangan di Wakaf Bharu sejurus sebelum berbuka puasa  semalam.

Beliau yang dikenali melalui akaun facebook nya Adnan KGT dan dipanggil Mat Dobil oleh kawan-kawannya merupakan kakitangan Kelantan Gold Trade syarikat milik kerajaan negeri yang mengeluarkan dinar mas.

Jenazahnya dikebumikan malam tadi  selepas upacara solat jenazah disempurnakan di hospital Tumpat.

Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa dalam satu kenyataannya melahirkan rasa terkejut dengan kehilangan beliau.

“Petang ini dikejutkan dengan kematian pejuang muda berprinsip, jujur dan beristiqamah dalam mengenal benar dan salah, saudara Adnan dari Tumpat.

“Sekalipun beliau masih lagi staf agensi kerajaan negeri Kelantan iaitu KGT yang menguruskan perniagaan dinar dan dirham, tetapi tetap bersama mahu melihat wujudnya sebuah kerajaan alternatif yang lebih cekap, telus, maju dan berkebajikan di Kelantan,” katanya.

Menurut Husam, sekitar dua minggu yang lalu Allahyarham menunjukkan keberaniannya dengan mempengerusikan satu majlis terbuka anjuran Amanah di Tumpat.

“Saya acap kehilangan teman yang setia, jujur dan baik.

“Ia satu kesedihan, tetapi mengingat insan kerdil ini meninggal ketika sedang berpuasa Ramadan, kami berharap ia sebuah kurnia yang mahal untuk insan yang bertuah,” katanya.

Harapan tinggi mengiringi pemergiannya kata Husam meringankan kesedihan sekelian rakan-rakan yang mengiringi pemergian saudara Adnan.