Malaysia Dateline

Aku dan Wira Tidak Didendang

SIRI 1

1. Satu hari dalam sekitar tahun 2018, ketika aku sedang membaca akhbar the star di pejabatku, tiba-tiba aku terpandang sebuah berita bergambar yang berjaya menarik perhatian aku.

2. Berita itu mengisahkan seorang lelaki Melayu yang amat sederhana kehidupannya (aku rasakan beliau adalah orang kampung) telah bertindak menolong seorang kawannya yang sedang sakit-menghidap penyakit diabetis, hilang penglihatan di kedua-dua belah matanya, kakinya telah dipotong dan beliau hanya duduk di kerusi roda.

Yang lebih menakjubkan aku adalah lelaki yang amat baik hati itu yang sanggup menolong rakannya, adalah seorang lelaki Melayu, manakala rakan beliau yang sedang sakit itu pula adalah seorang lelaki berbangsa India.

Ya, itu bagi aku, suatu fenomena luar biasa dan ia makin membuat hatiku terus meronta-ronta untuk bertemu lelaki melayu tersebut.

3. Yang lebih-lebih lagi menakjubkan aku adalah lelaki Melayu itu telah, secara konsisten, menolong kawannya yang berbangsa India yang sakit tersebut untuk tempoh yang agak lama -hampir 16 tahun !.

“Wow!”, aku berbisik di dalam hati, “this man is so great. By hook or by crook, I must find ways to meet this wonderful guy!” Tetapi, isunya, macam mana?

4. Maka, aku pun memulakan langkah pertama misi aku untuk bertemu lelaki tersebut. Maka, aku telah meminta pegawai akhbar aku – Saudara Anas – untuk menghubungi wartawan akhbar the star tersebut bagi mendapatkan nombor telepon lelaki Melayu tersebut.

Aku hanya tahu dari laporan media tersebut sekadar info bahawa lelaki Melayu itu tinggal di sebuah daerah di negeri Perak.Tetapi tidak dinyatakan alamat kediaman beliau apatah lagi nombor telepon lelaki tersebut.

Email, facebook atau twitter?

Maaf, pada masa itu, aku tak terfikir lelaki itu seorang yang mungkin tergolong sebagai “internet-savvy”.

5. Misi aku untuk menemui lelaki Melayu itu dimulai dengan Anas mula menghubungi akhbar The Star bagi mendapat maklumat terperinci tentang lelaki Melayu tersebut. Malangnya, misi pertama Anas itu gagal. Ya, gagal.

Aku dimaklumkan oleh Anas bahawa wartawan yang membuat laporan tentang lelaki tersebut telah tidak lagi bekerja di syarikat akhbar tersebut.

6. Bagaimanapun, aku tidak putus asa. Aku memberitahu Anas bahawa walau apa pun, dia mesti kena juga cari jalan untuk menghubungi lelaki Melayu tersebut dan memberi tahu lelaki tersebut berkenaan hasrat aku ingin bertemu lelaki tersebut.

Anas hanya akur. Pada masa itu, aku yakin Anas juga mungkin keliru apa sebenarnya misi dan tujuan aku yang bersungguh ingin sangat bertemu lelaki melayu tersebut.

Ya pada masa itu aku hanya kagum dengan lelaki tersebut dan ingin berjumpa dengan beliau. Belum terfikir hal lain.

7. Apa yang aku pula tidak sedar, pada masa itu, adalah kemungkinan Anas sendiri akan hadapi masalah yang besar untuk laksanakan misi aku tersebut.

Jika pun beliau berjaya menghubungi lelaki tersebut, masalah beliau tidak berakhir di situ.

Masalah kedua beliau adalah bagaimanakah caranya Anas ingin beritahu atau yakinkan lelaki itu yang aku- seorang Timbalan Menteri dalam Kerajaan PH pada masa itu-ingin pergi ke rumah lelaki tersebut dan bertemu beliau.”Tak pernah dibuat orang”, mungkin itu yang Anas fikirkan.

8. Ya, mungkin sahaja Anas betul. Akan tetapi pada masa itu, aku sama sekali tidak tahu masalah yang Anas hadapi tersebut sehinggalah selepas beberapa program aku dan beberapa orang “unsung hero” yang telah dikenalpasti itu berjalan dan dilaksanakan, barulah aku tahu dan sedar masalah yang Anas hadapi tersebut .

Itu pun hanya selepas Anas memberitahuku.

Jujurnya, aku tidak langsung fikirkan masalah yang Anas hadapi itu.

Anas ada memberitahu aku “bukan senang YB dia orang nak percaya saya ini pegawai YB dan lebih susah lagi dia orang nak percaya seorang YB Timbalan Menteri – macam YB – nak jumpa rakyat biasa macam mereka dan ingin berkunjung ke rumah mereka pulak tu. Ia macam tak masuk akal!”

Apapun, aku harus bagi sekalung tahniah kepada Anas. Beliau tidak mudah putus asa. Setiap kali aku bagi tugas kepada beliau, dia akan cuba lakukan yang terbaik hingga ianya berjaya disempurnakan, sesukar mana pun.

9. Apabila Anas memberitahu aku kesukaran dan cabaran besar beliau tersebut hatta sehingga beliau pernah dianggap sebagai seorang “scammer”, aku betul-betul terkejut. Ya, aku terkejut bila mereka yang aku nak jumpa itu boleh terkejut apabila diberitahu aku ingin berjumpa mereka.

“Apa dosa aku?” fikir aku.
Kesilapan aku mungkin aku tak sedar, pada masa itu, yang aku bukan sekadar seorang YB tapi juga seorang Timbalan Menteri.

Ya, aku baru sedar, setelah beberapa waktu, tingginya pandangan masyarakat pada orang macam aku yang berjawatan dalam kerajaan.

Jujurnya, aku tak pernah sama sekali terfikir perkara itu. Aku fikir aku juga sama seperti mereka-sama sama makan nasi!

10. Apa pun, meskipun misi aku untuk bertemu dengan “my first unsung hero” tersebut agak berliku dan banyak menghadapi cabaran, namun berkat kesabaran dan kecekalan Anas, beliau berjaya juga akhirnya mendapatkan alamat kediaman lelaki Melayu tersebut melalui saudaranya yang tinggal di Telok Intan, Perak.

Dan misi aku itu insyaAllah boleh direalisasikan.

Alhamdulillah.

Bersambung insyaAllah.. ….