“Aku dan kakak ipar memang dingin. Sampailah satu kejadian mengubah hidup kami”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka bakal memiliki hubungan yang dingin bersama kakak ipar apabila duduk serumah selepas melangsungkan perkahwinan.

Difahamkan, wanita dikenali sebagai Neen itu mengikuti kehendak suaminya untuk tinggal di kediaman keluarga mentua berikutan mereka berdua belum dikurniakan anak.

Keadaan bagaimanapun bertukar dingin selepas berlaku salah faham antara Neen dan kakak iparnya berhubung tanggungjawab memasak buat ahli keluarga di rumah mentua.

Langsung tidak menduga hubungannya dengan kakak suaminya itu bakal berubah 360 darjah, berikut adalah perkongsian Neen mengenai pengajaran berharga dalam hidupnya.

“Assalamualaikum, aku Neen. Sudah berkahwin selama hampir 11 tahun dan memiliki anak tiga orang. Aku nak cerita pasal diriku dan kakak ipar. Aku namakan dia Kakak. Seawal tiga tahun perkahwinan, kami suami isteri tinggal bersama mentua. Antara sebabnya kerana belum dikurniakan anak.

“Di rumah mentua, bukan ada kami sahaja. Tetapi, ada keluarga Kakak dan anak-anak buah (anak ipar yang lain). Mereka duduk di situ waktu siang sebab bersekolah. Mula-mula tinggal di situ, sejujurnya aku agak tak selesa sebab kena tinggal dengan keluarga yang belum kita kenal rapat. 

“Tetapi, aku anggap sahaja ini adalah cara aku berbakti pada mak mentua yang tak berapa sihat. Di awal perkahwinan, aku masih bekerja di sektor kesihatan. Jadi, aku bekerja syif. Alhamdulillah, mak dan bapa mertuaku sangat memahami. Mereka tak pernah kisah jika aku tidur siang atau bangun lewat sebab kepenatan bekerja.

“Aku berhenti atas sebab kesihatan dan cuba untuk dapatkan anak atau TTC (trying to conceive). Sewaktu masih bekerja, kalau syif petang biasanya aku akan memasak siap-siap untuk bawa bekal dan untuk makan tengah hari suami, Kakak serta anak-anak buahku yang lain.

“Kakak bekerja di waktu pejabat. Jadi, dia akan balik petang. Hujung minggu barulah dia akan balik rumahnya sendiri. Hari biasa dia akan duduk di rumah mentua. Tetapi, lama-lama aku agak penat dari segi emosi sebab Kakak meletakkan tanggungjawab memasak kepada aku walaupun tak dikatakan secara langsung.

“Kadang-kadang, dia beli barang dan cakap lauk ini nanti masak sekian-sekian. Aku tidaklah berdiam sahaja. Aku terus terang dekat suami yang isteri dia ini penat juga dan ada masanya rasa malas masak. Suami aku sangat baik. Dia cakap hanya buat semampunya sahaja. Kalau penat atau malas, beli sahaja.

“Tetapi aku kesian pula dekat anak-anak buah nak pergi sekolah tanpa makan dulu. Complicatedkan perempuan. Pernah sekali itu, nak sambut Raya Haji. Tetapi aku tak sihat. Lagipun aku tak reti masak rendang, jadi tak masak. Rancang nak balik rumah keluarga aku (jarak 15 minit), tolong mak masak dan hantar lauk dekat mertua.

“Tetapi malam itu Kakak datang dari rumah dia, hantar sedikit lauk raya untuk mak. Tiba-tiba dia marahkan aku sebab tak masak lauk raya untuk mentua. Aku memang sedih, sentap gila malam itu. Sebabnya selama ini, memang aku yang masak dekat rumah itu. Cuma untuk lauk raya memang aku tak reti.

“Malam itu juga aku kurang sihat, tak larat nak masak. Boleh pula dia marahkan aku macam itu. Menangis-nangis aku sampai suami balik kerja tengok bengkak-bengkak mata. Suami paksa cerita kenapa. Aku pun beritahu. Rupanya bapa mentua awal-awal lagi sudah marahkan Kakak sebab cakap dekat aku macam itu.

“Kakak pun marahkan aku sampai sekat (block) di Whatsapp dan Facebook. Selepas kes itu, barulah nampak perubahan sedikit. Kakak akan masak pagi atau selepas dia balik kerja untuk anak dan suaminya. Jadi aku masak untuk suami sahaja. Hubungan aku dengan Kakak juga berjarak sebelum kami baik semula.

“Aku lupakan salah faham kami. Nama juga keluarga, bergaduh lama mana sangat. Sampailah kami dikurniakan anak, terus pindah ke rumah keluarga aku sebab ruang yang agak sempit di rumah mentua. Alhamdulillah, Kakak sangat sayangkan anak aku. Kalau jumpa mesti digomol-gomolnya anak aku.

“Sebabnya anak aku yang paling kecil. Anak-anak buah lain semua dah besar. Jadi, anak aku agak dimanjakan. Selalu dia bagi duit dekat anak aku untuk buat belanja walaupun umur budak itu baru setahun dua masa itu. Kakak ini walaupun nampaklah sangat berkira (sebab kerja akauntan), tetapi sangatlah pemurah sebenarnya.

“Untuk adik-beradik selalu sahaja dia belikan macam-macam apabila bercuti. Paling seronoknya, bila raya dia tetap bagi aku duit raya. Katanya, sebab dahulu aku tolong jaga mak. Jadi apabila berpindah keluar dari rumah mentua, dia tetap beri sebab aku sudah tidak bekerja. Maklumlah, aku satu-satunya adik ipar perempuan. 

“Selepas enam tahun berkahwin, kami pindah ke rumah sendiri. Sengaja kami ambil rumah dekat dengan kakak-kakak ipar aku yang lain supaya kalau ada kecemasan apa-apa, senang. Setiap seminggu dua, kami akan berkumpul dirumah salah sorang kakak-kakak ipar. Mereka akan masak, aku biasa bawa pencuci mulut. Itu pun beli.

“Sebabnya mereka masak sedap-sedap. Jadi malu pulalah nak bawa hasil masakan aku. Beberapa minggu berlalu, aku tiba-tiba rajin masak mihun tomyam. Kakak puji tomyam aku sedap. Kembang aku. Aku sebenarnya rindu nak makan kuah lodeh Kakak masak. Tetapi aku pikir raya tak lama lagi. 

“Masak lodeh memang menu utama Kakak setiap kali raya. Jadi aku tunggu sahaja. Segan pula saja-saja nak minta masakkan. Tiga minggu lepas, kami berkumpul lagi. Kakak cerita dia baru ambil stok kerepek dari kawan. Nak jual untuk bulan puasa ini dan ambil pesanan untuk raya nanti.

“Kakak cakap nak jual harga sekian-sekian tetapi aku tak setuju sebab dia ambil stok dari jauh. Kalau letak harga yang tiada untung, silap-silap rugi sahaja. Kakak dengar cakap aku dan naikkan sedikit harga jualan walaupun dia risau orang tak dapat beli sebab mahal. Kakak juga ada cakap, dekat adik beradik jual murah, kira sedekah.

“Aku masa itu bergurau, cakap kalau Kakak nak sedekah, kena beri percuma sahaja. Tergelak-gelak dia. Sebelum balik aku salam, peluk dan cium pipi Kakak. Jarang aku buat macam itu. Tak sangka, itulah kali terakhir aku jumpa Kakak. Kakak meninggal dunia seorang diri di tempat kerja. Dalam keadaan berpuasa, hari Khamis.

“Allahu, masa dapat berita aku terkedu. Tak tahu nak bereaksi macam mana. Sebab Kakak tak sakit terlantar. Tiba-tiba sahaja. Lama otak proses, barulah beritahu mak dan ayah aku. Waktu itu, aku dan seorang kakak yang ipar lain teman jenazah Kakak sebelum bawa pulang dari tempat kerja ke rumah.

“Cuma malam itu aku tak dapat tunggu sebab anak-anak tiada sesiapa tunggu. Esok paginya, selepas subuh aku sudah sampai ke rumah Kakak. Siapkan daun pandan dan bunga untuk bawa ke kubur. Sebak sangat hati aku masa potong bunga sebab Kakak sangat suka pokok dan bunga-bunga. 

“Aku tunggu Kakak masa mandi jenazah dan kapan sehinggalah ke kubur. Itu sahaja khidmat terakhir aku sebagai adik ipar. Ustazah yang uruskan mandi dan kapan bagi Kakak cakap, rezeki arwah sebab mudah sangat. Kapas selalunya tak cukup. Tetapi untuk arwah sampai terlebih-lebih kapas itu.

“Alhamdulillah, pengebumian Kakak berjalan lancar. Malam tahlil itu, kakak ipar yang lagi seorang pula cerita yang arwah Kakak sangat suka bersedekah. Tetapi dia tak cerita dekat orang. Kakak ipar aku seorang itu sahaja yang tahu sebab mereka rapat. Dia selalu sedekah dekat rumah anak yatim, 

“Kakak selalu juga masak untuk hantar ke masjid, sedekah buat orang makan. Kakak ipar yang lagi satu itu cakap lagi yang arwah Kakak pantang tahu anak-anak aku tak sihat. Mesti dia pergi sedekah dekat surau atau masjid dan doakan semoga anak aku cepat sihat. Saat menulis, air mata aku tak henti mengalir teringatkan arwah Kakak.

“Terima kasih untuk segala kebaikan Kakak untuk anak-anak orang. Kak, orang rindu. Raya tahun ini tiadalah kuah lodeh Kakak. Kamu semua yang sudi baca sampai habis ini tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Kakak Ipar aku ya. Semoga Kakak tenang di sana dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Aamiin.” Luah Neen.

Baca juga: “Suami cakap dia penat dengan aku dan anak, jadi dia cari perempuan lain, katanya lebih memahami, ‘bonus’ sebab dia kerja”