Malaysia Dateline

Aktiviti sosial di rumah panjang punca kes meningkat di Sarawak

Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 555 kes (29.9 peratus), demikian lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Daripada jumlah ini, sebanyak 417 kes (75.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Peningkatan kes di Sarawak adalah disebabkan oleh pertambahan kluster-kluster dalam kalangan komuniti termasuklah rumah-rumah panjang.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes adalah acara-acara keramaian dan aktiviti-aktiviti sosial seperti upacara pengebumian, perkahwinan, dan lain-lain acara keraian.

Pada hari ini sahaja, Sarawak melaporkan dua kluster komuniti yang baharu iaitu Kluster Sungai Gemuan dan Kluster Disso.

Dua negeri lain lain dengan pelaporan kes harian baharu tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 403 kes (21.7 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 176 kes (9.5 peratus).

Sebanyak 58 kes (3.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (25 kes), Kluster Tembok Muhasabah (13 kes), Kluster Telok Mas (11 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (4 kes), Kluster Tembok Sri Aman (3 kes), Kluster Tembok Tapah (1 kes), dan Kluster DTI Sepang 2 (1 kes).

Terdapat tujuh kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan empat (4) kluster tempat kerja dan tiga (3) kluster komuniti.