“Aku pelik kenapa suami macam ‘hamba’ kat rumah mentua, jawapan dia buat aku menangis…”

Oleh MAISARAH AISYA

Suami atau isteri mana sahaja yang tak terkesan jika melihat pasangan berhempas pulas demi keluarga sedangkan ada adik beradik lain.

Apatah lagi menyedari diri sendiri serba kekurangan namun sanggup membuat apa sahaja apabila pulang ke kampung.

Seorang wanita pada mulanya pelik akan sikap suami yang terlalu kuat bekerja apabila pulang ke rumah mentua namun jawapan diberikan amat memilukan

Di bawah adalah kisah yang tular di Facebook dikongsi oleh seorang pengguna bernama Qurratu Aini agar menjadi satu tauladan buat orang ramai.

Suami saya tak kaya. Rumah masih menyewa. Kereta pun pakai myvi je. Tapi bila balik kampung, dia lah yang bersungguh-sungguh buat itu ini.

Adik beradik yang lain ada ada sahaja dan boleh dikatakan, semuanya lebih senang dari kami. Tapi tulah, nak kata pun tak kena.

Mereka selalunya memilih untuk buat tak tahu je. Sibuk dengan hal masing-masing. Jadi saya beranikan diri untuk tanya suami.

Saya tanya kenapa suami nak buat semua tu? Beli air minuman (rumah mak mentua tak ada coway), beli beras, beli barang-barang basah, beli juadah berbuka.

Suami juga pergi buang sampah, basuh tandas, basuh pinggan sedangkan adik beradik dia yatak buat apa pun, kutip duit nak beli barang dapur pun tidak.

Suami diam, saya tahu pertanyaan tu mungkin agak kasar tapi saya tak nak adik-beradik dia ambil kesempatan atas kelurusan diri dia.

Lama suami mendiamkan diri dan kemudian dia pandang saya dan dia jawab.

“Abang tak kaya. Balik pun sekali sekala. Nak bagi banyak-banyak, memang abang tak mampu. Apa yang abang ada ni lah. Tulang empat kerat yang masih ada kudrat.

“Abang tahu, awak mesti pelik dengan adik beradik abang kan? Entahlah. Abang nak betulkan pun, nak tegur, semuanya dah besar panjang. Abang tak mampu.

“Biarlah abang betulkan diri abang sendiri, buat apa yang mampu, biar raya ni semua gembira, biarpun abang letih sikit,” saya hanya mampu dengar luahan suami.

“Lagipun, abang kesiankan mak. Masa abang bersihkan bilik mak semalam, abang kutip rambut-rambut dia yang gugur. Banyak. Semuanya dah putih.

“Abang masuk toilet mak. Abang nampak gigi palsu mak. Rupa-rupanya mak dah pakai gigi palsu. Abang tak tahu pun, percakapan dia dah mula sangkut-sangkut.

“Kalau abang tak boleh bagi mak duit banyak, biarlah mak rasa senang dengan kehadiran abang. Reda dengan abang. Tu pun dah cukup,” berderai air mata saya.

Saya tak tahu nak kata apa. Saya pegang tangan dia. Saya salam dan saya kucup. Saya minta maaf atas soalan saya tadi tu.

Masa peluk dia, dia cakap abang harap anak-anak kita nanti pun akan buat benda yang sama kat awak. Jaga awak. Hormati awak. Sayang awak, macam abang buat kat mak.

Ya Allah. Ampuni saya dan rahmatilah dia.

Baca juga: “Anak tak minat masuk sekolah agama jadi aku isikan borang SBP, sekali suami label aku perosak”