“Aku saksi lihat seorang isteri menagih kasih suami, sehingga tubuhnya kaku, semua sebab poligami…”

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi mereka yang bermadu pastinya merasa berkemampuan adalah satu-satunya faktor berkahwin lain namun tidak mengendahkan perasaan isteri dan anak.

Selalunya isteri dan anaklah paling terkesan apabila suami memilih untuk poligami, tambahan ramai yang tidak hiraukan keluarga lama demi isteri baru.

Seorang wanita, Cempaka (bukan nama sebenar) menceritakan semula keperitan hidup ibunya yang menagih kasih suami selepas bapanya berkahwin dua di IIUMC.

“Aku merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik. Secara ringkas aku daripada keluarga broken.

Perkahwinan ibu dan ayah tak pernah mendapat restu daripada keluarga. Aku hidup dalam keluarga yang nampak bahagia tapi sebenarnya tidak.

Ada satu peristiwa masa tu umur aku tujuh tahun. Aku nampak ada satu mesej daripada seorang perempuan dekat telefon ayah. Aku pelik tapi aku diamkan.

Cuma makin lama aku rasa ayah dah tak pernah kisah tentang ibu, aku dan adik adik. Fikiran aku cuma positif mungkin ayah sibuk dengan kerja.

Sehinggalah aku berumur 17 tahun. Ya Allah masa tu luluh hati aku. Ya, sebenarnya ayah dah ada isteri kedua dan perkahwinan mereka dirahsiakan.

Tak pernah ajar anak bencikan ayah

Masa tu ibu tak mampu nak cakap apa-apa. Aku ingatkan ibu nak bercerai tapi ibu bertahan demi anak anak. Sejak daripada tu ibu besarkan kami adik beradik.

Ayah tak pernah ambil tahu hal kami. Ibu kerja kilang mee, ibu bawa motor hantar bekal ke sekolah, ibu bawa adik ke hospital sebab demam.

Ibu buat semua benda seorang. Ibu sembunyikan rasa sedih dia, ibu cakap jangan pernah benci ayah. Bertahun-tahun ibu bertahan. Allah saja yang tahu luka yang ibu pendam.

Ibu hidap kanser

Sehinggalah pada tahun 2019, ibu disahkan menghidap kanser. Masa tu aku dah pun habis belajar. Adik adik lain pun sama.

Ibu terpaksa dirawat di negeri lain sebab negeri yang kami tinggal tiada khidmat pakar. Dan bermulalah perjalanan aku menjaga ibu.

Masa mula mula ibu sakit, ibu berada dalam keadaan tertekan. Aku cuba pujuk ibu. Ibu suka mengait jadi aku belikan set alat mengait.

Ibu suka melukis jadi aku belikan drawing block. Alhamdulillah secara perlahan ibu dapat terima kanser itu.

Walaupun ibu sakit, ibu tetap tersenyum. Tapi aku tak mampu nak bagi ibu barang mahal. Yelah sebab masa tu aku keje biasa je.

Dengan hasil duit kerja aku tu, aku guna untuk tampung rawatan hospital ibu. Duit daripada ayah? Aku tak pernah berharap lebih. Aku guna 100% kudrat aku untuk jaga ibu.

Ibu hari-hari tanya bila ayah nak melawat ibu. Aku cuma mampu diam dan menangis dalam hati. Aku dah telefon ayah tapi ayah tak datang.

Aku pujuk ibu, aku bagitahu nanti ayah datang, ibu sabar ye. Raut muka ibu nampak kecewa.

2020

Setahun berlalu, banyak kali rawatan kemoterapi ibu buat. Tapi ibu tak pernah mengeluh. Ouh ya, tahun 2020 ni paling aku ingat. Hehe ibu seronok nak raya.

Pertama kali ibu cuba buat biskut sampai hangus biskut tu haha. Ibu buat kek marble tapi keras.

Aku makan je sebab yela tu kan kek ibu buat dengan kasih sayang. Ibu gemuk masa ni yela sebab kesan kemoterapi.

2021

Tahun ke dua ibu jadi pejuang kanser. Masa ni pkp dan rawatan kemoterapi ibu dah mula sikit. Yela sebab nak bagi laluan dekat orang lain. Ibu masih ceria.

Raya tahun ni, ibu dah tak excited macam tahun lepas. Ibu cuma gubah bunga. Ibu cakap ibu malas nak buat biskut raya.

Aku turutkan sahaja kehendak ibu. Ibu pesan bunga yang dia gubah tu ambil gambar. Makin lama aku tengok kesihatan ibu semakin merosot dan ibu makin kurus.

Kanser ibu makin merebak. Aku dah bawa ibu ke hospital besar tapi doktor cuma mampu bagi ubat tahan sakit. Rawatan kemoterapi ibu tak dapat dibuat sebab belum giliran ibu.

Hari ke hari ibu menahan sakit. Ada satu peristiwa tu ibu minta aku ambilkan wuduk untuk dia solat Zohor.

Aku pun pakaikan telekung untuk ibu. Ibu cakap “macam ni lah nanti, kakak kafankan ibu.” Aku terdiam & pelik.

Hari seterusnya ibu minta aku untuk potongkan kuku dia. Dia pesan supaya senang nanti urusan.

Tiga hari selepas itu, aku pujuk ibu untuk ke hospital. Ibu degil orangnye. Tapi entah macam mana hari tu dia nak ke hospital cuma dia cakap esok pun boleh.

Aku berkeras untuk bawa pada hari tu juga. Pagi sebelum ibu pergi hospital, ibu minta roti dan secawan susu. Aku tanya kenapa tak habis. Ibu bagitau ibu tiada selera.

Pagi tu, aku bawa ibu ke hospital. Ye, lama dekat kecemasan. Ada satu perasaan menjentik hati aku. Aku rasa ibu dah tak lama. Tapi aku cuba positif ibu akan okay.

Masa tu waris tak boleh jaga pesakit dekat hospital. Aku nampak ibu. Ibu pegang tangan aku dan ibu suruh aku balik.

Aku nampak ibu senyum tapi entah kenapa aku rasa sebak. Senyuman ibu macam aku takkan dapat tengok lagi. Keesokan paginya, aku pergi hospital.

Yela nak hantar ibu makanan dan lampin pakai buang dewasa. Ibu paling suka roti gardenia perisa butterscotch dan buah lai. Lagi satu ibu suka minum soya.

Aku tak boleh masuk jadi aku letak barang dekat tempat pengawal keselamatan. Aku cuma nampak kelibat ibu sipi daripada tingkap.

Petang nanti aku nak datang lagi. Nak mandikan ibu. Dalam pukul 6.30 petang aku terima satu panggilan. Suara nurse tu macam cemas suruh aku datang ke hospital.

Hati aku mula tak tenang tapi aku cakap pada diri ibu tak apa apa. Sampai je depan pintu pagar hospital, azan berkumandang.

Aku jalan menuju ke wad ibu. Aku berjalan lagi dekat katil ibu. Aku nampak tirai ditutup. Lemah lutut aku rasakan.

Doktor jumpa aku. Doktor cakap ibu dah tiada. Mereka dah cuba sedaya upaya tapi ibu dah tiada.

Ya Allah gelap dunia aku masa tu. Aku masuk aku pegang tangan ibu, tangan ibu sejuk. Aku nampak roti ibu belum buka.

Aku nampak susu ibu masih dalam beg. Aku tengok mesin ventilator senyap je. Aku ingat mimpi tapi betul ibu dah tiada.

Aku pun mandikan jenazah ibu. Aku tak boleh nak tahan sebak. Dulu aku mandikan ibu masa ibu hidup tapi sekarang aku mandikan ibu dalam keadaan dia kaku.

Ibu cantik, ibu macam tidur. Aku usap kepala ibu, aku bagitahu ibu.

“Ibu dah tak sakit, sikit lagi ye ibu. Nanti kakak bawa ibu balik ya.” Ya, sampai akhir hayat ibu, ayah tak datang.

Ayah hantar ibu dalam keadaan ibu hidup dan ayah datang balik dalam keadaan ibu kaku berselimut putih.

Sejak daripada haritu aku alami kemurungan. Bagaikan hilang separuh nyawa. Dan dalam masa setahun ayah sudah berkahwin lain. Ayah gantikan ibu dengan mudah.

Cuma terkadang aku terfikir mungkin Allah nak bagi syurga dekat ibu sebab tu ibu diuji. Tahun ni genap tiga tahun ibu pergi.

Alhamdulillah kehidupan aku semakin baik. Aku mula terima kehilangan ibu walaupun terkadang rasa rindu sangat kuat.

Aku jadikan kenangan dengan ibu penguat untuk aku hidup. Terima kasih Allah pinjamkan ibu yang hebat untuk hambaMu ini.

Untuk kehidupan ayah, aku cuma mampu doa yang terbaik. Kalau orang bertanya, luka apa yang paling sakit untuk aku? Aku akan menjawab,

‘Luka melihat seorang isteri menagih kasih suami sehinggakan sampai akhir hayat dia pun dia tak dapat.

‘Luka seorang anak yang berkali kali bagitahu ibu yang ayah akan datang melawat tapi tak pernah datang.’

Semoga Allah tempatkan ibu dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Terima kasih ibu mengajar kakak untuk jadi seorang perempuan sekuat ibu.”

Baca juga: “Aku habiskan duit untuk ubah suami biar dia handsome, akhirnya dia pilih ibu tunggal, alasannya…”