“Aku bercerai sebab isteri mulut puaka, tapi suami baru cakap dialah wanita paling lembut, rupanya aku”

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa menyangka sikap pasangan berubah 360 darjah selepas bercerai, malah mereka terlihat lebih baik daripada semasa berkahwin.

Kadang kita tak sedar penyebab pasangan berubah adalah kerana diri sendiri yang melayan mereka dengan begitu teruk.

Seorang lelaki pelik apabila isteri keduanya berubah selepas beberapa bulan kahwin sama seperti bekas isterinya.

Pada mulanya dia hanya tahu menyalahkan pasangan hinggalah dia berjumpa suami baru bekas pasangannya.

Lelaki tersebut memutuskan untuk bercerai dengan pasangannya yang bermulut ‘puaka’ sering maki hamunnya dan menjawab apa sahaja yang suaminya cakap.

Tambahan dia juga tidak tahan dengan rumahtangga yang sering berantakan, menjerit siang malam sampai jiran-jiran pun dah faham benar situasi mereka.

Selepas penceraian, lelaki itu berkahwin lain. Awal-awal perkahwinan mereka bahagia tetapi selepas beberapa tahun, isteri barunya juga menunjukkan sikap yang sama.

Isteri barunya sering bercakap kasar dan meninggikan suara. Maka dia menganggap dia salah memilih pasangan dan berkahwin dengan wanita yang perangainya lebih kurang sama.

Tidak bercerai untuk kali ini, dia mula memerhati apa yang menyebabkan sikap isteri barunya sama dengan bekas pasangan.

Terjumpa bekas isteri dengan suami baru

Tidak mahu mengeruhkan keadaan rumah tangga barunya, dia memilih untuk ke satu majlis perkahwinan seorang diri.

Saat itulah dia terjumpa bekas isteri dan suami barunya namun sikapnya sangat berbeza, tiada lagi cakap kasar mahupun tinggi suara.

Malah tutur katanya lembut dan layanan juga diberikan secara baik buat suami barunya hingga menyebabkan lelaki tersebut terdiam.

Jauh benar bezanya sewaktu masih menjadi isterinya dulu. Apabila wanita tadi meminta izin suaminya untuk ke bilik pengantin perempuan yang sedang bersiap.

Lelaki tersebut mengambil kesempatan berborak dengan suami baru bekas isterinya. Ditanya sejak bila bekas isterinya berubah begitu?

Suaminya berkata memang sejak dari kenal isterinya memang begitu, tidak pernah berubah. Lelaki itu terkejut.

Katanya dahulu bekas isterinya bukan begitu. Setiap kali dia tinggikan suara, mesti isterinya balas dengan tinggikan suara.

Setiap kali dia mengomel mengadu pasal rumah, mesti bekas isterinya membalas segala cakap dia.

Setiap kali dia hempas pintu, pasti bekas isterinya akan berkali-kali hempas pintu.

Apabila lelaki tersebut bertanya apakah isterinya buat begitu di rumah, suaminya menjawab tidak pernah sekalipun isterinya meninggikan suara.

Lelaki tersebut makin terkejut. Mana mungkin bekas isterinya boleh berubah secepat itu. Dia kenal bekas isterinya yang memang suka menjerit di rumah.

“Kita sebagai lelaki yang mencorakkan rumah tangga kita. Kalau kita tengking isteri kita, tidak mustahil ia akan ikut.

“Kalau kita tunjukkan perangai tidak elok, tidak mustahil dia akan ikut. Tapi kalau kita di rumah menjaga rumahtangga dengan baik, pasti isteri akan ikut.

“Kalau kita sebagai suami sering lemah lembut dengan isteri, pasti isteri lebih lemah lembut dengan kita.

“Kalau kita memberikan sepenuhnya kasih sayang pada isteri, pasti isteri akan berikan kasih sayang yang melimpah ruah”, ujar suami baru bekas isterinya.

Saat itulah baru lelaki tersebut sedar bahawa perkara sama terjadi dan akan cuba perbaiki hubungan dengan isteri barunya.

Isteri adalah cerminan suami dan begitu juga sebaliknya, lebih baik kekal tenang semasa marah agar tak terjadi perkara yang boleh menyebabkan kekesalan di lain hari.

Baca juga: Ustazah Asma’ salahkan harga mentah punca restorannya rugi RM30K sebulan, sekali netizen korek ‘review’ di Google