Malaysia Dateline

Aktiviti perniagaan dibenar beroperasi dengan SOP ditetapkan

Industri dan aktiviti perniagaan yang dibenarkan beroperasi secara menyeluruh mulai Isnin ini, perlu mematuhi beberapa Garis Panduan (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini berkata, SOP berkenaan mengambil kira norma baharu dalam pengendalian perniagaan dan kehidupan harian.

“Antaranya adalah seperti mengamalkan langkah-langkah kesihatan. Penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, sebaik-baiknya dua meter dalam semua keadaan.

“Memakai penutup mulut dan hidung, yang digalakkan setiap masa dan diwajibkan dalam keadaan tertentu.

“Kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand-sanitizer dan menyediakan kemudahan tersebut untuk pekerja serta pelanggan.

“Selain itu, memastikan pembersihan (sanitizing) premis dibuat pada kadar yang kerap dan konsisten sekurang-kurangnya dua kali sehari,” maklum MKN menerusi kenyataan.

Menurut MKN lagi, SOP lain adalah mengamalkan amalan-amalan pencegahan jangkitan dengan memastikan terdapat protokol pemantauan penyakit dan pencegahan penularan jangkitan.

Katanya, kesemua pekerja diperiksa setiap hari untuk mengenalpasti simptom Covid-19 termasuk pemeriksaan suhu badan

“Di mana penjarakan sosial tidak boleh diamalkan, pekerja mesti menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai

“Laporkan kepada Jabatan Kesihatan sekiranya terdapat maklumat mengenai jangkitan

Covid-19 dan melatih pekerja untuk memantau dan bertindak sekiranya terdapat kes yang disyaki timbul,” katanya lagi.

Mulai Isnin ini, kerajaan akan membuka semula ekonomi negara dengan membenarkan industri dan aktiviti perniagaan untuk beroperasi secara menyeluruh.

MKN berkata, kebenaran itu tertakluk kepada persediaan dan langkah-langkah yang diambil oleh perniagaan untuk memastikan kepatuhan SOP yang telah ditetapkan.

“SOP yang disediakan adalah untuk memastikan aspek kesihatan diutamakan dan terjamin dalam persekitaran di mana penularan wabak Covid-19 masih merupakan ancaman yang benar.

“Kegagalan untuk mematuhi SOP boleh membawa kepada tindakan undang-undang, penarikan balik kebenaran beroperasi atau apa-apa tindakan yang berkaitan.

“Kerajaan, melalui kerjasama antara Kementerian Kesihatan, PDRM, dan lain-lain badan penguatkuasa akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan dalam usaha memastikan SOP dipatuhi,” maklum MKN lagi.