Malaysia Dateline

Aktivisme penulisan media dalam kalangan mahasiswa kian malap

Sejarah menunjukkan bahawa aktivisme penulisan merupakan salah satu cara ampuh bagi menyebarkan ideologi nasionalisme, idea pembaharuan dan reformasi, dan idea-idea yang menyemarakkan semangat ke arah perjuangan kemerdekaan.

Antara gerakan penting yang menggunakan penulisan sebagai salah satu jalan menentang penjajahan hakiki dan penjajahan minda ialah Gerakan Islah.

Gerakan tersebut aktif di Tanah Melayu, terutamanya di Singapura, dalam lingkungan 1920-an. Antara perjuangan penting menerusi Gerakan Islah tersebut ialah penyebaran idea-idea reformasi yang menolak kelembapan golongan pemerintah Melayu yang terlalu tunduk dengan permintaan penjajah British.

Suatu yang penting untuk diamati melalui perjuangan dalam Gerakan Islah ini ialah perjuangan ini dijuarai oleh golongan yang dinamakan sebagai Kaum Muda. Mereka lantang mengkritik Kaum Tua yang terpuruk dengan tradisi dan hanya menyerah dengan penjajahan yang berlaku ketika itu.

Berdasarkan fakta sejarah ini, dapat kita amati bahawa kelantangan golongan muda yang ghairah ingin menolak kebejatan golongan pemimpin yang korup ini dapat dimanfaatkan, dan penulisan merupakan salah satu cara yang sangat ampuh bagi merealisasikannya.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, ketika penulis mula-mula menjejakkan kaki ke alam universiti sebagai mahasiswa sarjana muda di sebuah universiti awam tempatan, penulis sendiri mula memanfaatkan ruangan pendapat dalam portal berita dalam talian The Malaysian Insider seawal Tahun Satu pengajian.

Pengalaman penulis yang berjaya menerbitkan artikel pendapat sulung di portal tersebut pada sekitar awal 2010-an bukanlah sesuatu yang janggal ketika itu. Malah, sebenarnya, dalam tempoh awal hingga pertengahan 2010-an, ramai mahasiswa yang turut sama mengetengahkan penulisan kritik dan saranan mereka.

Ada antara mereka yang memanfaatkan ruangan yang disediakan oleh akhbar arus perdana mahupun media alternatif. Lebih-lebih lagi dalam media alternatif, ruangan kritikan dan saranan di portal-portal seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini, dan Free Malaysia Today begitu meriah dengan kehadiran penulis-penulis dalam kalangan mahasiswa.

Selain daripada portal-portal berita, aktivisme penulisan dalam kalangan mahasiswa juga dilihat aktif melalui portal gerakan pencerahan anak muda seperti Nadi Mahasiswa Malaysia dan Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM).

Tetapi, apabila kita amati kembali pada hari ini, pada tahun 2022 contohnya, kita jarang dapat melihat gerakan penulisan dan kritikan idea melalui media alternatif oleh para mahasiswa.

Terdapat beberapa faktor yang memungkinkan hal ini. Pertamanya ialah kematian portal berita alternatif The Malaysian Insider.

Penulis dapat merasakan bahawa kematian portal berita itu sangat signifikan dalam menyumbang kepada kemerosotan aktivisme penulisan media mahasiswa kerana portal tersebut merupakan antara portal berita yang hampir mustahil untuk tidak menerbitkan apa-apa sahaja artikel pendapat yang dihantar kepada editor mereka.

Sungguhpun begitu, kematian portal tersebut sebenarnya tidaklah menghalang para mahasiswa untuk terus menghantar artikel pendapat kepada portal-portal berita yang lain. Terdapat lagi punca lain yang menyebabkan terjadinya hal sedemikian.

Punca kedua kelesuan penulisan mahasiswa pada pandangan penulis ialah tamatnya rejim kerajaan lama pada pilihan raya 2018 yang lalu.

Hal ini menjadi signifikan kerana, menurut penulis, banyak penulisan pendapat di portal berita alternatif adalah bersifat negatif terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Maka, apabila kerajaan BN kalah, ada kemungkinannya orang yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan buntu terus mahu tulis pendapat tentang apa.

Atau lebih teruk lagi, disebabkan penulis-penulis dalam kalangan mahasiswa ketika itu mungkin bersifat berat sebelah terhadap kerajaan PH ketika itu, maka mereka tidak berani mengkritik tindakan dan dasar kerajaan PH yang memerintah selepas mereka memenangi pilihan raya.

Kemungkinan punca ketiga yang menyumbang kepada kelesuan aktivisme penulisan media dalam kalangan mahasiswa ialah kurangnya kemahiran mahasiswa masa kini untuk mengolah pendapat secara kritis melalui penulisan bersifat jurnalistik atau kemahiran yang sesuai untuk media.

Hal ini mungkin terjadi kerana golongan mahasiswa yang pernah aktif pada zaman universiti mereka pada tempoh awal hingga pertengahan 2010-an dahulu tidak dapat melatih junior mereka dengan kemahiran menulis yang kritis untuk media dengan baik sebagaimana yang mereka sendiri mampu.
Kita mungkin tidak dapat mengubah apa yang berlaku terhadap kematian The Malaysian Insider.

Tetapi, mengamati punca kedua dan ketiga ini dapat merungkai masalah yang membelenggu mahasiswa masa kini.

Membincangkan punca kedua, iaitu peralihan kuasa kerajaan pusat yang menyebabkan kebuntuan idea penulisan mahasiswa, hal ini tidak sepatutnya terjadi jika seseorang mahasiswa tersebut bersifat adil melihat isu dan bukan hanya menulis kerana mengikut semangat membenci kerajaan yang memerintah ketika itu.

Jika benar mahasiswa ini bersifat sebagaimana seorang pelajar universiti dilatih berfikiran kritis, mereka tidak dengan mudah bersifat partisan hingga melupakan bahawa sesiapa juga boleh berbuat silap dan sesiapa sahaja, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, wajib dikritik apabila mereka melakukan kesilapan.

Bersifat terbuka untuk mengkritik sesiapa sahaja, tidak kira pihak yang kita sayang mahupun benci ini adalah penting kerana mereka membuat dasar dan apa-apa sahaja dasar yang mereka buat akan mempengaruhi hidup rakyat.

Sungguhpun bersifat partisan ini mungkin bermasalah, hal ini tidaklah begitu sukar lantaran mahasiswa-mahasiswa ini sekurang-kurangnya ada kemahiran menulis yang baik.

Namun, jika kita menghadapi masalah yang diterangkan dalam punca ketiga, iaitu kurangnya kemahiran penulisan jurnalistik, hal ini lebih parah kerana bukan sahaja mengkritik pihak yang mereka suka sahaja mereka tidak dapat buat, malah menyatakan bahawa mereka menyukai sesuatu pihak atau perkara juga boleh jadi sesuatu yang sukar.

Kelemahan dalam kemahiran menulis ini mungkin juga disebabkan oleh perubahan generasi muda zaman kini yang lebih gemar menyatakan pendapat dengan cara yang separa formal melalui media sosial seperti Twitter dan TikTok.

Namun, kelemahan Twitter contohnya ialah pengguna hanya dapat mengolah pendapat mereka dengan ayat-ayat yang pendek-pendek sahaja. Hal ini tidak menggalakkan mereka menulis dengan lebih terperinci dan kritis terhadap isu-isu tertentu.

Malah, perbincangan yang sering terjadi di Twitter sering kali berkisar tentang pendapat bersifat binari terhadap sesuatu isu seperti suka atau suka tidak suka, dan setuju atau bantah sahaja.

Pentingnya kemahiran menulis untuk media ini adalah demi menggalakkan pengolahan idea yang lebih bersifat terbuka dan tidak hanya binari. Selain menyatakan pendirian, penulisan yang bersifat lebih panjang seperti penulisan di media membolehkan seseorang menjelaskan sebab pendirian mereka di samping menyatakan cadangan mereka.

Mahasiswa hari ini adalah pemimpin masa hadapan. Maka adalah sangat penting bagi mereka mula menggilap kelantangan mereka untuk menyatakan pendapat mereka dengan lebih bernas melalui media.

Mahu tidak mahu, mereka perlu juga meneruskan tampuk pemerintahan daripada golongan sebelumnya.

Melihat pada situasi aktivisme penulisan mahasiswa pada hari ini, penulis masih bimbang akan masa hadapan mahasiswa hari ini setelah mereka bergraduasi nanti.

Oleh itu, ayuhlah mahasiswa hari ini, buktikan yang anda mempunyai suara untuk didengari dan idea yang bernas untuk dibawa ke hadapan seluruh negara. Marilah kita tamatkan kelesuan aktivisme penulisan ini agar pemimpin hari ini sedar bahawa golongan muda Malaysia ini lesu seperti yang digambarkan sesetengah pihak.

*WAN SALMAN WAN SALLAM ialah mahasiswa program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia.