Malaysia Dateline

Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof

SIRI 2

1. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, akhirnya pegawai aku, Anas, berjaya mendapatkan nombor telepon lelaki Melayu yang hebat tersebut. Maka, Anas mula menghubungi lelaki Melayu tersebut.

2. Adakah segala masalah dan cabaran Anas telah berakhir? Tidak juga. Anas memberitahu aku agak sukar juga, bagi dia, untuk meyakinkan lelaki Melayu tersebut tentang hasrat aku untuk mengunjungi ke rumah beliau, walau dicuba pelbagai cara. Ya, beliau masih ragu dan samar. Malahan, dalam keadaan tertentu, hampir melampau juga tahap keraguan beliau.

3. Apabila Anas menceritakan kepada aku tentang keraguan lelaki Melayu tersebut, aku membayangkan hanya satu sahaja – bagi lelaki Melayu tersebut, ini semua sebahagian dari “scammer”. Tetapi malangnya, aku tersilap. Ianya lebih dari itu.

4. Anas memberitahu aku bahawa lelaki tersebut amat bimbang bahawa kami semua adalah sebenarnya penarik kereta yang ingin datang ke rumahnya untuk menarik balik kereta kerana gagal membayar ansuran bulanan sewa beli kereta.

Maka, pihak bank telah arahkan kami untuk tarik kereta. Aku tak boleh tahan untuk tidak tertawa. Dalam hati, aku berbisik “mungkin kami – aku dan Anas – ada potensi dan bakat untuk jadi penarik kereta!”.

Yang lebih tragis lagi, lelaki itu hingga bertanya kepada isterinya adakah dia atau isterinya telah mungkin terlupa untuk membayar ansuran bulanan kereta kepada pihak bank hingga ada orang dari Kuala Lumpur (KL) ingin datang untuk tarik kereta.

Isteri lelaki itu menafikan sambil kehairanan tentang pertanyaan suami dia itu. Kata isteri beliau “abang kita dah lama habis bayar kereta.Tak ada hutang lagi.”

Lihatlah betapa mudahnya kami telah “berjaya” memporak-perandakan keamanan sebuah keluarga. Rasa bersalah pulak!

5. Apapun, aku tetap ingin teruskan misi aku untuk bertemu lelaki tersebut dengan berkunjung ke rumahnya. Maka, kami tetapkan tarikh untuk ke rumah beliau. Kami tetapkan tarikh pada 29/9/2018 untuk berkunjung ke rumah lelaki hebat tersebut.

6.Oleh kerana ini adalah lawatan rasmi aku atas kapasiti sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), maka lawatan aku ke sana terpaksa kena ikut beberapa protokol rasmi.

Tanpa aku sedar, semasa dalam perjalanan ke rumah lelaki tersebut, pengawal peribadi aku yang juga seorang anggota polis – memaklumkan kepada aku bahawa akan ada pegawai polis (rider) yang sedang tunggu kami dan yang akan mengiringi kereta rasmi kami ke rumah lelaki Melayu itu.

Aku mula tension. Itu, kata pengawal peribadi aku, hanyalah sekadar protokol biasa. Ya, mungkin biasa bagi beliau, tapi tak biasa, bagi aku. Aku risau apa reaksi lelaki Melayu itu nanti.

7. Terbukti keresahan aku berasas. Anas dan beberapa pegawai aku yang telah sampai awal dari aku ke rumah lelaki tersebut, memberitahu aku bahawa lelaki tersebut telah menyelubungi kereta beliau dengan kain “canvass” kerana dia masih yakin dengan teori beliau yang kami semua ingin datang ke rumah beliau untuk tarik kereta.

8. Akhirnya aku berjaya juga sampai ke rumah lelaki hebat tersebut. Alhamdulillah. Bila lelaki tersebut melihat ada polis pengiring yang turut sama mengiringi rombongan aku, aku nampak wajahnya yang kelihatan resah dan agak pucat.

Namun, bila beliau mula nampak logo kereta rasmi Timbalan Menteri, beliau kelihatan agak lega. Maknanya betullah kami bukan datang untuk tarik kereta!.

9. Sesudah aku dan rombonganku masuk ke rumah lelaki tersebut dan saling memperkenalkan diri, kami mula berbual rancak. Penuh juga dengan kisah lucu. Aku dapat tahu nama lelaki tersebut adalah Encik Yusuf. Ya,sama seperti dalam laporan media.

Beliau berumur lebih kurang 43 tahun dan telah berkeluarga. Pada masa itu, beliau bekerja di sebuah kilang. Dia memberitahu aku yang dia asalnya tinggal di sebuah estet sebelum membeli rumah yang beliau duduki itu

10. Lelaki berbangsa India yang sakit dan uzur itu adalah rakan baik beliau yang pernah sama- sama tinggal di estet. Encik Yusuf memberitahu aku bahawa beliau fasih berbahasa Tamil. Dia mengambil keputusan untuk membantu kawannya itu atas dasar persahabatan yang sejati.

Walaupun encik Yusuf bukanlah seorang yang agak berharta, tetapi dia telah secara konsisten- untuk tempoh hampir 16 tahun -membantu kawannya tersebut tanpa penat dan jemu dan menganggap rakannya itu seperti ahli keluarganya sendiri.

Antaranya, dia tolong bawa rakannya ke hospital, merawat luka di kaki, membersihkan tubuh badan rakannya, menyorong kerusi roda, menyediakan makanan hatta menyuap makanan dan macam-macam lagi.

Malahan, kata encik Yusuf, dia pernah menawarkan rakannya yang berbangsa India dan beragama Hindu itu untuk tinggal bersamanya di rumahnya.

Indeed, I was really speechless. Saya berkata dalam hati ” ramai mungkin di luar sana yang lantang bercakap tentang Islam secara teori, tapi, bagi aku, encik Yusuf telah merealisasikan ajaran agama secara praktikal”.

Encik Yusuf, bagi aku menjadikan Islam itu hidup dan segar (vibrant). We love you Encik Yusuf!

Encik Yusuf dan keluarga juga menghidangkan juadah makan tengah hari untuk rombongan kami. Bila aku ternampak lauk kari ayam dan kentang, aku tak boleh nak menolak nafsu makan!

Bersambung insyaAllah…

SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang