Aktiviti lombong, pertanian di sekitar empangan? soal Amanah Johor

Aktiviti lombong, pertanian di sekitar empangan? soal Amanah Johor

Amanah Negeri Johor berharap sumber air mentah dan alam sekitar dipelihara dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, tinjauan Amanah di sepanjang Sungai Johor terutama di hulu sumber air itu mendapati sekurang-kurangnya terdapat lima punca yang memburukkan kadar pencemaran.

Punca pencemaran itu, ujarnya, akibat aktiviti pertanian dan perladangan kelapa sawit; pembuangan tanpa kawalan sisa kilang pemprosesan sawit; pusat pembuangan sampah serta kewujudan kilang-kilang komersial.

“Bagaimana kawasan sekitar Empangan Sungai Lebam Pengerang dibenarkan untuk aktiviti pertanian.

“Lombong-lombong pasir dalam anggaran lebih daripada 20 buah lombong beroperasi. Kami dapati lombong-lombong ini menyebabkan air sungai menjadi keruh dan kualiti air merosot,” katanya dipetik daripada kenyataan hari ini.

Selain itu, jelas beliau, penduduk tempatan dan golongan nelayan sungai terutama masyarakat Orang Asal turut terjejas apabila hidupan air semakin pupus.

Beliau mengulas demikian ekoran kes pencemaran ammonia di Sungai Johor pada 13 Julai lalu yang mengakibatkan operasi pemprosesan rawatan air mentah sekurang-kurangnya di empat Loji Rawatan Air (LRA) ditutup semalaman.

Menurut Aminolhuda, tinjauan pihaknya turut menyaksikan wujud aktiviti penerokaan tanah di lokasi tadahan hujan di beberapa kawasan empangan air bersih di negeri itu.

“Tinjauan kami juga mendapati ada sebuah empangan terletak di hulu Sungai Johor iaitu Empangan Linggiu yang diurus oleh pihak PUB (Lembaga Kemudahan Awam) Singapura.

“Kami dapati LRA Sungai Johor, LRA Semangar dan LRA PUB Kota Tinggi amat bergantung kepada empangan ini sebagai sumber air utama untuk Sungai Johor,” ujarnya.

Sehubungan itu, Amanah Johor mendesak kerajaan negeri supaya tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk perlanggaran Dasar Pemeliharaan Sungai bagi menjamin sumber air terpelihara daripada pencemaran.

Tegasnya lagi, undang-undang dan garis panduan sedia ada mesti dikuatkuasakan tanpa bersifat terpilih terutama ke atas syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, kilang-kilang besar dan berpengaruh serta individu tertentu.

COMMENTS

Wordpress (0)