Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang: Dr Diana penyelamat haiwan liar

SIRI 4

1. Dari Sarawak menemui keluarga Wira Yang Tidak Didendang iaitu arwah Pakcik Abdul Kadir yang menemui Ilahi tatkala dalam usaha murni menyelamatkan kucing-kucing jalanan di Kuching, aku meneruskan misi aku untuk terus mencari wira yang tidak didendang yang baru. Kali ini, aku dan team aku terbang ke negeri di bawah bayu iaitu Sabah.

2. Ada sedikit persamaan Wira Tidak Didendang di Sabah ini dengan cerita di Sarawak itu di mana wirawati di Sabah ini juga terlibat secara aktif dalam usaha-usaha menyelamatkan haiwan. Cumanya, yang di Sabah ini ia melibatkan usaha usaha bagi menyelamatkan binatang liar.

Ya, ia melibatkan kerja kerja bagi memastikan kehidupan para haiwan liar tetap terus terpelihara dan tidak pupus di negara ini khususnya di negeri Sabah. Wirawati yang tidak didendang ini terlibat secara aktif dalam gerak kerja pemeliharaan kehidupan binatang-binatang liar di negeri Sabah.

3. Ya, seperti arwah Pak Abdul Kadir Wira Yang Tidak Didendang ini juga telah meninggal dunia walaupun beliau bukanlah meninggal dunia tatkala sedang melakukan usaha ataub misi penyelamatan secara langsung.

Istimewanya mendiang wirawati ini adalah seorang warganegara Mexico yang merupakan seorang doktor haiwan yang telah menetap di Sabah sejak tahun 2010 sebelum meninggal dunia pada 2018. Nama beliau adalah Dr. Diana Angeles Ramirez Saldivar yang lebih dikenali secara mesra sebagai Dr. Diana.

4. Dr. Diana adalah juga seorang aktivis yang amat aktif di Unit Penyelamat Hidupan Liar (Wildlife Rescue Unit / WRU) di Sabah. Sifat kasih sayangnya yang luar biasa terhadap para hidupan liar khususnya dalam kerja-kerja menyelamatkan para hidupan liar itu dari elemen elemen kepupusan telah berjaya menarik perhatian aku bagi menobatkan beliau sebagai salah seorang Wira Yang Tidak Didendang.

Maka pada 11 November 2018, aku bersama team aku telah terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bagi mengunjungi dan menemui ahli keluargan mendiang dan rakan karibnya di kediaman mereka di Kota Kinabalu, Sabah.

5. Semasa kami semua sampai di kediaman keluarga mendiang Dr Diana, mereka sedang siap berkemas untuk pulang semula ke negara mereka Mexico. Nampak sangat kehilangan mendiang Diana menyebabkan para ahli keluarga mendiang seolah-olah merasakan mereka juga telah hilang ” relevancy”untuk terus tinggal di Sabah.

Kami bagaimanapun agak bertuah kerana masih sempat bertemu mereka dan mendengar sendiri dari mulut mereka jasa, sumbangan dan pengorbanan mendiang Dr Diana.

Walau baru bertemu, kami berjaya membia hubungan mesra. Mereka malahan bersungguh menjemput aku mengunjungi mereka di Mexico.

Yang lebih mengkagumkan aku, di saat kesibukan mendiang Dr. Diana melakukan aktiviti sepenuh masa dengan WRU, beliau masih ada masa untuk terus belajar dan menyambung program Ijazah Sarjananya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengkaji tentang “proboscis monkey’s health”.

Aku juga dimaklumkan bahawa keluarga mendiang Dr. Diana turut bersetuju mendermakan organ mendiang selepas kematiannya.

6. Mungkin ada yang bertanya mengapa pengiktirafan Wira Tidak Didendang ini juga aku berikan kepada seorang warga asing. Sebenarnya, bagi pihak aku dan team aku, meraikan Wira Tidak Didendang ini merentasi sempadan agama, bangsa, keturunan, jantina, status sosial malahan kewarganegaraan selagi mana jasa dan sumbangan mereka itu berlaku dalam negara ini.

Atas dasar itu, mendiang Dr. Diana tergolong dalam senarai Wira Tidak Didendang tersebut. Program meraikan Wira Tidak Didendang ini bukan program kebajikan per se dalam erti kata aku berkunjung menemui mereka dengan tujuan untuk memberi bantuan dan sumbangan kewangan. Program tersebut tidak pernah diniatkan sebegitu sejak dari awal.

7. Jika program meraikan para Wira Tidak Didendang ini adalah merupakan program kebajikan per se seperti yang mungkin dibayangkan oleh setengah pihak, sudah tentu program tersebut hanya memfokuskan kepada golongan fakir miskin dan yang tidak berdaya sahaja.

Sedangkan, realitinya, ada di kalangan penerima anugerah pengiktirafan Wira Tidak diedendang itu yang, secara relatif, agak kukuh kedudukan ekonomi mereka, walaupun secara kebetulan setengah dari mereka agak daif dan boleh dianggap orang susah.

8. Ada juga yang bertanya bagaimana caranya aku menentukan atau mengenal pasti para wira tersebut? Jawapannya adalah ianya berdasarkan pelbagai kaedah dan cara.

Lazimnya, melalui pendedahan berita tentang mereka di dalam media termasuk melalui media sosial. Ada juga yang menghubungi secara langsung pejabat aku di JPM bila mereka membaca apa yang aku dan team aku lakukan di dalam media.

Sebagai anggota pentadbiran kerajaan pada masa itu, aku akui, secara relatif, apa sahaja berita orang seperti di dalam kedudukan aku, pada masa itu, lakukan, ia kadangkala lebih mudah dilapor di media perdana iaitu di media bertulis dan media elektronik. Berbeza sekali ketika aku di bangku pembangkang.

Bagaimanapun, team kami tidak secara automatik akan terus menerima apa sahaja cadangan melalui panggilan awam kerana kami juga ada meletakkan kriteria tertentu.

Aku misalnya terpaksa menolak pelawaan seorang rakan Ahli Parlimen Kerajaan pada masa itu, untuk aku melaksanakan program Wira Tidak Didendang di kawasan Parlimen beliau.

Aku terpaksa menolak kerana aku dapati ianya hanyalah sebuah program kebajikan semata-mata. Tidak ada sebarang elemen Wira Tidak Didendang.

9. Dalam kes mendiang Dr.Diana, antara sumber informasi aku datangnya dari laporan media masa misalnya laporan berita dari akhbar Borneo Post dan juga dari pelbagai sumber yang lain.

Setelah kami meneliti segala info yang kami kumpulkan mengenai apa yang dilakukan oleh mendiang Dr. Diana, aku berpuas hati dan tidak sedikit pun ragu untuk mengiktiraf beliau sebagai Wira Tidak Didendang meskipun secara “posthumously“!

Sebenarnya ada beberapa info tentang perjuangan mendiang Dr. Diana yang malangnya aku tidak boleh kongsikan secara terbuka di ruang ini demi menghormati ahli keluarga mendiang.

Apa yang aku boleh katakan adalah bahawa fakta-fakta yang aku tidak boleh dedahkan itu menyebabkan aku makin kagum dengan apa yang dilakukan oleh mendiang Dr. Diana dan bagi aku beliau memang amat layak diberikan anugerah Wira Tidak Didendang tersebut.

10. Sedikit cerita lucu yang aku ingin kongsi di sini. Kerana dek terlalu teruja “memburu” para Wira Tidak Didendang, aku hampir sahaja mengiktiraf seorang gadis remaja beragama hindu yang aku begitu kagum kerana sanggup ber”lakon” sebagai seorang lelaki dengan berlagak seperti seorang “tomboy” hanya semata- mata untuk menjadi seorang penggunting rambut atau “barber” kepada para pelanggan lelaki bagi menggantikan ayahnya yang ditimpa sakit yang teruk dan tidak boleh jalankan tugas sebagai penggunting rambut.

Bila aku meminta pegawai aku untuk menghubungi remaja wanita tersebut, baru aku sedar yang beliau tinggal di luar Malaysia. Beliau adalah seorang warganegara India yang tinggal di Uttar Pradesh.

Terbatal dengan sendirinya hasrat aku!

InsyaAllah bersambung..

——————————

SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 2: Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof

SIRI 3: Aku dan Wira Tidak Didendang: Penyelamat kucing