Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang: Posmen yang amanah

SIRI 6

1. Wira Tidak Didendang yang kelima yang aku dan team aku kunjungi adalah seorang posmen yang hebat yang bermaustatin di Pulau Pinang.Nama beliau adalah Encik Nazli bin Mohd Idris.

Dalam kisah hebat seorang posmen ini, insyaAllah kita boleh lihat sikap mulia seorang rakyat biasa yang biasa kita panggil sebagai rakyat marhain iaitu sikap kebertanggjawaban, kepedulian dan sikap amanah. Alangkah indahnya jika sikap ini terpapar dalam diri para pemimpin di planet bumi ini.

2. Aku dan team aku telah berkunjung ke rumah saudara Nazli di Simpang Ampat, Pulau Pinang pada 8 hb Disember 2018. Beliau tinggal di sebuah rumah teres kos rendah.Pada masa kami menziarahi beliau di rumahnya, bos beliau juga turut ada bersama.

3. Saudara Nazli adalah “typical” orang utara -periang dan amat peramah. Seronok mendengar celotehannya menggunakan loghat utara yang agak pekat. Tak rasa jemu dan sentiasa ceria di samping dipenuhi gelak ketawa.

Ya, tidak wajib untuk memilik kekayaan material semata-mata untuk ceria dan bahagia seperti yang ditunjukkan oleh saudara Nazli.

Pihak RTM dan Parti Amanah Kawasan Nibong Tebal juga turut bersama aku di dalam kunjungan mesra ke atas Wira Tidak Didendang tersebut.

4. Kisah sensasi Wira Tidak Didendang ini mula tular di media sosial apabila pada 8 September 2018, beliau terlibat dengan satu kemalangan ketika memandu motosikalnya tatkala sedang bertugas sebagai seorang posmen di syarikat Poslaju . Kemalangan itu berlaku di Simpang Empat, Pulau Pinang.

Yang menariknya dan jelas mempamerkan sikap keperwiraannya yang sebenar adalah meskipun tatkala beliau sedang menanggung kesakitan disebabkan kemalangan tersebut, saudara Nazli masih memegang erat bungkusan kiriman para pelangganya.

Encik Nazli bin Mohd Idris, posmen yang amanah ini menerima tanda penghargaan dari Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Mentei tanda pengiktirafan kerajaan kepada beliau.

Yang lebih menakjubkan lagi di saat kesakitan itu, beliau juga masih dilihat masih sibuk menelepon para pelanggannya. Tidak cukup dengan itu semua, di saat kesakitan itu, beliau juga masih meneruskan tugasnya sebagai posmen dengan terus menunggang motorsikalnya, membawa barangan kiriman dan menemui para pelangganya untuk menyampaikan bungkusan atau barangan yang dikirim tersebut. Tak hebat lagi ke?

5. Ketika ditanya oleh pihak media-Astro Awani kenapa beliau masih meneruskan tugasnya meskipun beliau masih dalam keadaan menderita kesakitan akibat ditimpa kemalangan semasa bertugas, antara lain, saudara Nazli berkata :-

“Masa saya jatuh tu, memang…walaupun saya sakit, barang tu saya pasti kena utamakan. Itu adalah AMANAH dan TANGGUNGJAWAB saya yang besar dalam kerja saya sebagai seorang posmen… ” . What a man!

6. Antara aspek atau ciri yang sering kami nilai ketika mana kami mengenalpasti atau menyaring proses mengenapasti seseorang itu berhak dinobatkan sebagai seorang Wira Yang Tidak Didendang adalah ketiadaan elemen yang boleh ditafsirkan sebagai “rekaan”, “lakonan” atau unsur “buat-buat”.

Alhamdulillah, dalam semua icon Wira Tidak Didendang yang kami telah kenalpasti dan kunjungi, aku berani mengatakan, semua elemen yang aku sebut itu tidak wujud di kalangan para wira dan wirawati tersebut.

Dalam kes saudara Nazli misalnya, elemen sikap kebertanggungjawan dan amanah beliau itu amat amat terserlah. Sifat beliau itulah yang amat memikat hati aku.

Hanipa dan Nazli berbual mesra ketika ditemui.

7. Lumrahnya, sesiapa sahaja yang berada di posisi atau keadaan seperti saudara Nazli -terlibat dalam kemalangan dan dalam kesakitan dan keperitan, opsyen yang mudah adalah menelefon pejabatnya, meminta cuti dan pulang ke rumah untuk berehat.Tapi, saudara Nazli tidak memilih opsyen tersebut.

Sebaliknya, beliau memilih untuk memegang erat bungkusan kiriman para pelanggan beliau, menelepon para pelanggannya dan masih meneruskan tugas rasmi menyerahkan barangan yang dikirim oleh para pelanggannya – dan semua itu dilakukan di saat beliau sedang derita menanggung kesakitan.

Bagaimanakah sikap terpuji rakyat Malaysia hebat ini, fikir aku, harus dibiar begitu sahaja tanpa mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dari Kerajaan dan kehebatannya itu tidak tersebar lebih meluas di kalangan masyarakat.

8.Ya, kisah saudara Nazli tersebut tular di media sosial khususnya, tapi misi aku lebih jauh dari itu. Aku bercita-cita mahu menjadikan beliau sebagai duta kecil Kerajaan PH – setelah diberi pengiktirafan rasmi oleh Kerajaan – bagi menyebar luas nilai moraliti yang hebat itu di kalangan masyarakat khususnya pada generasi muda yang akan memimpin negara ini kelak insyaAllah.

9. Sayugia ingin aku kongsi di sini bahawa aku percaya segala apa yang dilakukan oleh para Wira dan Wirawati Tidak Didendang ini tidak muncul begitu sahaja.

Aku sesungguhnya percaya ia kesan dari pendidikan yang mereka terima dari pelbagai sumber misalnya dari ibu bapa mereka meskipun secara tidak rasmi.

Inilah yang aku pelajari semasa aku berkunjung ke Korea dalam satu program “World Peace” di mana aku begitu kagum melihat puluhan ribu “sukarelawan dan sukarelawati” atau volunteers yang berkerja keras membantu para penganjur program mega tersebut tanpa upah dan malahan kadangkala guna wang sendiri lagi.

Sehingga sekarang sukarelawan dan sukarelawati yang bertindak sebagai pengiring peribadiku di Korea itu masih terus menghubungiku. Kami ibarat keluarga.

Bila aku tanya mereka bagaimanakah penganjur program mega bertaraf dunia itu begitu mudah mengumpulkan begitu ramai para “volunteers”, mereka bedua memberitahu aku bahawa, bagi para “volunteers” tersebut, melakukan kerja-kerja kesukarelawanan itu adalah satu penghormatan buat mereka kerana mereka telah pun dididik dengan sikap sedemikian sejak kecil lagi- di rumah dan di sekolah-!

10. Setelah selesai kunjungan aku ke rumah saudara Nazli, bila aku mula bercadang untuk balik ke KL semula, tiba- tiba ada permintaan seorang makcik di taman bersebelahan yang mahukan sangat Timbalan Menteri berkunjung ke rumahnya dalam program khatan anaknya.

Aku akur. Tanpa aku sangka, makcik ini lagi peramah!


SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 2: Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof

SIRI 3: Aku dan Wira Tidak Didendang: Penyelamat kucing

SIRI 4: Aku dan Wira Tidak Didendang: Dr Diana penyelamat haiwan liar

SIRI 5: Aku dan Wira Tidak Didendang: Jururawat yang berani