Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang-Siri 7: Cikgu Zakuan yang hebat

1. Wira Tidak Didendang yang ke-6 yang aku dan team aku kunjungi adalah seorang guru yang bagiku amat berdedikasi. Beliau tinggal di negeri Pahang. Nama beliau adalah Cikgu Mohd Zakuan bin Yusuf yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Chenor Pahang.

2. Apa keistimewaan kisah Cikgu Zakuan ini hingga menarik perhatian aku untuk meletakkan beliau dalam senarai program Wira Tidak Didendang yang aku dan team aku lancarkan di peringkat JPM semasa PH diberi mandat menjadi Kerajaan di Putrajaya.

3. Seperti yang aku katakan di atas, Cikgu Zakuan ini adalah seorang guru yang amat berdedikasi dan boleh dikatakan juga seorang pendidik yang mithali. Bagi beliau, mengajar itu bukan sekadar bekerja makan gaji tapi lebih dari itu. Bagi Cikgu Zakuan, ia adalah ibadah dan tanggungjawab agama.

4. Mengapa aku kata beliau adalah seorang guru yang amat berdedikasi? Cuba lihat apa yang beliau lakukan. Dalam keadaan beliau sedang menderita sakit yang agak kronik dan hakikatnya perlu berehat di wad di hospital, beliau masih tidak melupakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pendidik sebenar anak bangsa.

Dalam keadaan sakit dan terlantar di wad hospital, wira tidak didendang ini, cikgu ini masih bersedia menjemput para anak muridnya untuk berada di wad hospital bagi beliau mengajar dan membimbing para anak muridnya.

Beliau memberi bimbingan kepada para pelajarnya dalam keadaan sedang terlantar terbaring di atas katil di dalam wad hospital manakala para anak muridnya pula tekun mendengar sambil mencatat ilmu yang beliau kongsikan itu di tepi katil beliau.

5. Ya, Cikgu Zakuan diuji oleh Allah dengan ditimpa atau lebih tepat disyaki sakit saraf tunjang kerana beliau memberitahu saya pada masa itu pihak hospital pun masih tidak begitu pasti penyakit “misteri” beliau.

Penyakit tersebut menjadikan beliau hampir lumpuh sebahagian besar tubuh badannya dan amat sukar untuk bergerak.

Semasa aku dan team aku berkunjung ke rumah beliau, beliau telah pun keluar dari hospital tetapi hanya boleh bergerak dengan menggunakan kerusi roda sahaja. Beliau dan keluarga bagaimanapun melayan mesra kunjungan kami. Dan aku sendiri sempat berbual agak panjang dengan beliau.

6. Atas rasa ingin tahu yang meluap-luap dalam hati tentang kenapakah beliau masih ingin meneruskan tugasnya untuk mengajar dan mendidik para anak muridnya, antara lain, beliau mengatakan bahawa pada masa itu, beliau adalah seorang guru yang mengajar mata pelajaran atau subjek Ekonomi dan Perniagaan di sekolah tersebut dan para pelajarnya pula sedang sibuk menghadapi peperiksaan SPM.

7. Beliau lakukan itu kerana mahukan para pelajar yang diajar dan dididik itu akan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.

Justeru, beliau merasa amat terpanggil untuk membantu para pelajarnya khususnya dalam memberi tips atau petua-petua terakhir serta teknik-teknik menjawab soalan secara berkesan sebelum mereka menduduki kertas SPM bagi subjek Ekonomi dan Perniagaan.

8. Dan yang benar-benar meruntuni hati aku adalah apabila beliau mengakui adalah tidak mudah untuk melakukan hal tersebut kerana keadaan dirinya yang sedang terlantar menderita kesakitan mengidap penyakit saraf tunjang.
Beliau, ketika itu, tiada tenaga dan upaya, tapi beliau masih ada semangat dan kecekalan yang panas membara. Hakikatnya pada waktu itu beliau sedang bertarung di hospital sepertimana para anak muridnya juga sedang bertarung dengan SPM.

9. Sebenarnya dalam “pemburuan” kami bagi mengenalpasti dan seterusnya mengunjungi para wira yang tidak didendang ini, aku telah bertemu dua orang guru yang amat berdedikasi.

Seorang adalah Cikgu Mohd Zakuan ini dan seorang lagi seorang guru berbangsa India di Ipoh Perak, yang insyaAllah ceritanya juga akan menyusul dalam catatan “Aku dan Wira Yang Tidak Didendang” pada siri siri yang seterusnya, InsyaAllah.

10. Di samping dedikasi yang amat luar biasa yang dipamerkan oleh Cikgu Zakuan, peranan isteri dan anak-anaknya yang sentiasa membantu dan memberi semangat kepada beliau juga amat dikagumi.

Sebelum bergerak pulang aku ada mencadangkan kepada Cikgu Zakuan untuk cuba mendapatkan rawatan terapi yang aku fikir bagus dan berkesan di sebuah Hospital Kerajaan di Cheras yang menawarkan rawatan terapi secara profesional.

Hakikatnya aku lebih mudah, secara relatif, memahami penderitaannya kerana aku juga pernah diuji menderita kesakitan dan terpaksa duduk di kerusi roda untuk seketika. Malahan ketika mengunjungi cikgu ini aku masih bertongkat walau bertitle seorang Timbalan Menteri.

Aku bergurau dengan beliau “dont worry cikgu, orang sakit (aku) sedang kunjungi orang sakit (dia)”. Beliau tertawa. Ketawa beliau itu sudah cukup mengubat kesedihan aku melihat penderitaan cikgu hebat ini.


SIRI 1: Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 2: Aku dan Wira tak didendang: Bertemu Yusof

SIRI 3: Aku dan Wira Tidak Didendang: Penyelamat kucing

SIRI 4: Aku dan Wira Tidak Didendang: Dr Diana penyelamat haiwan liar

SIRI 5: Aku dan Wira Tidak Didendang: Jururawat yang berani

SIRI 6: Aku dan Wira Tidak Didendang: Posmen yang amanah