“Aku makin bijak lepas 5 tahun berkahwin, nekad berhenti menagih kasih ibu mentua”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka dirinya akan menerima layanan dingin daripada ibu mentua hanya kerana latar belakangnya yang datang daripada keluarga sederhana.

Mencuba pelbagai cara untuk mengambil hati ibu kepada suami kesayangan, wanita dikenali sebagai Kejora itu malah sering dibanding-bandingkankan dengan birasnya.

Berhasrat untuk melanjutkan pelajaran demi mengubah nasib keluarganya, berikut perkongsian Kejora bersemangat dan tidak mahu lagi menagih kasih dari ibu mentua.

“Assalamualaikum pembaca, saya Kejora. Tinggal di selatan tanah air. Seorang isteri yang bekerja sebagai penjawat awam. Saya lahir di dalam keluarga yang sederhana. Bapa saya seorang buruh dan ibu pula pembantu am. Adik-beradik semua berjaya ke menara gading dan kini bekerja dalam bidang profesional.

“Saya dan suami berkenalan semasa melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi. Kami berkahwin selepas masing-masing sudah berkerjaya. Suami saya juga bekerja dalam bidang profesional. Keluarga mentua asalnya adalah orang berada dan suami saya dibaratkan sebagai anak harapan mereka.

“Sebelum berkahwin, ibu mentua sudah menunjukkan banyak petanda bahawa dia tak berkenan dengan saya. Tetapi kerana cinta, saya meneruskan jua. Saya sedar, ibu bapa menerima layanan dingin dari ibu mentua. Bahkan semasa mereka masuk meminang, ibu bapa saya dihentam mengenai perkara membabitkan hantaran.

“Ketika itu, saya tak memahami bahasa kiasan atau perli-memerli. Ibu saya sampai menitiskan air mata. Namun semakin lama kami berkahwin, semakin jelaslah mentua punya layanan kepada ibu bapa saya. Pada awal perkahwinan, saya sangat bertolak ansur dan sudah mencuba mengambil hati ibu mentua.

“Tetapi ibu mentua suka sangat membandingkan saya dengan menantunya yang lagi satu. Iyalah, menantu lagi satu suka mengambil hati. Ada sahajalah perkara yang dia mahu kongsikan dalam kumpulan sembang di Whatsapp. Ketika dia bunting pelamin, setiap hari si biras ini akan berkongsi apa yang dia rasa.

“Bayangkan, berapa kali muntah pun nak kongsi. Nasib baiklah anaknya satu sahaja. Saya pula lambat dapat anak, setahun menunggu. Itu pun berbuih mulut mentua minta cucu. Sekarang anak saya sudah sepasang. Cukuplah untuk menutup rapat mulut ibu mentua. Kini, sudah lebih lima tahun saya dan suami berkahwin.

“Saya sudah semakin bijak dan tidak lagi menagih kasih sayang ‘ibu mentuaku’. Apa sahaja kata-katanya, pasti saya berani untuk bersuara. Apa-apa sekalipun, ibu bapa saya akan diutamakan terlebih dahulu. Walaupun kadang-kadang, suami makan hati dengan keputusan yang saya ambil sekarang.

“Saya pernah bercerita dengan suami tentang apa yang ibu mertua pernah lakukan terhadap isterinya ini (terlalu panjang untuk diceritakan). Namun begitu, suami hanya berdiam. Saya hanya bercerita untuk meluahkan sahaja, bukan untuk dia membenci ibunya. Kerana seorang anak tidak akan pernah mampu membenci seorang ibu.

“Pernah sekali ibu bapa saya datang ke rumah mentua. Tetapi enggan melayan dan langsung tidak masak. Katanya, mahu pergi Selangor untuk urusan kerja. Tetapi saya tahu, mereka sengaja tidak mahu berjumpa besannya. Bermula dari itu, saya sedar di mana letaknya ibu bapa saya di mata mereka.

“Apa yang nak ceritakan di sini, saya merasa cemburu dengan adik-beradik lain yang berkahwin sekufu. Kerana hubungan ibu bapa saya bersama besan yang lain sangat baik. Kalaulah mampu mengundurkan masa, saya nak perbetulkan masa lalu. Saya sukar memaafkan sifat ibu mentua yang kadang-kadang sangat melampau.

“Sampaikan saya juga memiliki sedikit rasa benci kepada suami apabila teringatkan perangai mentua. Pernah juga berharap suami berlaku curang supaya saya tak perlu menghadap mentua lagi. Saya akan sambung belajar lagi hujung tahun ini kerana mahu membuktikan bahawa ibu bapa berjaya mendidik dengan baik.

“Anak orang susah juga boleh berjaya. Terima kasih kerana sudi membaca luahan ini. Minta maaf jika penulisan saya agak berterabur.” Tulis Kejora (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Suami dipaksa kahwin lepas hamilkan rakan sekerja, katanya nak senang buka buku pink, aku hanya terdiam”