“Aku dah penat nasihat mak jangan bagi duit dekat ‘scammer’, nak je aku hantar dia pergi pondok…”

Oleh MAISARAH AISYA

Kebiasaan yang menjadi mangsa ‘love scam’ ini adalah mereka yang lebih berusia dan tidak mempunyai pasangan.

Kadang-kadang anak dah puas pujuk tapi biasalah bila dah tua mesti nak ikut perasaan sendiri sampai habis duit ditipu.

Seorang wanita sudah berbuih mulut untuk menasihati ibunya yang berusia 70 tahun agar tidak beri perhatian kepada mereka di media sosial.

Di bawah adalah luahan yang diambil dari portal luahan perasaan atas talian.

Aku si bongsu yang sedang merajuk dengan mak aku, bermula kejadian bulan lepas apabila mak aku minta duit belanja daripada aku untuk buat belanja sarapan pagi.

Tapi cara mak aku mahukan duit tu dalam keadaan tergesa gesa, kemudian aku call adik beradik aku untuk check bila kali terakhir mak aku dapat duit belanja. 

Rupanya hari yang sama salah seorang abang aku telah beri RM100 untuk beliau belanja. Mak aku tinggal di rumah yang disewa oleh anak sulung, dan ditemani oleh cucu cucu.

Mak aku punya duit belanja akan diberi oleh kami selang beberapa hari, yang paling banyak memberi adalah anak sulung dalam RM200 atau RM300 selang beberapa hari.

Duit belanja tu tak termasuk untuk beli barang barang rumah ya, itu akan dibeli asing oleh kami.

Kami dibesarkan dalam keadaan orang susah dulu, Alhamdulillah sekarang rezeki kami cukup dengan perniagaan yang arwah ayah tinggalkan.

Okay balik kepada cerita awal mak aku minta duit belanja daripada aku, aku mula syak mak aku ulang balik perangai nya melayan scammer di media sosial.

Jadi hari itu aku merancang dengan adik beradik untuk curi telefon mak aku untuk di spot check (telefon itu juga pemberian kami).

Dan ya memang tepat jangkaan kami mak aku melayan scammer di dalam satu aplikasi ni, pada hari yang sama dia baru lepas bank-in duit untuk scammer tersebut.

Tak cukup tu dia merancang untuk bank-in lebih mengikut kehendak mereka.

Aku jugak turut terjumpa mesej mak aku dengan kawannya, dia turut meminjam duit dari kawannya. Padahal duit belanja yang kami bagi selama ni sepatutnya lebih dari cukup,

Ini juga membuatkan imej kami sebagai anak nampak buruk ibarat tak pernah bagi mak kami duit sampai kena meminjam.

Sedihnya rasa, komen-komen mak aku dimedia sosial tersebut jugak buat aku terasa hati. Dia seolah olah bersungguh sungguh mahukan duit berpuluh ribu yang ditayang didalam video.

Untuk apa? Siap komen beria untuk menang pakej umrah, tahu tak sebenarnya kami adik beradik mampu untuk menghantar dia menunaikan umrah.

Cuma kami nak dia mula menunaikan solat siapkan diri dan fokus akhirat dihujung usia. 

Umur mak aku sudah hampir 70 tahun tapi benda yang buat aku bersedih dan merajuk mak aku masih gilakan dunia, tak mahu solat tak mahu ke masjid yang cuma sekangkang kera dari rumah.

Tapi untuk hal yang tak berfaedah mak aku boleh tunggang motor lebih jauh jarak dari ke masjid.

Bila ditegur beliau cuma diam membisu tak ada kerjasama. Demi Allah aku sedih, aku pernah persoal kenapa mak aku tak macam mak orang lain yang selalu ingatkan anak anak untuk solat.

Ini membuatkan rasa rinduku untuk arwah ayah lebih kuat, adanya dia ada orang untuk suruh anak menantu menunaikan solat.

Beberapa tahun lepas aku pernah terdengar yang mak aku ada hasrat untuk mengaji di pondok, bagi aku itu berita baik.

Bila aku suarakan secara serius untuk hantar dia ke pondok, dia tak beri jawapan balas malah ubah topik tanya tentang hal perniagaan.

Sudahlah, wang ringgit anak anak boleh usahakan kenapa masih risau. Aku teringin mak aku macam orang tua tua lain suka berjemaah dimasjid, bau wangi berbedak.

Sampai satu tahap aku berfikir untuk tegas dan hantar mak aku terus kepondok pengajian tanpa minta persetujuan beliau.

Tapi adik beradik aku kurang setuju sebab seeloknya beliau pergi atas kehendak sendiri.

Aku rasa aku dah malas berdoa untuk mak, ada hari aku rasa kalau dia pergi dulu pun aku dah tak kisah. Derhaka ke aku.

Baca juga: Boleh ke wanita dalam idah berkenalan dengan lelaki lain? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus