“Aku ibu berkerjaya, tapi digelar biawak hidup kerana suami penjawat awam bergaji tinggi”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka suami yang pernah memintanya berhenti kerja tergamak menggelarkannya biawak hidup hanya kerana menerima gaji rendah.

Sering mengguna ceramah ustaz sebagai modal untuk berpoligami, lelaki berkenaan bagaimanapun menganggap kuliah mengenai nafkah isteri sebagai perkara sesat.

Masih bertahan selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga, berikut perkongsian wanita yang menghidap kemurungan ketika hamil selepas suaminya berlaku curang.

“Aku masih bertahan untuk tahun yang kelapan dalam berumah tangga. Dikurniakan tiga cahaya mata yang comel dan bijak. Aku adalah seorang wanita yang berkerjaya. Suami pula penjawat awam yang bergaji RM5,000 ke atas. Dia juga ada pendapatan sampingan dalam purata, anggaran RM1,500 ke RM2,000 sebulan.

“Aku tak pasti pendapatan sampingan suami itu halal atau sebaliknya. Katanya, aku tak perlu ambil tahu. Suami aku anak manja. Tak pernah dipukul atau dimarahi oleh ibu bapa. Senang kata apa yang dia mahu, semua wajib dapatkan. Orang sekeliling yang sayang padanya harus mengalah untuk meleraikan pertelingkahan.

“Termasuklah aku dan ibu bapanya yang terpaksa beralah walaupun kami juga tahu perbuatan dia itu salah. Perwatakan aku? Seratus peratus bertentangan dengan dia. Dilibas dengan rotan oleh mak ayah aku sampai berbirat, berdarah itu perkara biasa. Nampak macam kejam, tetapi tujuan ibu bapaku adalah untuk mendidik.

“Mungkin juga mereka sangat khuatir kerana membesarkan anak perempuan sulung di Kuala Lumpur. Tetapi sepanjang hidup bersama suami, kesihatan mental aku jadi menurun. Sewaktu mengandung anak ketiga, aku disahkan menghidap kemurungan selepas kecurangannya yang kerap bermain aplikasi cari jodoh.

“Suami kata dia kacak, petik jari semua bersusun nak berkenalan. Nafkah zahir yang dia sediakan, boleh dikatakan hampir cukup untuk keselesaan kami. Tetapi jika kami bergaduh, semua yang dia sediakan akan diungkit. Aku dipanggil seekor babi atau biawak hidup. Pernah juga ditumbuk dan dikasari sehingga badan lebam.

“Alasan suami, tidak sengaja. Sampai satu tahap, suami hadapi masalah kewangan. Kerana dia mula melayan hobi bermain kereta. Aku pula terlampau tawar hati untuk bantu suami dari segi kewangan disebabkan panggilan dia sebelum ini. Konon bela isteri macam bela biawak hidupkan. Baik, aku jadi biawak hidup.

“Sebelum ini, aku memang tak sumbangkan duit untuk komitmen rumah sebab tahu kemampuan suami. Tetapi aku tukar sumbangan dalam bentuk tenaga. Masakkan untuk dia bila lapar walaupun tengah malam. Jadi tukang urut, gosok baju, jaga dia waktu demam dan uruskan anak kebanyakan masa.

“Wajarkah aku dikatakan tiada fungsi di dalam rumah dan boleh dihalau sesuka hati? Aku pendam. Paling merisaukan sekarang, suami sudah tidak percayakan kata-kata Ustaz. Ceramah yang didengar, akan dipilih sekerat-kerat bahagian yang mana dia rasa nak ikut. Paling setuju bab poligami.

“Tetapi kalau ceramah bab nafkah, tugas isteri dan rezeki suami bergantung kepada doa isteri langsung, dia kata sesat dan ‘feminism’. Namun sebagai seorang ayah, aku tak nafikan dia memang bagus. Tetapi hanya sekadar melayan anak ketika bersihlah. Pakai, minum dan berak kencing anak, semua dia akan tolak.

“Sangguplah suami pura-pura badan penat nak tidur atau keluar sekejap jumpa jiran. Sudahnya, aku yang kena uruskan anak. Jadi, aku teruskan mengambil perancang keluarga demi kesihatan mental sendiri. Aku juga menolak permintaannya berhenti kerja. Ya, aku dengan setuju ayat ‘tempat terbaik isteri adalah dirumah’.

“Tetapi dengan perangai suami macam ini, aku sudah bertekad tidak akan berhenti kerja walau apa pun yang terjadi. Sebab dalam Islam pun tak melarang isteri keluar bekerja. Jadi isteri memang wajib taat. Tetapi kena bijak jugalah gunakan akal Allah berikan untuk menghadapi suami yang taksub dengan diri sendiri ini.

“Namun perlulah sejajar dengan ajaran islam untuk pertahankan rumah tangga dari berlakunya perceraian dan penindasan. Kesimpulannya, bercerai ataupun bertahan? Entahlah. Perempuan ini dengan satu kata cinta, dia boleh setuju untuk berkahwin. Tetapi mungkin memerlukan 1000 kali kekuatan untuk meninggalkan perkahwinan.

“Lagipun kami kahwin dulu pun, atas suka sama suka. Bukan kahwin paksa. Enam bulan berkenalan, terus berkahwin. Aku rasalah, mungkin rumah tangga kami masih bertahan sebab doa dari ibu dia sahaja untuk menantunya terus bersabar. Hanya Allah Maha Melihat dan tahu apalah yang terbaik untuk hambaNya. Insya-Allah.

“Terima kasih sudi dengar luahan aku. Aku hanya memerlukan tempat untuk meluah. Kalau pendam aku mungkin yang kemurungan. Doakan supaya aku kuat.” Kongsi wanita berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Jijik! Lapan tahun bapa rogol anak kandung sampai lahir dua anak, itu pun ibu masih tak percaya