Malaysia Dateline

Aktiviti lasak dalam hutan beri impak negatif, pensyarah anggap ikat ‘hammock’ cederakan pokok

Dua pensyarah universiti awam yang berbeza berpendapat tindakan mengikat buaian atau ‘hammock’ semasa aktiviti perkelahan menyebabkan kecederaan pada pokok dan boleh mengakibatkan perkembangannya terjejas.

Menerusi artikel bersama Prof Madya Dr Hasmahzaiti Omar dan Dr M Adli Mohd Sidi yang disiarkan sebuah portal berita, mereka mendakwa keseronokan menjalani aktiviti lasak sudah pasti memberi impak negatif kepada persekitaran dan komuniti hutan.

“Antara kesan akibat menebas pokok renek dan pokok-pokok yang mempunyai nilai tinggi untuk tujuan pembinaan tapak perkhemahan dan laluan merentas hutan; pembakaran unggun api yang boleh menyumbang kepada kebakaran hutan secara tidak sengaja dan kecederaan pokok hutan, pembuangan sampah serta sisa makanan dan lain-lain,” kata mereka.

Kedua-dua ahli akademik terbabit masing-masing dari Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Pahang Kampus Jengka, Pahang.

Terdapat lebih 120 lokasi hutan di negara ini menjadi tumpuan orang awam antaranya Taman Negara, Taman Negeri dan Taman Eko Rimba.

Mereka turut menegaskan bahawa sukan bermotor juga menyebabkan kerosakan struktur asal tanah dan membantutkan perkembangan pokok renek disebabkan oleh laluan kenderaan berat.

“Selain itu, tumpahan minyak jentera di atas air seperti jetski dan bot akan mengganggu kewujudan spesies pokok di kawasan berair serta mengakibatkan pencemaran air sungai dan ekosistem hidupan air serta haiwan liar daratan yang menggunakan air di persekitaran tersebut.

“Tanpa kita sedar dengan kunjungan beramai-ramai ke hutan turut menyumbang penyebaran penyakit berjangkit daripada manusia kepada haiwan liar dan sebaliknya.

“Penyebaran penyakit berjangkit seperti selsema, batuk, Covid, tibi dan lain-lain boleh berlaku melalui pembuangan sisa makanan secara tidak terurus. Juga ada yang turut berkongsi sisa makanan bersama haiwan atas dasar kesian,” kata mereka lagi.

Baca juga Mendaki bukit, meredah hutan kibar Jalur Gemilang di Setinggi

Baca juga Rupanya ada sebab tak boleh pakai minyak wangi semasa hiking, boleh tarik perhatian makhluk halus