Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang: Jururawat yang berani

SIRI 5

1. Setelah kembali dari negeri Sabah mengunjungi keluarga seorang Wirawati Yang Tidak Didendang iaitu keluarga mendiang Dr. Diana, seorang warga Mexico yang banyak berjasa dalam usaha-usaha penyelamatan hidupan liar dari ancaman kepupusan, aku dan team aku meneruskan misi kami mem”buru” Wira Tidak Didendang yang berikutnya.

2. Ya, kali ini kami ke Selatan Tanahair iaitu ke bumi Johor. Destinasi kami adalah Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Kami mencari seorang jururawat atau nurse di Wad Neurosurgery di hospital berkenaan. Nama beliau adalah Syuhada binti Ramdan. Apa pula kisah beliau? Sila terus membaca.

3. Sebelum itu, aku harus kongsi di sini bahawa misi “pemburuan” Wirawati Tidak Didendang yang kali ini antara misi paling mencabar saudara Anas-pegawai media aku-setelah misi sulung kami di Perak dahulu. Sejak dari awal, kata Anas kepadaku, banyak kali panggilan telepon beliau untuk menemui jururawat hebat ini bukan sahaja tidak berjawab, malahan benar-benar dirasakan dan dianggap oleh sipenerima panggilan itu sebagai scammer.

Silap haribulan, Anas terfikir, ada kemungkinan beliau sendiri mungkin berdepan masalah dengan undang-undang antaranya jenayah scam, gangguan jenayah atau “criminal harassment”.

Jujurnya, aku tidak boleh nak salahkan Cik Syuhada (pada masa itu masih cik, sekarang tidak pasti) kerana beliau adalah seorang gadis dan belum berkahwin lagi dan yang kerap memanggil dan “menganggu” beliau adalah seorang lelaki. Aku amat bersimpati dengan Anas.

Bergambar secara rasmi dengan Cik Syuhada dan bos-bos serta rakan-rakan beliau di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

4. Alhamdulillah, Anas, bagaimanapun seorang yang cekal dan tidak mudah putus asa.Tidak tahu kenapa? Akhirnya saudari Syuhadah bersetuju untuk bertemu walau beliau masih terkejut kerana seorang Timbalan Menteri dari JPM ingin berjumpa beliau.

Meskipun beliau bersetuju ianya masih bersyarat. Kata Anas ianya mesti dijalankan secara rasmi dan Cik Syuhada perlu dapatkan kelulusan dari boss beliau. Jujurnya, aku tidak berapa selesa bila diberitahu bahawa pertemuan dengan Wira Tidak Didendang itu akan berlaku secara formal dengan orang besar di Hospital berkenaan juga akan turut sama.

Aku mengeluh dalam hati” Ya Allah , kenapalah terlalu banyak protokol sangat. Bukan kah “this program is supposed to be simple“.. awatlah sampai bos dia pun nak kena hadir sama!”. Apapun ,aku bersyukur kerana misi aku untuk bertemu Wirawati Tidak Didendang tersebut hampir menjadi kenyataaan.

5. Kisah Cik Syuhada bermula pada pagi 4/11/2018. Beliau yang sedang memandu pulang ke rumahnya dan melalui Danga Bay, selepas bertugas giliran atau syift malam di Unit Neurologi di Hospital Tun Aminah.

Beliau telah benar- benar bertindak sebagai seorang wira bila beliau sanggup memberhentikan kereta beliau dan bertindak menyelamatkan seorang lelaki muda berbangsa India yang baru sahaja mengalami kemalangan jalanraya dan berada di atas jalanraya di posisi yang amat bahaya selepas mengalami kemalangan tersebut. Lelaki India tersebut sedang menunggang motorsikal ketika kemalangan itu berlaku.

6. Jururawat hebat ini, di atas sikapnya yang amat luhur dan murni dan juga telah sebati dalam jiwanya sikap suka menolong orang – yang bukan sahaja terhad di dalam wad hospital tapi juga di luar hospital – telah bertindak secara berani membantu menyantuni seorang lelaki India yang sedang tercedera selepas ditimpa kemalangan yang melibatkan motorsikalnya.

7. Jururawat tersebut telah bertindak tanpa rasa panik dengan membawa lelaki India yang tercedera tersebut ke tempat yang selamat. Selain itu Wirawati ini juga telah bertindak menghalang trafik yang agak sibuk di kawasan Danga Bay tersebut pada waktu itu dengan menjadikan keretanya sebagai objek penghalang trafik.

Pada masa itu, Cik Syuhada masih memakai pakaian rasmi seorang jururawat berwarna putih. Apa yang beliau lakukan tersebut bukan sahaja tular di alam cyber selepas itu, malahan ramai menyifatkan kehadiran beliau pada masa dan waktu itu, ibarat “a white angel” yang sedang diturunkan dari langit untuk membantu orang yang sedang di dalam kesusahan.

8. Bagi aku, apa yang dilakukan oleh Cik Syuhada tersebut memang amat mengkagumkan dari pelbagai sudut, sejak a

ku mula, buat kali pertama, membaca kisah beliau tersebut.

Bagi aku, beliau bukan sahaja tidak mementingkan dirinya sendiri dengan beliau mungkin boleh sahaja mengabaikan sahaja lelaki India yang sedang tercedera tersebut – seperti yang mungkin biasa dilakukan oleh setengah orang atas pelbagai alasan tersendiri – tapi beliau tidak bersikap begitu.

Dalam tradisi agama Islam, sikap sebegitu dipanggil “ithar” – mengutamakan orang lain dari diri sendiri!. Orang putih pula kata “a good samaritan! Cik Syuhada juga hakikatnya, pada hemat aku, sanggup mengambil dan berdepan risiko yang tinggi kerana beliau adalah seorang gadis yang cuba menolong seorang lelaki yang bukan sahaja tidak dikenali malahan bukan juga sebangsa dan seagama dengan beliau.

Bagi aku, dari sudut itu beliau adalah “a truly Malaysian!”. Dan itu menjadikan aku, dengan tanpa sedikit keraguan pun, terus meletakkan beliau dalam senarai koleksi “Wira Tidak Didendang” yang kami usahakan untuk diberikan pengiktirafan rasmi oleh Kerajaan melalui JPM.

Ketibaan kami untuk bertemu dengan Cik Syuhada disambut oleh pegawai kanan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

9. Pada tanggal 17 November 2018, aku dan team aku berjaya berkunjung ke Hospital Tun Aminah Johor Bahru bagi bertemu Wirawati tersebut. Sebelum ke sana, aku sempat berbincang dengan isteri aku dan mengajak beliau untuk hadir bersama dan bawakan sesuatu hadiah yang sesuai untuk diberikan pada Wirawati tersebut.

Seperti yang diberitahu oleh Cik Syuhada kepada Anas, memang benar kunjungan kami ke hospital tersebut telah disambut secara rasmi mengikut protokol yang sepatutnya. Maka, antaranya, aku diminta untuk memberikan ucapan rasmi di dalam majlis rasmi tersebut.

Dalam program tersebut, aku juga mendengar lebih lanjut dari Cik Syuhada tentang apa yang berlaku. Ia makin menambahkan lagi kekaguman aku pada jururawat ini. Sebelum kami mengakhiri lawatan tersebut, aku sempat bergurau dengan beliau “jangan lupa jemput kami jika dah dapat calon suami nanti”. Aku tidak ada pengetahuan adakah dia telah berumahtangga atau belum sekarang ini.

10. Apapun, kisah seorang jururawat Melayu yang sanggup menolong lelaki yang beliau tidak kenali dan tidak sebangsa dan serta tidak seagama dengan beliau, bagi aku, adalah satu bentuk nilai sivik yang seharusnya disemat sebati dalam jiwa seluruh warganegara Malaysia, jika boleh, sejak kecil lagi sama ada dari rumah atau dari bangku sekolah.

Semasa Kerajaan PH memerintah, aku masih ingat dalam satu mesyuarat mingguan bersama YAB PM, beliau menyatakan tentang hasrat kerajaan untuk mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sivik atau tatarakyat di sekolah. Bagi aku, itu adalah “a step of the right directions”. Andaikata insan seperti Cik Syuhada ini boleh dijadikan duta kecil kerajaan bagi membawa mesej “no racism” di sekolah-sekolah, alangkah manisnya.

Bila aku dan team aku mula bergerak pulang kembali ke Kuala Lumpur, aku rasa ada sedikit keganjilan. Aku lihat pengawal peribadi aku, yang lazimnya sentiasa berwajah serius, tiba-tiba banyak tersenyum di dalam kereta. Aku lantas bertanya Anas apa yang telah terjadi pada pengawal peribadi aku tersebut. Secara santai, Anas menjawab “Saya happy sangat tu sebab dapat jumpa nurse tu,YB !” Aku jawab “Ok, I rest my case!”

————————–

SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 2: Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof

SIRI 3: Aku dan Wira Tidak Didendang: Penyelamat kucing

SIRI 4: Aku dan Wira Tidak Didendang: Dr Diana penyelamat haiwan liar