“Aku disahkan hidap diabetes masa mengandung, suami nak bercerai sebab dia geli”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka, suami yang disayanginya sudah tidak berminat untuk meneruskan perkahwinan hanya selepas tiga tahun berumah tangga.

Lebih memburukkan keadaan, suaminya itu menjadikan penyakit diabetes yang dihidapi oleh wanita berkenaan sebagai alasan untuk membawa haluan masing-masing.

Berikut adalah perkongsian seorang ibu yang masih lagi mencuba untuk menerima kenyataan bahawa dirinya kini adalah pesakit diabetes tanpa sokongan suami disisinya.

“Tiada angin tiada ribut, suami cakap yang dia sudah tak berminat lagi nak teruskan perkahwinan. Sedangkan semua keperluan dia, saya yang uruskan selayaknya. Kami juga baru sahaja menikah tiga tahun. Umur anak kami pula baru lima bulan. Mulanya saya syak dia ada perempuan lain, tetapi alasannya buat saya terkejut.

“Suami cakap saya tak sayangkan diri sendiri sampai hidap diabetes pada umur 31 tahun. Dia cakap itu penyakit orang tua. Malah dia macam gelilah apabila tahu saya sangkut diabetes. Yang dia tahu, pesakit diabetes akan kudung (anggota) sana sini tak lama lagi. Katanya juga ini penyakit untuk orang yang kuat makan.

“Padahal suami sendiri tahu yang saya jaga makan macam mana. Badan saya juga tak gemuk. Sebenarnya saya sangkut diabetes dalam kandungan atau Gestational Diabetes Mellitus (GDM). Mak ayah saya pula memang penghidap penyakit ini. Jadi doktor cakap memang akan sangkutlah kalau masa tengah mengandung.

“Selepas bersalin buat ujian air gula pula memang sah ada diabetes. Saya kenalah teruskan hidup sebagai pesakit diabetes, sampai ke matilah. Sudah banyak kali saya terangkan kepada suami tetapi dia macam sudah tawar hati. Entah-entah ada sebab lain kot? Sedihlah macam ini. Apakah salah saya sebenarnya?

“Padahal saya kena diabetes sebab mengandungkan anak suami. Inilah masalahnya kalau semasa buat pemeriksaan ketika mengandung, dia tak pernah nak teman.” Kata seorang wanita berkongsi masalahnya tanpa mendedahkan identiti menerusi satu hantaran di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Baca juga: Tak mampu beli durian, pakcik tua beri nota minta sebiji durian paling murah, peniaga beri selonggok udang merah