Wanita manakah yang dapat menerima hakikat apabila suami tersayang tiba-tiba meluahkan hasratnya untuk ‘menghadiahkan’ madu dengan menikah sekali lagi.
Namun hal ini berbeza dengan sikap seorang wanita yang menerima madu dengan hati terbuka untuk membantu melindungi maruah perempuan lain daripada tercemar.
Langit bagaimanapun tidak selalu cerah malah wanita itu mula dikuasai api cemburu dan berikut perkongsiannya yang menyesali tindakannya ekoran terlalu mengikut perasaan.
“Hai semua, Assalamualaikum. Aku berumur dalam lingkungan 30-an, seorang isteri yang memiliki kerjaya sendiri. Aku dengan suami, Gajus sudah menikah selama lebih lima tahun. Aku memang sukakan suami sebelum kahwin, tetapi tak pernah beritahu dia. Tup-tup kami berkahwin selepas dia ajak. Kami tidaklah bercinta mana.
“Aku bertunang dengan suami sebelum dia ditugaskan ke Borneo. Kahwin pula enam bulan selepas itu. Kami bahagia sangat. Gajus tak pernah culas menunaikan segala tanggungjawabnya. Kami berPJJ (Perhubungan Jarak Jauh) kadang-kadang sahaja. Sebab aku kerja jenis fleksibel, boleh pergi Borneo dua minggu dalam masa sebulan.
“Kiranya dua minggu duduk di negeri suami, dua minggu lagi aku tinggal seorang diri di Semenanjung. Aku tak boleh pindah Borneo terus sebab tuntutan kerja. Sebelum tidur, kami akan berborak. Kalau PJJ akan bercakap di dalam telefon sampai tidurlah. Boleh dikatakan semua perkara aku ceritakan kepada suami, dia juga buat begitu.
“Sampai semua gosip-gosip dekat tempat suami mengajar, aku tahu. Gembira kan? Sehinggalah suatu masa itu, Gajus bercerita tentang seorang guru wanita yang baru ditugaskan di sekolah dia. Boleh dikatakan, sekolah itu dalam kawasan pedalaman juga. Dekat pantai. Murid tak ramailah sebab mereka selalunya keluar dan masuk.
“Aku suka ikut suami pergi ke sekolah dan jumpa anak murid dia. Kadang-kadang itu, aku hulur sumbangan juga kalau ada rezeki lebih atau kawan-kawan nak sampaikan. Jadi kebanyakkan cikgu dekat sana memang kenal aku. Tentang guru wanita baharu itu, rupanya dia pernah berjiran dengan suami masa dia kecil. Aku namakan, Bunga.
“Bunga memang ayu dan sangat lincah. Mula-mula jumpa, aku akui dia sangat ayu dan periang. Walaupun Bunga baru ditugaskan, tetapi macam-macam program dia sudah kendalikan. Dia aktif juga dengan kerja kesukarelawan. Sampai dari kampung pengairan ke satu kampung lainlah Bunga sanggup pergi dengan kumpulan dia.
“Bunga pergi dengan kumpulan pertububuhan bukan kerajaan (NGO). Aku kagumlah dengan dia. Suami juga selalu cerita mengenai Bunga. Aku mengusik juga dia. Cakap mentang-mentanglah Bunga lawa, asyik cerita tentang dia sahaja. Selepas itu, Gajus akan potong cakap aku, kata mak cik kantin sekolah juga dia selalu cerita dekat aku.
“Tidak mengapalah, aku juga suka mendengar. Aku sudah berkawan dengan Bunga tetapi tak rapat sangat sebab sudah jarang balik Borneo. Aku semakin sibuk selepas kenaikkan pangkat. Tak dapat duduk selama dua minggu macam mula-mula kahwin dahulu. Kemudian satu hari itu, kami baliklah kampung Gajus semasa cuti panjang.
“Suami pun ceritalah perihal bekas jirannya, Bunga dekat keluarganya. Mak mentua punyalah terkejut, terus menangis sampai semua tergamam. Selepas sedihnya reda, barulah mak mentua ceritakan kisah Bunga. Rupanya ibu dan bapa Bunga meninggal dunia dalam kemalangan. Dia pula anak tunggal. Ditinggalkan ketika Darjah Empat.
“Lamalah Bunga tinggal di rumah mak mentua sebab keluarga ibu bapanya tak nak ambil dan jaga. Sedih sangat. Sampailah dapat berita yang pampasan insuran dari kemalangan ibu bapanya bakal dibayar. Terus berebut saudara-mara, entahlah dari mana mereka datang. Akhirnya, ibu saudara belah ayah Bunga yang ambil dan jaga.
“Menangis juga Bunga tak nak pindah. Mak mentua rasa sedih dan terkilanlah sebab beberapa hari sebelum kemalangan, mak Bunga selalu fikirkan siapa nak tengokkan anak perempuan dia. Mak Bunga cakap mereka tiada saudara mara, sebatang kara. Itu yang mak mertua terkesan sangat, dia ada juga mencari Bunga tetapi tak jumpa.
“Mak mentua sayangkan Bunga macam anak sendiri. Suami tak tahu sangat hal itu sebab dia duduk asrama. Mak mentua nak jumpa Bunga, tetapi dia memang tak nak balik Semenanjung. Jadi mereka berhubungan dalam telefon sahajalah. Dipendekkan cerita, Bunga diuji dengan satu ujian yang sangat berat ketika tahun ketiga mengajar.
“Bunga telah diganggu secara seksual semasa buat lawatan ke sebuah kampung ini. Pelakunya bukan orang kampung tetapi datang dari seberang. Tak dapat tangkap. Kasihan sangat dekat Bunga. Orang kampung jumpa Bunga pengsan semasa dalam perjalanan seorang diri nak ajar kelas tambahan kepada anak muridnya yang tercicir.
“Orang kampung hubungi suami aku. Jadi yang tahu kes ini hanya suami, Bunga dan beberapa orang kampung. Bunga trauma dan tak nak cerita kepada sesiapa. Sudah buat laporan tetapi polis tak dapat kesan pelaku sebab dia bukan orang tempatan. Aku menangis ketika suami ceritakan masalah Bunga ketika dia mahu meminta izin.
“Suami minta izin sebab dia perlu selesaikan banyak urusan tentang kes Bunga. Dia juga bertekad mahu menjaga aib Bunga. Aku tak kisah sebab diri sendiri juga sayang Bunga. Selepas insiden itu, Bunga sudah tak aktif di platform sosial media termasuk Whatsapp. Kasihan Bunga, hanya seorang diri di negeri orang. Keluarga juga tiada.
“Kemurungan Bunga semakin teruk. Lama juga cuti sakit sampai Guru Besar datang nak berjumpa. Tetapi Bunga berkeras tak nak beri tahu hal sebenar. Dahulu, Bunga baik dengan semua orang, sekarang terus berubah personaliti. Orang yang berbeza dan menyendiri. Satu hari itu, suami suarakan hajatnya nak memperisterikan Bunga.
“Ketika itu aku dekat Borneo. Suami kasihankan Bunga sebab tiada orang tengokkan dia. Guru-guru lain banyak pulaukan Bunga dan anggap dia bermasalah. Sedangkan puncanya Bunga tak dijaga dan menerima rawatan sepatutnya. Aku terkejutlah dan terdiam. Aku pandang muka Gajus lama. Pada aku, dia memang tiada cacat cela.
“Tak tahu kekuatan dari mana, terus aku cakap menikahlah sekiranya perkahwinan itu menambahkan rasa cinta suami dekat diri ini. Aku juga kasihan dekat Bunga, jadi bantulah dia. Suami menangis sambil memeluk aku. Gajus siap bersumpah di dalam hatinya, hanya ada aku sahaja. Dia cuma kasihankan Bunga yang sebatang kara itu.
“Minggu itu juga aku melawat Bunga, cakap baik-baik mengenai hasrat untuk masuk meminangnya. Aku cakap dekat Bunga, nak jaga dia juga. Lama Bunga diam dan tak beri jawapan. Selepas sebulan aku balik Semenanjung, barulah Bunga menelefon dan berikan jawapannya. Maka berkahwinlah mereka berdua dan bermadulah aku.
“Mak mentua banyak kali tanya sama ada aku sudah gila atau tak sayangkan anak dia. Selepas mak mertua tahu cerita sebenar, terus dia rasa serba salah dan biarkan kami buat keputusan sendiri. Keluarga aku tak cakap apa-apa sebab suami memang menantu yang baik walau jarang jumpa. Selepas itu, Bunga semakin pulih dan ceria.
“Guru-guru dekat sekolah lagilah terkejut. Macam-macamlah gosip keluar, menuduh suami aku macam-macam. Apabila jumpa aku, mereka peluk-peluk kononnya telah disakiti. Aku bela suami dan Bunga. Tiada istilah penyondol sebab aku yang masuk minang Bunga. Terdiamlah mereka. Awal-awal bahagia sahaja, tetapi aku yang diuji.
“Diuji dengan perasaan cemburu padahal aku yang reda pada mulanya. Aku jarang balik sana sebab sakit hati. Dahulu sebulan dua minggu, sekarang tiga hari sahaja aku duduk rumah suami. Pernah sekali, sebulan tak balik. Kononnya merajuk. Suami beberapa kali juga balik Semenanjung pujuk aku walaupun tak dapat cuti panjang.
“Tetapi selepas suami balik Borneo semula, aku buat perangai lagi. Sekat dia dalam aplikasi Whatsapp. Aku ketagihkan perhatian dia sahaja sebenarnya. Mula-mula itu dia layankan juga. Tetapi lama-lama hilang. Akhirnya aku makan hatilah seorang diri. Sakit hati tengok Bunga pulih daripada kemurungan. Bahagialah dia dengan Gajus.
“Hal itu buat aku tak ikhlas. Ada sekali itu suami balik Semenanjung jumpa aku untuk pujuk dan tanya keadaan isterinya. Tetapi aku tak layan. Rasanya nak robohlah pintu bilik rumah kami sebab Gajus ketuk nak cakap dengan aku. Sampai tertidur dia dekat ruang tamu dan pulang semula ke negerinya pada keesokkan hari sebab tiada cuti.
“Aku lagi sakit hati selepas dapat tahu Bunga hamil. Mak mentua aku terlepas cakap dalam kumpulan sembang keluarga yang Bunga mengidam. Dia cakap, ‘Bunga nak balik ke kampung Gajus sebab mengidam ya’. Aku menangis seharian di dalam bilik. Entah kenapa, aku fikir lepas satu-satu kebahagiaan diri ini yang telah Bunga ambil.
“Aku sekat semua orang sebab nak merawat hati ini. Pendek cerita, aku tak balik lagi ke negeri suami bekerja. Alasan konon nak beri privasi kepada bakal ayah dan ibu itu. Padahal kalau aku balik, memang sudah ada rumah asing. Gajus akan sewakan satu rumah inap untuk aku. Kadang-kadang tempah resort. Punyalah nak jaga hati aku.
“Lama jugalah aku sekat nombor telefon suami dengan Bunga. Dalam tiga bulan juga kami tak berhubungan. Semua melalui adik ipar kalau aku perlu maklumkan sesuatu atau meminta izin. Sampailah satu hari itu, adik ipar cakap Bunga dan Gajus balik ke Semenanjung untuk buat pemeriksaan kesihatan. Aku peliklah, kenapa jauh sangat.
“Barulah aku tahu, rupanya doktor mensyaki Bunga menghidap barah yang tiba-tiba sahaja menyerang. Ketika itu, kandungan Bunga hampir lima bulan. Aku tergamam. Selepas itu aku nyahsekat nombor Bunga. Berderu masuk pesanan daripadanya dan panjang berjela. Dia ada berkata khabar dan cerita macam-macam dalam mesej itu.
“Pesanan yang terkini, Bunga minta maaf panjang berjela. Dia mohon doa daripada aku. Menangis baca, aku yang berjanji nak menjaga Bunga sampailah dia sihat dari kemurungan. Tetapi selepas dia sihat, aku pula cemburu. Buat Bunga rasa bersalah macam dia yang rampas suami aku. Mesej terakhir lima hari sebelum mereka balik.
“Aku telefon suami tetapi tak berangkat, hubungi Bunga juga tak dapat. Selepas buat panggilan adik Ipar, barulah lepas. Mereka rupanya sudah dekat hospital, di ruangan kecemasan. Sampai sahaja Semenanjung, Bunga terus ditahan di dalam wad malah keadaannya juga kritikal. Sel kanser dalam badannya sudah merebak ke organ lain.
“Doktor juga terpaksa gugurkan kandungan Bunga, bayi perempuan yang sempurna sifatnya. Suami cakap, Bunga nak sangat namakan bayi mereka dengan nama aku. Katanya nak anak itu membesar jadi orang sebaik aku. Menangislah aku tiada henti. Menyalahkan kebodohan diri. Bunga kemudian masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Beberapa hari kemudian, Bunga juga pergi untuk selamanya. Sepanjang dia di ICU, aku banyak menemaninya ketika waktu melawat. Hampir khatamlah al-Quran sebab aku bacakan ayat-ayat suci ke telinga Bunga. Berselang-selikan dengan perkataan maaf aku terhadap Bunga. Sememangnya, aku menyesal sangat-sangat ketika itu.
“Penyesalan terbesar aku adalah kehilangan seorang adik yang ikhlas menyayangi aku. Bunga tinggalkan aku dengan hibah takaful miliknya. Dia meletakkan nama aku sebagai penerima, ratusan ribu juga nilainya. Aku wakafkan semuanya di atas nama bidadari kami, Bunga. Diari milik Bunga umpama senjata siksaan buat jiwa aku.
“Tiada satu helaian pun yang tidak menyebut nama aku. Terbongkar segalanya yang Bunga menerima pinangan suami kerana aku. Menyesal aku tak berbuat baik kepada Bunga. Gajus? Masih menangisi pemergian Bunga dan bayi mereka. Walaupun suami tetap melayani diri ini dengan baik, tetapi aku tahu separuh jiwanya juga telah pergi.
“Semoga pembaca mendoakan aku ya. Doakan supaya aku dapat berjumpa dengan Bunga semula di Syurga.” Kongsi wanita yang penuh penyesalan itu menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Aku korban semuanya untuk keluarga tapi tetap digelar derhaka oleh mak, hanya sebab…”