Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang: Penyelamat kucing

SIRI 3

1. Setelah alhamdulillah selesai meraikan wira tidak didendang yang pertama -Encik Yusuf Rohani – di negeri Perak, yang sanggup membantu rakan karibnya hampir 16 tahun lamanya meskipun mereka tiada hubungan kekeluargaan dan kawan yang dibantu itu pula berlainan agama dan bangsa dan sedang menderita kesakitan, ia memang menjadi pencerah minda aku.

Aku bertekad untuk meneruskan misiku “memburu” terus para wira tidak didendang atau ” the unsung heroes” di seluruh negara. Dan aku juga cuba memastikan sesuatu boleh dilakukan oleh Kerajaan PH pada masa itu bagi memberi pengiktirafan rasmi kepada para wira ini sekaligus mereka ini boleh menjadi model kepada para insan lain.

Mungkin, selepas itu, aku fikir,mereka boleh dibawa ke sekolah-sekolah untuk berkongsi pengalaman mereka dengan para pelajar yang tergolong sebagai golongan remaja dan belia.

2. Hakikatnya, lawatan pertama aku ke rumah Encik Yusuf Rohani dan berjaya menemui beliau serta mendengar sendiri cerita sebenar dari diri beliau tersebut, ia ibarat satu “eyes opener” kepada diriku.

Maka, aku tidak mahu berhenti setakat Encik Yusuf sahaja. Aku sesungguhnya percaya masih lagi ramai di luar sana para wira yang tidak didendang yang juga telah berjasa kepada negara ini dengan cara mereka tersendiri.

3. Lalu, aku mula berbincang dengan para pegawai aku di JPM bagi mengangkat program ini ke tahap yang lebih tinggi lagi, antaranya, dengan meraikan dan menghargai jasa para wira tidak didendang dengan dijadikan program tersebut sebahagian dari aktiviti tetap aku di JPM.

Maka melalui pejabat aku di JPM, kami cuba sedaya upaya untuk mengangkat program ini sebagai program rasmi Kerajaan PH.

Oleh kerana dasar “Rahmatan lil’alamin” juga telah diangkat oleh Kerajaan PH, aku kira program “wira tak didendang” ini mungkin salah satu bentuk pengisian kepada dasar tersebut.

Sebagai Timbalan Menteri Undang-Undang di JPM, aku cuba melihat dan mengkaji bagaimanakah sumbangan dan jasa para wira tidak didendangkan ini boleh dikitiraf ke tahap yang lebih tinggi lagi dari perspektif undang-undang.

Perlukah misalnya diwujudkan satu undang-undang khusus yang digubal di Parlimen untuk mengiktiraf jasa mereka semua?

Aku teringat satu wacana yang aku ikuti tentang isu “should the government legislate morality?”. Itu semua bermain dalam fikiranku.

4. Memang aku mempunyai perancangan khusus ke arah apa yang aku katakan di atas itu. Aku masih ingat bagaimana sebelum kejatuhan Kerajaan PH atas “langkah Sheraton” dan “rampasan kuasa” yang jahat melalui pengkhianatan mandat rakyat, aku telah mengadakan satu mesyuarat khas di JPM bagi membincangkan idea penganjuran program khusus bagi meraikan semua “wira yang tidak didendang” yang telah aku dan team aku santuni itu di satu program mega di sebuah hotel di Putrajaya.

Kami bercadang untuk meminta YAB Perdana Menteri sendiri untuk merasmikan program itu nanti. Kami juga bercadang, jika program mega itu berjaya dilaksanakan, untuk juga menjemput semua anggota pentadbiran Kerajaan PH pada malam tersebut.

Malahan, kami juga bercadang untuk lancarkan sebuah buku khas tentang perkara tersebut pada malam bersejarah itu. Itulah perancangan kami.

Tapi, perancangan Allah itu lain. Dan sudah tentu perancangan Allah itu “ahsan”-jauh lebih baik! Itulah keyakinan aku. Apapun, kami hanya berjaya mengadakan hanya sekali sahaja mesyuarat.

Hasrat untuk mengadakan mesyuarat kali kedua, setelah aku balik dari lawatan rasmi ke Australia bagi lawatan rasmi kementerian, malangnya tidak kesampaian bila Kerajaan PH ditumbangkan secara khianat ketika aku sedang berada di Australia melakukan kerja- lawatan rasmi di sana untuk tujuan mengkaji penubuhan sebuah “Law Reform Commission! ‘ Maka, hasrat melaksanakan program mega tersebut tidak kesampaian.

5. Apapun, selepas berkunjung ke Perak itu, misi aku seterusnya adalah menziarahi bumi Kenyalang pada 2 hb Oktober 2018. Kali ini aku dan pasukan aku terbang ke bumi Sarawak bagi meraikan “wira yang tidak didendang” yang kedua.

Bezanya, wira kali ini telah pun meninggal dunia. Maka aku hanya boleh bertemu keluarga arwah di kampung arwah di Kg. Samariang,Tanah Merah, Kuching.

6. Wira yang tidak didendang ini adalah Allahyarham Pakcik Abdul Kadir Bujang -seorang insan yang amat hebat-yang meninggal dunia ketika beliau dalam misi menyelamatkan kucing-kucing yang terbiar di jalanan.

Arwah telah terkorban apabila berlaku kemalangan di Bulatan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Jalan Samariang, Kuching pada hari Jumaat 21 September, 2018. Dan pada masa arwah menghembuskan nafas terakhir itu, beliau berumur 57 tahun.

7. Ketika aku berkunjung ke rumah arwah pada 2 Oktober 2018 dan sempat berjumpa dengan isteri dan ibu bapanya yang sudah tua dan mendengar sendiri cerita di sebalik kematian arwah Pak Abdul Kadir, aku benar- benar sebak.

Arwah sanggup tergadai nyawa demi menyelamatkan beberapa ekor kucing -atau “pusak” dalam bahasa Sarawak- dengan meletakkan para kucing yang diselamatkan tersebut di dalam sebuah kotak di atas motorsikalnya.

Akibatnya, arwah sendiri terkorban sedangkan para kucing yang beliau selamatkan tersebut terselamat. Sekali lagi , “i was speechless“. “Ya Allah, masih ada dari hambaMu yang amat berhati mulia seperti arwah Pakcik Abdul Kadir …Ya Allah tempatkanlah arwah di jannatul firdaus!” aku berbisik sambil berdoa di dalam hati.

8. Suatu yang aku sama sekali tidak sangka, ketika aku berkunjung ke rumah arwah di sebelah pagi di bulan Oktober 2018 itu adalah di saat aku sampai di rumah arwah tersebut, aku lihat terlalu ramai para wartawan dan jurugambar dari pelbagai media yang sedang menunggu kehadiranku.

Jujurnya, aku rasa malu dan amat tidak selesa. Silau mata aku bermandikan lensa kamera dari para jurugambar daripada pelbagai media.

Aku juga diajukan dengan pelbagai soalan. Ya sudah tentu soalan politik juga ditanya. Pengerusi Parti Amanah Negara di Negeri Sarawak, saudara Fidzuan, yang juga turut bersama aku di dalam misi lawatan tersebut, telah memaklumkan pada aku bahawa lawatan aku itu telah berjaya mendapat liputan yang agak meluas di beberapa media di Sarawak.

9. Aku pernah memberitahu para pegawai aku khususnya saudara Anas bahawa aku lebih selesa jika setiap kali lawatan aku mengunjungi para wira tidak didendang itu ianya tidak diketahui oleh pihak media.

Tetapi itu semua, dalam banyak keadaan, lebih kepada mimpi dari realiti. Walaupun aku, rasanya, tidak pernah arahkan pegawai aku untuk memaklumkan media, dalam banyak keadaan, para media akan menghubungi saudara Anas- pegawai media aku- bagi bertanyakan jadual program lawatan aku menemui para wira tidak didendang.

Tak boleh nak lari. Ya, menurut Anas, media amat berminat untuk membuat “coverage” sebab program aku tersebut, bagi mereka, agak lain dan ada keunikannya tersendiri.

10. Meraikan arwah Pakcik Abdul Kadir sebagai wira tidak didendang yang kedua dalam misiku kali ini ada keistimewaannya yang tersendiri, yang sukar untuk diterjemah dalam bentuk kata-kata.

Hakikatnya, dalam misi aku “memburu” para wira yang tidak didendang di seluruh negara, ada juga insan lain selain arwah Pak Abdul Kadir, yang juga sanggup gadaikan nyawa demi insan lain.

InsyaAllah, aku akan cuba ceritakan semua itu nanti di episod episod yang seterusnya.

SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 2: Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof