“Aku bayar kereta guna duit sendiri, suami boleh ajak perempuan lain tidur dalam tu”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka, suami pilihan ibunya ternyata memiliki sisi gelap yang berjaya diselindung lelaki terbabit di sebalik penampilan ‘segak’.

Tidak hanya culas menjalankan tanggungjawab dalam memberi nafkah, suami kepada wanita bernama Ida itu juga sanggup mengkhianati ikatan perkahwinan mereka.

Berikut perkongsian Ida menerusi forum atas talian yang buntu mencari jalan penyelesaian selepas mengetahui suaminya telah berlaku curang dengan beberapa wanita.

“Aku Ida, berumur lewat 20-an. Bekerja sebagai eksekutif di syarikat yang besar. Aku baru sahaja mendirikan rumah tangga 10 bulan yang lalu. Suamiku Ali pula juruteknik di sebuah kilang yang berasal dari Jepun. Usianya awal 30-an. Kami berdua menikah bukan atas dasar cinta, tetapi sebab ibunya yang berkenan dengan aku.

“Mula-mula, aku sudah tolak cadangan berkahwin mentah-mentah. Memang tak nak sebab aku mahu bina kerjaya dahulu. Beli kereta dan rumah, barulah kumpul duit dan fikir fasal kahwin. Tetapi mak dia cakap, sampai bila? Ramai perempuan di luar sana umur sudah 30 lebih tetapi tak kahwin lagi kerana tiada orang yang nak.

“Sebabnya waktu muda sibuk cari duit. Apabila usia sudah tua, tak laku. Aku terkejut juga dengar pendapat ibu dia masa itu. Padaku, pandangannya agak kekampungan. Tiada istilah terlalu tua untuk berkahwin. Kalau jodohnya tak sampai lagi, tak akanlah nak main sauk sahaja lelaki di tengah jalan dan terus ajak jadi suami kan?

“Bersungguh mak mentua pujuk aku untuk berkenalan dengan suami. Mula-mula aku menolak, tetapi akhirnya terima juga. Sebabnya aku tak suka ibunya meminta banyak kali. Itupun aku cakap awal-awal mahu berkenalan sahaja, tidak lebih daripada itu. Ali sebelum ini sudah pernah bercinta beberapa kali.

“Tetapi bekas kekasihnya yang terakhir kantoi bawa lelaki lain masuk rumah. Itu yang dia jadi trauma dengan perempuan. Itu apa yang aku dengar dari ibu dialah. Katanya dia memang tak mahu dengan mana-mana perempuan, sudah tiada keinginan untuk berkahwin. Mula-mula kenal hanya berhubungan melalui telefon.

“Perbualan mesej kami memang ‘dry’ (membosankan) awalnya. Mungkin sebab kami tak nak pun kenal antara satu sama lain. Tetapi sebab dipaksa ibu dia, buat jugalah. Aku tak tahu kenapa, satu hari itu dia tiba-tiba terbuka hati dan mula layan aku baik. Dalam hubungan kami, ibu dia yang banyak main peranan.

“Ibu mentua akan paksa kami makan dan berialah bawa keluarga dia datang rumah sebab nak kenal dengan mak aku. Dijadikan cerita, mak aku berkenanlah dengan si Ali. Kemudian kami bertunang dan akhirnya berkahwin. Sebelum kahwin, banyak juga petanda tidak baik yang aku nampak daripada Ali.

“Tetapi tak tahulah kenapa, aku diamkan sahaja. Langsung tak cerita dekat mak aku. Kalaulah mak tahu, mesti dia juga tak benarkan aku kahwin dengan suami. Sebabnya dari mula kenal, suami sudah berani minta pinjam duit aku sebelum kahwin. Sejak itu, setiap minggu dia minta dan tak pernah sekali pun dia bayar sampai sekarang.

“Setiap kali pinjam bukan sedikit. RM300 atau RM500 hinggakan RM700 pun pernah. Aku tahu diri ini bodoh. Terburu-buru percaya, rasa kasihan dan terlalu cepat sayang. Petanda seterusnya adalah suami merokok. Setiap kali selepas makan wajib merokok dan langsung tak hormat aku. Aku ini sudahlah tak biasa bau rokok.

“Mana tidaknya, arwah ayah dan abang-abang aku semua tak merokok. Ada jugalah beberapa perkara lain aku perasan, tetapi waktu itu tengah bodoh. Selalu fikirkan dia akan berubah selepas berkahwin kelak. Tetapi realitinya? Dari mula menikah sampai sekarang, setiap bulan aku bayar sewa rumah, kereta, semua bil dan penapis air.

“Malah barang-barang dapur, belanja makan, duit rokok pun suami minta dekat aku. Duit hantaran aku habis, tiada satu sen pun aku simpan untuk diri sendiri. Semuanya untuk kami berdua. Ini termasuk semua perbelanjaan dalam rumah seperti perabot. Tak cukup duit hantaran, mas kahwin pun dia guna.

“Bukan itu sahaja, gelang emas waktu akad nikah pun suami pajak. Aku sebelum ini hidup seorang diri boleh ada simpanan sampai RM4,000 hingga RM5,000. Sekarang ini kosong. Gaji setiap bulan kena tanggung isi rumah untuk dua orang seolah -olah aku pula suami. Gaji dia mana? Ada sahaja, tetapi tak banyak. 

“Suami malas kerja. Gaji RM1,800 tetapi selalu sangat ambil cuti sakit sampai diberi amaran. Majikan dia suruh ambil cuti tanpa gaji. Jadi gaji bulanan dia tinggal sekitar RM1,000 sahaja. Itupun habis. Katanya, bayar hutang along. Selepas kahwin, barulah aku tahu suami ada hutang along. Macam-macam perkara aku tahu selepas kahwin.

“Contohnya hal suami ambil dadah. Ibu dia tahu, tetapi sorokkan dari aku. Rupanya, duit yang dia pinjam sebelum kahwin itu untuk beli dadah. Tetapi kalau tengok muka dia depan-depan, tak nampak macam dia ambil barang. Sebabnya masih nampak segak. Padahal… Sepanjang kami kahwin, dia memang layan aku baik.

“Mungkin sebab segan aku banyak keluar duit. Jadi kalau aku ajak pergi mana-mana atau buat apa, suami tak pernah tolak. Terlampau baik sampai ketika aku dapat tahu perkara sebenar, macam tak percaya. Dia macam orang lain di belakangku. Sebelum ini, semua memang berahsia dengan aku, termasuklah kata laluan telefon dia.

“Suami juga mengakui tidak memiliki sebarang akaun sosial media. Tak layan konon. Rupanya dia menipu. Satu hari aku jumpa akaun Facebook lama dia. Penuh gambar dia dengan bekas kekasihnya dahulu. Sampai berpelukan pun ada. Punyalah sayang sampai email pun nama gabungan mereka termasuklah tarikh mula bercinta.

“Aku apa lagi, cuba nasib masukkan tarikh itu untuk kata laluan telefon suami. Terus berjaya. Terkejut aku, dia tak tukar kata laluan selepas berkahwin. Dari situ aku tahu satu per satu perkara yang dia buat dibelakang aku. Ambil dadah, mesej perempuan lain. Rupanya dia pernah tidur dengan bekas kekasihnya sebelum kami berkahwin.

“Memang selepas berkahwin suami tak cari bekas kekasihnya, tetapi dia cari wanita lain pula. Dekat aplikasi Wechat penuh mesej dia dengan perempuan lain. Semuanya perbualan tak senonoh. Sumpah terkejut, sampai menangis teresak-esak fikirkan apa kesalahan aku. Padahal setiap hari aku masakan untuk dia meski sibuk bekerja.

“Aku juga selalu hulur duit untuk suami. Belanja dia pergi kerja pun aku berikan setiap hari. Aku layan keluarga dia sehabis baik. Jaga ibu dan bapa mentua ketika mereka masuk hospital. Apa yang kurangnya aku sampai dia cari perempuan lain? Kadang-kadang sedih. Sebelum kahwin selalu dengar, perempuan baik untuk lelaki yang baik.

“Begitu juga sebaliknya. Aku sebelum kahwin tak pernah disentuh mana-mana lelaki. Aku jaga kehormatan diri. Tetapi aku sedih sebab ditakdirkan menikah dengan lelaki yang pernah menyentuh ramai wanita. Aku sedih sangat. Tak tahu lagi nak buat apa, cerita dekat siapa. Buruk suami, satu pun mak aku tak tahu. 

“Sampai sekaranglah mak masih sayang suami aku macam anak dia. Aku tak naklah hampakan perasaan kedua orang tua kami, apa patut aku buat? Air mata aku sudah kering menangis. Makin tawar hati dengan suami aku, jijik pun ada. Sebab walaupun sudah berkahwin, dia boleh tawarkan perempuan tidur di rumah kami.

“Waktu itu, aku tiada di rumah. Suami siap tanyalah. Kalau tak nak datang ke rumah, dalam kereta nak tak? Allahhu, kereta aku itu. Atas nama aku. Setiap bulan aku yang bayar. Duit minyak semua aku keluarkan. Tetapi suami dengan muka tak malu bawa pergi kerja setiap hari, tayang kononnya itu kereta dia untuk umpan perempuan lain.

“Aku tak boleh nak taip, tangan menggigil apabila teringatkan satu persatu perkara yang dijumpai dalam telefon suami. Sampai sini sahaja yang aku boleh cerita. Harap ada yang boleh kongsi atau berikan pendapat. Terima kasih kerana sudi membaca. Doakan aku kuat ya. Sekian.” Kongsi Ida (Bukan nama sebenar).

Baca juga: Ramai rupanya tak ambil lagi Wang Tidak Dituntut, pemuda kongsi bagaimana dia dapatkan RM37,000 wang miliknya