Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang: Mangsa tahanan Sosma

SIRI 8

1. Pada sekitar 8 Januari 2019, aku dan team aku telah berkunjung ke Baling, Kedah untuk menziarahi dan berjumpa dengan seorang wirawati yang tidak didendang. Beliau yang aku maksudkan adalah Puan Nazihah binti Hj Majid. Suaminya, pada masa itu, sedang ditahan dipenjara kerana ditahan di bawah Akta Sosma.

2. Apakah kisah beliau? Sebelum aku ceritakan, ingin aku kongsi sedikit kisah perjalanan aku dan team aku ke sana. Kami bertolak sehari awal dengan menaiki kereta. Memandangkan ia adalah lawatan rasmi aku sebagai Timbalan Menteri, aku bertolak ke Baling bersama kereta rasmi dan juga bersama pengawal peribadi aku.

Aku juga membawa bersama isteriku bagi menemaniku. Perjalanan yang agak jauh dan meletihkan itu bertambah perit kerana kami rasa terlalu lapar. Pada asalnya, kami hanya ingin berhenti makan malam setelah sampai ke penginapan kami di Baling. Kenapa makan malam? Sebab kami bertolak pada sebelah petang dari Kuala Lumpur dan menjangka akan sampai di Baling pada sebelah malam.

3. Namun, kami terpaksa menukar cadangan kami untuk makan malam di Baling kerana kami sudah terlalu lapar. Bila pengawal pengiring aku bergurau dengan mengatakan “YB, insyaAllah kita akan makan di restoran seorang janda di Permatang Pauh” aku yakin dan percaya dan berkata kepada isteriku bahawa “dia orang nak bawa kita makan kat restoran mak janda di Permatang Pauh. Harap awak ok ya, sebab kita semua dah lapar sangat ni! “.

Isteri aku akur sebab beliau juga sudah terlalu lapar. Maka bagi nak tahan rasa lapar, aku cuba tidur sebentar di dalam kereta.

4. Apabila aku sedar aku dapati kami sudah pun melepasi Pulau Pinang tapi kereta rasmiku masih tidak berhenti di Permatang Pauh untuk makan malam. Aku dan isteriku musykil.

Bila aku minta pemandu kereta rasmi aku berhenti di R n R, baru terbongkar rahsia sebenar. Rupanya pegawai dan pengawal pengiring yang bersamaku sedang bergurau dengan aku dan mereka tidak menyangka sama sekali bahawa aku dan isteri terlalu percaya pada guruan mereka itu.

Pengawal pengiring aku merapati aku di R n R dalam keadaan mukanya yang agak pucat sambil berbisik padaku ” Maaf banyak-banyak YB. Kami bergurau sahaja tadi. Yang kami maksudkan janda Permatang Pauh itu sebenarnya YB Nurul Izzah!”.

Ya salam! Pengawal pengiring aku kelihatan agak gementar kerana mungkin memikirkan aku akan memarahi beliau.Yang berlaku adalah sebaliknya.Ya, aku tersangat lapar tapi aku, alhamdulillah, sedikit pun tak rasa marah malahan ketawa hingga sakit perut.

Bila aku ceritakan gurauan mereka pada isteriku, beliau juga ketawa besar. Kini rasa sakit perut sebab lapar telah berganti kepada sakit perut sebab ketawa terlalu banyak di dalam kereta secara berjemaah – aku, isteriku, pengawal peribadiku dan pemandu rasmi aku. Maaf ya,YB Permatang Pauh!

5. Apapun kami berjaya makan malam di Sg. Petani dan akhirnya selamat sampai di tempat penginapan kami di sebuah “homestay” yang amat sederhana di Baling.

Kata pegawai aku, ada beberapa pemimpin parti AMANAH kawasan Baling yang ingin menyambut kedatanganku tapi mereka tidak dapat berjumpa aku pada malam itu kerana mereka tidak menyangka aku akan hanya bermalam di sebuah “homestay” kampung.

Mereka menjangkakan aku akan bermalam di salah sebuah hotel di Baling yang, mungkin mereka fikir, jauh lebih “selesa” mengambil kira jawatanku. Mereka tak menyangka aku dan para pegawai serta pengawal pengiring dan pemandu aku akan bermalam di tempat penginapan yang sama.

6. Apapun, pada esok harinya, kami telah berjumpa dengan pemimpin parti AMANAH dan PBBM Baling di “homestay” tersebut dan seterusnya bersarapan pagi di warung kampung bersebelahan “homestay” tersebut. Dari situ kami terus bertolak ke rumah Puan Nazihah.

Bila aku sampai di rumahnya, beliau dan beberapa orang saudara- maranya juga ada di rumah beliau menanti kehadiran aku dan isteri. Aku pun menceritakan tujuan aku ke situ dan Puan Nazihah pula menceritakan perjuangannya yang terpaksa bertarung untuk hidup dengan ketiadaan suami yang sedang ditahan di bawah Sosma dan terpaksa menyara 6 orang anaknya dan seorang adiknya yang juga seorang OKU.

7. Bila aku tanya bagaimana beliau menyara kehidupan beliau dan anak-anaknya serta adiknya yang berstatus OKU, dia mengatakan dia kata agak sukar kerana ketiadaan suami dan dia terpaksa berniaga kecil kecilan dengan hanya menjual kuih muih di kampung tersebut.

Aku dapat rasakan penderitaan beliau apatah lagi beliau perlu sentiasa cuba memujuk dan meyakinkan anaknya yang masih kecil yang sentiasa bertanya bila ayah mereka akan pulang?

Bagaimanapun, kecekalan dan ketabahan puan Nazihah itu yang mengagumkan aku. Bila anak perempuannya yang masih bersekolah tadika bertanya pada aku “pakcik, bila ayah boleh balik?”, aku tidak boleh berkata apa-apa.

Aku juga dibawa berjumpa adiknya yang OKU dan terpaksa dikurung atas faktor keselamatan. Aku tidak dapat bayangkan bagaimanakah seorang wanita seperti Puan Nazihah harus berdepan dengan segala cabaran tersebut dengan ketiadaan suami di sisinya.

8. Pertemuan kami di rumah Puan Nazihah tersebut diakhiri dengan satu sidang media yang ringkas yang telah disusun untuk aku dan Puan Nazihah di anjung rumahnya. Aku telah ditanya tentang program Wira Tidak Didendang itu – boleh lihat di lampiran berita Bernama – tapi lebih banyak soalan tentang Sosma ditanyakan kepada aku meskipun ianya bukan di bawah portfolio JPM, sebaliknya ianya di bawah bidangkuasa YB Menteri KDN yang juga YAB PM sekarang.

9. Hakikatnya, dalam isu SOSMA ini aku menerima banyak kunjungan dari pelbagai pihak yang merayu dan menuntut aku dengan anggapan bahawa Sosma adalah terletak di bawah bidangkuasa JPM.

Bagaimanapun, seingat aku, tidak pernah menolak hasrat mereka untuk bertemu denganku sama ada di Parlimen atau di JPM. Malahan ada cerita lucu berlaku pada aku bila aku cuba menyaksikan satu himpunan para keluarga tahanan Sosma di penjara Sungai Buluh kerana isu para tahanan sosma mogok lapar di penjara.

Aku diberitahu oleh pihak penjara bahawa para tahanan yang mogok lapar itu hanya mahu berunding dengan aku sahaja jika pihak penjara berhasrat meminta mereka berhenti daripada mogok lapar tersebut. Ini berlaku bila mereka dapat tahu aku sedang berada di luar premis penjara pada masa itu.

“Ah kacau! ” aku berkata dalam hati. Demi berkongsi simpati dengan keluarga para tahanan itu, aku bagaimanapun bersetuju untuk berjumpa dan berunding dengan para tahanan tersebut.

Berbakul-bakul pesan pegawai tinggi penjara – yang membawa aku masuk ke penjara untuk berunding – tentang pantang larang yang aku kena perhatikan semasa proses rundingan tersebut. Tujuan mereka adalah baik iaitu demi menjaga keselamatan diriku.

10. Maka aku terpaksa berhempas pulas cuba guna segala skil yang aku ada sebagai mantan peguam untuk berunding dengan para tahanan tersebut. Ia satu cabaran mega buat aku. Tujuan dan misi aku pada masa itu hanya satu-untuk minta mereka hentikan mogok lapar dengan segera.

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya. Mereka setuju untuk tamatkan mogok lapar tersebut. Alhamdulillah! Bila aku mula melangkah keluar dari penjara, para keluarga tahanan itu menyambut aku macam seorang wira!

Yang lebih tragis pada esok harinya, bila ada para tahanan Sosma di penjara Pulau Pinang pula yang mogok lapar, pihak penjara sekali lagi menghubungiku kerana menurut pihak penjara, para tahanan itu hanya ingin berunding dengan aku sahaja! Aku terpaksa menolak.

Aku amat kesian dengan Puan Nazihah dan anak anak mereka. Mereka juga harapkan aku seolah-olah boleh datangkan sebuah ” lampu Aladdin” untuk membebaskan suami dan ayah mereka dari tahanan Sosma atau paling kurang bicarakannya di mahkamah.

Hakikatnya itulah yang Kerajaan PH sedang cuba lakukan pada masa itu. Kami dalam proses meminda Akta Sosma dan cuba memastikan para tahanan Sosma akan mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah.

Malangnya, kerajaan PH telah ditumbangkan oleh YB Menteri KDN dan kawan kawannya – yang Sosma di bawah bidangkuasanya – yang kini menjadi PM kerajaaan sekarang ini.


SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 2: Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof

SIRI 3: Aku dan Wira Tidak Didendang: Penyelamat kucing

SIRI 4: Aku dan Wira Tidak Didendang: Dr Diana penyelamat haiwan liar

SIRI 5: Aku dan Wira Tidak Didendang: Jururawat yang berani

SIRI 6: Aku dan Wira Tidak Didendang: Posmen yang amanah

SIRI 7: Aku dan Wira Tidak Didendang-Siri 7: Cikgu Zakuan yang hebat