Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang: OKU dan motosikal

SIRI 10

1. Agak sukar untuk aku membuat coretan bagi Wira Tidak Didendang yang kesembilan di dalam koleksi aku ini. Kerana apa? Kerana agak sukar untuk mencoret tanpa dapat hilangkan rasa sebak, sedih dan simpati yang amat sangat kepada pemuda hebat ini.

2. Beliau yang aku maksudkan ini adalah saudara Syed Mohd Syed Fadzin, seorang pemuda berumur 25 tahun pada tahun 2019 dan berstatus OKU. Beliau telah diuji oleh Allah apabila ketiadaan kedua-dua belah tangannya yang sempurna akibat menjadi mangsa kepada letupan bom yang beliau sangkakan bola tenis semasa beliau bermain-main di zaman kanak-kanaknya di hadapan Penjara Sungai Buluh yang ada sekarang.

3. Meskipun ketiadaan dua anggota tangan yang sempurna yang menyukarkan aktiviti kehidupannya sehari-hari, Wira Tidak Didendang ini, bagaimanapun, ada sesuatu akhlak yang amat baik. Meskipun berstatus OKU, beliau masih mahu berusaha untuk berkerja sebagai penghantar makanan di syarikat Foodpanda dengan menggunakan motorsikal.

4. Tidak cukup dengan itu, beliau juga sanggup berkerja bagi menyara kehidupan neneknya yang sudah tua dan tidak berapa sihat. Dan yang lebih memilukan lagi dia dan neneknya tinggal di sebuah rumah yang agak usang dan sentiasa dibasahi takungan air di lantai rumah sekiranya hujan kerana bumbung rumahnya itu bocor di sini sana.

5. Maka pada 21 hb Februari 2019, aku dan team aku telah berkunjung ke rumah Wira Tidak Didendang itu.

Secara kebetulan beliau ada di rumah kerana sedang bercuti. Neneknya juga ada bersama di rumah. Mereka berdua menyambut kehadiran kami dengan rasa gembira.Rumah mereka agak tersorok sedikit dari jalan utama dan agak daif .

Aku dan team aku berbual agak ceria dengan saudara Syed Mohd Syahrain dan neneknya sambil duduk di atas lantai.

6. Aku amat teruja bila pemuda OKU ini menyatakan kepada aku bahawa meskipun beliau menghadapi cabaran yang agak besar untuk melakukan kerja-kerja penghantaran makanan itu dengan menaiki motorsikal dalam keadaan kecacatan kedua-dua tanganya itu, tetapi, dia juga kata padaku, bahawa dia tidak mahu hanya menyerah pada nasib dan hanya hidup meminta-minta atas belas ikhsan dari orang ramai.Dia mahu buktikan bahawa OKU seperti beliau juga boleh berdikari jika ada kemahuan dan iltizam!

7. Sebab itu beliau memilih untuk bersusah payah bekerja bagi mencari nafkah hidup dan menyara kehidupan beliau dan neneknya yang tua tersebut. Apabila melihat apa yang beliau lakukan itu aku harus akui bahawa ia sesuatu yang amat amat istimewa, menurut pandangan aku. Pemuda itu juga memberitahuku bahawa sebelum itu, beliau juga pernah berkerja sebagai pencuci kereta dan penghantar barang barang ganti kenderaan dengan menggunakan motorsikal juga.

8. Sebenarnya dalam misi aku “memburu” para Wira Tidak Didendang di seluruh pelusuk negara, aku telah bertemu beberapa orang wira yang terdiri dari OKU. Dan semua dari mereka itu , aku lihat, memang insan yang amat hebat dan begitu mengkagumkan. Ada masanya mereka kadangkala dilihat lebih hebat dari insan yang sempurna tubuh badannya.

9. Dalam erti kata lain, status OKU yang ada pada mereka tidak langsung menghalang mereka untuk berdikari dan malahan ada juga yang telah berjaya. Bagi saudara Syed Mohd Syahrain ini, beliau ada ciri unik yang amat mencuit hati aku iaitu sifat kasih sayang, tanggungjawab dan keprihatinannya terhadap orang tua- menyara kehidupan neneknya yang sudah tua dan tidak sihat dalam keadaan beliau hanyalah seorang OKU ! Ia amat amat mengkagumkan aku!

10. Seperti yang aku katakan sebelum ini program “Wira Tidak Didendang” ini bukanlah program kebajikan sepertimana yang mungkin sekarang ini hebat dilakukan oleh insan hebat iaitu Ustaz Ebit Liew. Program aku ini tidak pernah diniatkan dari awal berorentasikan program kebajikan. Namun, ada kalanya aku bersedia juga melakukan pengecualian seperti dalam kes Wira Tidak Didendang kali ini.

Bergambar bersama Syed Mohd, neneknya serta keluarga.

Bila nenek pemuda ini memohon dan merayu sangat kepadaku untuk menolong membaiki rumah yang mereka sedang duduki itu, aku memberitahunya yang aku akan cuba sedaya aku untuk menolongnya.

Justeru, aku telah berbincang dengan pegawai aku di JPM. Pada asalnya, aku bercadang untuk membina sebuah rumah yang baru untuk mereka bagi menggantikan rumah yang sedia ada.

Malangnya ianya tidak dapat dilakukan kerana ada masalah teknikal dari sudut perundangan. Hakikatnya, tanah yang mereka berdua tinggal itu bukan hakmilik mereka. Maka, apa yang aku boleh lakukan adalah sekadar cuba membantu agar kerja-kerja pembaikan yang perlu ke atas rumah mereka dapat dilakukan.

Maaf saudara Syed dan maaf nenek.


SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 2: Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof

SIRI 3: Aku dan Wira Tidak Didendang: Penyelamat kucing

SIRI 4: Aku dan Wira Tidak Didendang: Dr Diana penyelamat haiwan liar

SIRI 5: Aku dan Wira Tidak Didendang: Jururawat yang berani

SIRI 6: Aku dan Wira Tidak Didendang: Posmen yang amanah

SIRI 7: Aku dan Wira Tidak Didendang-Siri 7: Cikgu Zakuan yang hebat

SIRI 8: Aku dan Wira Tidak Didendang: Mangsa tahanan Sosma

SIRI 9: Aku dan Wira Tidak Didendang: Hero cilik