Seorang wanita tidak menyangka, kehadiran insan bergelar abang boleh menggugat keharmonian rumah tangga yang dibina bersama suami.
Mulanya hadir untuk menumpang sementara mencari rumah sewa, wanita berkenaan merasa privasinya terganggu apabila lelaki itu tidak keluar selepas setahun menetap.
Wanita itu turut merasa kecewa apabila abang kandungnya sendiri seolah-olah tidak memikirkan beban yang terpaksa ditanggung selama menumpang di kediamannya.
Keadaan semakin memburuk apabila wanita bernama Adilah itu sekali lagi menerima ujian dengan kedatangan bapa saudaranya yang hadir di rumahnya tanpa diundang.
Sudah tidak mampu menampung perasaan, berikut adalah perkongsian Adilah yang tertekan mencari jalan penyelesaian untuk menghadapi masalah keluarganya itu.
“Assalamualaikum. Aku luah dekat sini sebab sudah tidak tahu nak luah dekat siapa. Aku serabut dan penat sangat nak jaga hati dan perasaan orang lain. Aku sudah pun berkahwin dan ada anak seorang. Tahun ini genaplah tahun kedua aku dan suami duduk sebumbung. Sebelum ini kami amalkan Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ).
“Bulan ini juga genap setahun abang aku menumpang duduk di rumah ini. Abang aku kerja sini. Mula-mula datang aku fikir tidak mengapa, duduk sahajalah di sini dahulu sementara dapat bilik atau rumah sewa. Tetapi semakin lama abang duduk di rumah, aku dan suami jadi tak selesa. Privasi kami suami isteri jadi terganggu.
“Nak disuruh keluar. Tetapi aku masih fikirkan perasaan mak ayah di kampung yang kasihan dekat anak lelakinya. Aku sudah suruh abang untuk keluar cari bilik ataupun rumah sewa. Tetapi macam itulah, keadaan tetap sama. Kadang-kadang, abang ada kerja luar, tetapi setiap hari minggu mesti dia balik ke rumah ini.
“Disebabkan abang ada di dalam rumah itu, aku dan suami bersama anak pula yang terpaksa habiskan hari minggu kami di luar sahaja. Suami aku jadi semakin tertekan. Nak dihalau fikirkan mentua. Apabila nak ditegur, fikirkan abang ipar. Sebabkan kami ada pertalian darah, jadi rasa sakit sedikit nak hadap.
“Kalaulah orang luar, sudah lama dihumbankan beg-beg dan juga baju abang dekat luar rumah. Setahun ini, ibarat kami suami isteri tiada privasi langsung. Aku kasihan tengok suami. Dia geram tetapi tetap fikirkan keluarga isteri. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba pak cik aku pula datang ke rumah.
“Tanpa beritahu aku langsung pula itu nak datang. Aku tetap terima sebagai tetamu. Tetapi sudah seminggu dia di duduk rumah ini. Langsung tak cakap nak tumpang sini sampai bila. Ya Allah, kenapa wujud orang yang tebal muka seperti ini ya. Lebih dari sebulan aku dan suami tak mampu nak tanggung rasa ‘menyampah’ ini.
“Aku sudah cuba beritahu mak. Tetapi apa yang mak jawab, betul-betul membuatkan aku rasa kecewa. Mak aku cakap, ‘tidak mengapalah, kasihan dekat dia. Takkan nak halau pula’. Ya Allah, aku sedih sangat. Aku harap sangat mak boleh menolong kami. Sekurangnya, beritahulah dekat adik dia untuk keluar dari rumah.
“Cakaplah, jangan bebankan anak dia. Tetapi tidak, aku pula yang dikatakan berkira. Aku hampa dan sedih. Suami sudah beberapa kali cakap dekat abang dan pak cik aku untuk keluar daripada rumah itu. Tetapi itulah, dua-dua jenis tebal mula. Mereka masih duduk di rumah kami sampai saat ini.
“Takkan aku kena letak semua barang-barang mereka dekat luar rumah dan kunci pintu baru faham bahasa? Aku tak jumpa jalan penyelesaiannya lagi sampai saat ini. Tolong aku, bagaimana nak hadap benda ini lagi. Yang seorang abang, satu lagi pula bapa saudara sendiri.
“Tetapi dua-dua duduk di rumah ini tanpa fikirkan beban kami yang menanggungnya. Aku kasihan dekat suami. Dia cuba kawal emosi sebab fikirkan dua-dua orang ini ahli keluarga isterinya. Tetapi hakikatnya, dia kecewa. Ya, kecewa sangat.” Luah Adilah menerusi satu hantaran di laman luahan atas talian.
Baca juga: Budu tumis lagi sedap? Cuba resipi ini, boleh bertambah-tambah nasi