Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang: Hero penyelamat

SIRI 12

1. Wira yang Tidak Didendang yang aku insyaAllah akan kisahkan di sini sudah tidak ada lagi bersama kita di dunia ini kerana beliau telah pun dijemput Ilahi. Akan tetapi, jasa dan sumbangannya amat besar kerana beliau rela mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan insan lain.

2. Kisah almarhum pemuda anak kelahiran Terengganu yang diberi nama Abdul Bari Asyraf bin Mohd ini berlaku pada sekitar bulan Februari 2019. Aku membaca kisah hebat Abdul Bari ini dari akhbar the Star bertarikh 10 Februari 2019. Beliau telah meninggal dunia setelah berjaya menyelamatkan beberapa individu yang hampir lemas di sebuah muara sungai di Dataran Warisan di Pulau Warisan,Trengganu.

Mayat hero yang berjaya menyelamatkan empat mangsa tetapi beliau sendiri terkorban kerana keletihan di bawa naik oleh pasukan bomba.

3. Ceritanya bermula begini. Pada hari kejadian, sebuah keluarga yang sedang bersiar-siar di Dataran Warisan tersebut telah mengalami kemalangan yang amat mengerikan bagi mereka, apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki telah terjatuh menjunam ke dalam muara sungai di Dataran Warisan tersebut.

Ketika kenderaan tersebut terjatuh ke dalam sungai tersebut, di saat itu juga air di sungai itu sedang pasang dan arusnya amat deras.

Di dalam kenderaan yang terjatuh tersebut, ada beberapa orang wanita dari sebuah keluarga.

Yang lebih tragis lagi ada juga seorang bayi yang baru berumur 3 tahun bernama Iman Nurhana Luthfiah Mohd Amiruddin di dalam kenderaan yang terjatuh di dalam sungai tersebut.

Di samping itu ada juga seorang lagi kanak-kanak perempuan yang hanya baru berumur 11 tahun iaitu adik Safawani Jaafar.

Memberikan plak penghargaan dan pengiktirafan kepada keluarga Allahyarham.

4. Aku dan team aku telah berkunjung ke rumah orang tua arwah Abdul Bari Asyraf itu pada 17 Mac 2019. Mereka tinggal di Kampung Panji, Kuala Terengganu.

Alhamdulillah, aku dan team aku berjaya bertemu ayah dan ibu arwah. Bapa arwah, aku diberitahu, baru sahaja dilepaskan (discharged) dari wad hospital.

Beberapa orang pemimpin Parti AMANAH Kawasan di Terengganu juga turut bersama. Begitu juga pihak media.

Banyak kisah menarik tentang arwah yang diceritakan kepada aku oleh kedua-dua ibu bapa arwah. Mereka berdua amat ramah dan baik melayani kami semua dan sempat juga menghidangkan jamuan nasi dagang dan keropok lekor kepada kami semua.

Hatta ibu arwah, Puan Masitah Awang, juga sempat menghadiahkan sesuatu pada isteri aku semasa kami ingin beredar dari rumah mereka.

Aku dapat merasakan kesedihan dan kehibaan yang kedua-dua mereka rasakan walaupun mereka cuba sedaya upaya untuk menyembunyikannya dari aku.

Apapun, bagi aku, mereka juga amat bertuah kerana dikurniakan anak yang berakhlak mulia seperti arwah.

5. Menurut ibu-bapa arwah, arwah hanyalah seorang pemuda kampung yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Arwah hanya melakukan kerja-kerja kampung sahaja. Ketika hari kejadian, arwah berusia 31 tahun.

Kata ibu bapa arwah, arwah seolah olah semacam sudah tahu beliau akan membuat suatu perkara yang besar dan penting bila beliau menyatakan kepada kawan kawannya beberapa hari sebelum hari kejadian yang beliau akan menyelamatkan orang.

Pada masa itu, kawan-kawannya hanya menganggap beliau sekadar bergurau. Terbukti arwah tidak bergurau.

Bertemu dengan keluarga mangsa termasuk bayi yang diselamatkan oleh Allahyarham.

6. Selain ke rumah ibu bapa arwah, aku dan team aku juga telah singgah ke rumah keluarga mangsa yang diselamatkan oleh arwah. Aku mendengar sendiri apa yang berlaku dan apa yang telah dilakukan oleh arwah pada hari tersebut.

Menurut salah seorang mangsa, bila kenderaan yang mereka naiki itu terjatuh di dalam sungai tersebut, arwah Abdul Bari adalah insan pertama yang terjun ke sungai tersebut bagi menyelamatkan mereka.

Ketika itu, menurut mangsa yang bernama Nordiana Alwani Jaafar, apa yang beliau fikirkan hanya satu iaitu soal kematian sahaja tetapi kehadiran arwah lah, bagi beliau, yang memberi semangat beliau untuk terus berusaha dan berjuang bagi menyelamatkan diri.

7. Satu kisah keberanian dan sikap yang amat tidak pentingkan diri sendiri dan lebih mengutamakan orang lain (“ithar” dalam bahasa akhlak Islam) yang ditonjolkan oleh arwah yang amat amat amat mengkagumkan aku (jujurnya, aku tak boleh nak tahan sebak bila menulis bahagian ini). Kisahnya seperti di bawah.

8. Ketika arwah sedang dalam proses menyelamatkan beberapa mangsa itu dan beliau telah pun, hakikatnya, terselamat meskipun dalam keadaan keletihan yang amat sangat, beliau masih boleh berpusing semula ke kenderaan tersebut bagi menyelamatkan seorang bayi berusia 3 tahun dengan menjunjung bayi tersebut dengan kedua-dua tangannya sehingga bayi tersebut berjaya diselamatkan sedangkan beliau sendiri terkorban mungkin kerana terlalu keletihan.

“Ya Allah, rohmatilah arwah Abdul Bari dan tempatkanlah beliau di Jannatul Firdaus..Ya Rabb.. ameen”.

9. Aku juga telah dibawa oleh para sahabat dari parti AMANAH Terengganu – yang turut bersama aku sepanjang lawatan rasmi aku itu – ke tempat kejadian.

Ya, takdir tidak boleh dielakkan. Itu suratan Ilahi. Namun, bagi aku, maaf cakap, kecuaian manusia juga turut menyumbang kepada apa yang berlaku.

Aku lihat tiada sebarang pagar atau tembok yang boleh menyekat atau menghalang antara orang ramai dengan sungai di Dataran Warisan tersebut.

Maaf, aku tidak arif kenapa ianya tidak dibuat bagi mungkin meminimakan tragedi seperti yang berlaku. Bagaimanapun, aku tidak pasti apa statusnya sekarang? Mudah-mudahan telah dibuat sesuatu.

10. Apapun, bagi aku, apa yang dilakukan oleh Wira Tidak Didendangkan ini sehingga sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, terlalu istimewa.

Bagi aku, dakwah yang ditonjolkan oleh Abdul Bari ini walaupun mungkin tanpa mengeluarkan dari mulutnya, ayat-ayat suci dari Al-Quran atau al-Hadith nyata jauh lebih memberi kesan pada hati-hati manusia.

Amat tepat, bagi aku ungkapan ini “lisanul hal afsoh min lisanil maqal” – لسان الحال افصح من لسان المقال yang diterjemah oleh seorang ulama besar di Indonesia “bahasa SIKAP lebih fasih dari bahasa UCAPAN”. Ya, tepat sekali Pak Kiyai.


SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 2: Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof

SIRI 3: Aku dan Wira Tidak Didendang: Penyelamat kucing

SIRI 4: Aku dan Wira Tidak Didendang: Dr Diana penyelamat haiwan liar

SIRI 5: Aku dan Wira Tidak Didendang: Jururawat yang berani

SIRI 6: Aku dan Wira Tidak Didendang: Posmen yang amanah

SIRI 7: Aku dan Wira Tidak Didendang-Siri 7: Cikgu Zakuan yang hebat

SIRI 8: Aku dan Wira Tidak Didendang: Mangsa tahanan Sosma

SIRI 9: Aku dan Wira Tidak Didendang: Hero cilik

SIRI 10: Aku dan Wira Tidak Didendang: OKU dan motosikal

SIRI 11: Aku dan Wira Tidak Didendang: OKU pakar motivasi