“Aku sampai bergaduh dengan suami, adik dia dah setahun duduk ‘free’ kat rumah walaupun ada gaji”

Oleh MAISARAH AISYA

Jika mendapat pekerjaan jauh daripada ibu bapa, sebolehnya carilah bilik sewa dan jangan menyusahkan adik beradik yang sudah berkahwin.

Ini tidak, sudah bekerja tapi masih mengharapkan adik beradik untuk tanggung tanpa menghulurkan sebarang bantuan.

Seorang wanita semakin kecewa dengan sikap adik ipar yang duduk di rumahnya tanpa membayar sesen pun.

Di bawah adalah kisah yang diambil dari portal luahan perasaan atas talian.

Saya dah bekeluarga dan mempunyai dua orang cahaya mata yang masih kecil berusia empat dan tujuh tahun. Kami menyewa di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai kerani.

Dah setahun adik ipar tinggal sekali, lepas tamat belajar tahun lepas dia memilih untuk bekerja di sini dan menumpang di rumah kami.

Sepanjang tinggal di sini, memang segalanya percuma, termasuklah ubat gigi dan tuala memang semuanya guna yang kami punya.

Rasa diri diperguna

Lama-lama, rasa macam tak selesa. Saya rasa macam dipergunakan untuk kepentingan dia. Tak pernah bayar bil apatah lagi hulur sewa. Elektrik pun menyala masa tidur, bazir elektrik.

Kalau masak, kadang periuk hangit tak tau la apa dibuatnya. Habis rosak periuk tu semua kami yang beli.

Dia masuk rumah ni, bawak pakaian sahaja. Keperluan asas semua kami punya.

Bila saya bersuara pada suami, suami kata sabar. Tapi sabar pun ada batasnya kan. Saya rasa tak suka bila apa yang kita beli semua dia makan.

Ibarat macam saya jaga anak sorang lagi walhal dia dah bergaji. Bila saya bagitau suami, lepas tu dia beli la barang dapur, sebulan sekali.

Kalau kami dah beli lauk, dia kata dia tak beli lauk sebab peti ais tak muat. Sedangkan dia hari-hari masak bawa bekal pergi kerja..

Bab kewangan tu, memang tak ada langsung nak hulur. Saya tak harap hulur pun tapi faham-fahamlah, nak guna barang tiap hari tu, beli la kan.

Kadang dia beli, saya tak berapa pakai pun sebab kira tau mesti dia nak guna kan. Lagi tak tahan bila dia balik kerja tidur, malam berjaga sampai anak pun ikut berjaga malam siang tidur.

Jadi saya buat keputusan untuk hantar anak ke sekolah walau umur dia baru empat tahun. Sebab nak elak dari terikut perangai makcik dia.

Tapi apa yang jadi, tiap hari saya gaduh dengan anak, dia menangis tak nak mandi tak nak sekolah. Dah jadi masalah pada saya juga lagi.

Masalahnya sekarang, saya dah suarakan pada suami untuk minta adik dia hidup berdikari. Banyak kali saya cakap sampai ada satu hari tu saya geram anak meragam menangis tak nak sekolah.

Saya cakap, “Inilah perangai makcik kau, menyusahkan aku balik. Sampai anak-anak pun terikut perangai buruk tu”.

Suami balas, kenapa nak kaitkan dengan orang lain. Saya cakap la, kalau dia tak ada kat sini, anak-anak ni tak akan ikut perangai macam ni. Suami jerit suruh saya diam.

Sejak dari tu, saya memang tawar hati. Rasa nak berpisah pun tak apa kalau dia jenis menangkan keluarga dia. Saya tertekan nak hadap benda ni hari-hari.

Alasan suami saya, kalau saya suruh dia duduk tempat lain, dia kata apa nak bagitahu mak dia, adik dia kerja satu negeri tapi sewa asing.

Sedangkan sebenarnya dia ada kakak duduk menyewa dekat Cyberjaya. Tapi suami awal-awal dah kata, tak bagi ulang alik sebab jauh.

Hurmm. Saya dah tak ada hati dah dengan semua ni. Kalau dia balik, saya masuk bilik, kalau dia masuk bilik saya duduk luar.

Memang tak nak bertembung sebab rasa tak redha dan tak ikhlas dengan dia. Sebab dia, saya memang tak boleh pandang muka suami. Rasa tak puas hati membuak-buak dalam diri.

Baca juga: “Lupa masak lepas balik kerja, suami paksa aku makan roti yang dia lempar di lantai”