Malaysia Dateline

Aktiviti sorok aset jutaan dolar para pemimpin dunia dibongkar

Pandora Papers mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lalu.

Hasil siasatan oleh konsortium media Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) itu didedahkan menerusi 12 juta dokumen yang dimiliki 14 firma perkhidmatan kewangan di serata dunia.

Siasatan membabitkan kira-kira 600 wartawan termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian turut membongkar ‘aktiviti rahsia’ kira-kira 35 pemimpin dan bekas ketua negara yang didakwa terlibat kegiatan rasuah, pengubahan wang haram dan pengelakan cukai global.

Di kebanyakan negara, memiliki aset luar pesisir atau terlibat urus niaga rentas sempadan adalah perkara yang tidak menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, pendedahan itu sedikit sebanyak turut mencalar imej sesetengah pemimpin yang dianggap ‘hipokrit’ kerana giat melancarkan kempen mengutuk amalan rasuah dan pengelakan cukai serta yang mencadangkan langkah penjimatan di negara masing-masing.

Dari Malaysia, dua individu antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Turut dibongkar mengenai pemerintah Jordan, Raja Abdullah II yang didakwa mewujudkan rangkaian syarikat luar pesisir untuk mengumpulkan empayar hartanah bernilai lebih AS$100 juta (RM417 juta) di Malibu, California, Washington dan London.

BBC memetik kenyataan peguam Raja Abdullah II melaporkan kesemua aset itu diperoleh melalui hasil kekayaan peribadi dan ia adalah amalan biasa bagi individi berprofil tinggi untuk membeli hartanah melalui syarikat luar pesisir atas faktor keselamatan serta privasi.

Pandora Papers itu turut mendakwa keluarga dan sekutu Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev terlibat dalam perjanjian hartanah rahsia di United Kingdom (UK) bernilai ratusan juta dolar dan mendakwa Rusia memiliki aset rahsia di Monaco.