Seorang wanita tidak menyangka keputusannya berkahwin dengan suami yang merupakan anak bongsu bakal menghancurkan dirinya sendiri.
Tinggal bersama mentua, wanita bernama Mawar itu terpaksa berhadapan dengan karenah ibu suami yang gemar masuk campur di dalam urusan rumah tangganya.
Sering dituduh menggunakan duit suami, berikut perkongsian Mawar yang sudah tidak dapat lagi menahan sabar dengan layanan keluarga mentuanya.
“Nama aku Mawar. Aku berkahwin dengan seorang lelaki yang merupakan anak bongsu dalam keluarga. Boleh dikatakan anak mak. Sebelum berkawan dengan aku, bakal suami selalu berkepit dengan mak dia. Tidak bekerja dan hanya ikut kata mak. Aku dan dia satu tempat belajar. Kami mula berkawan sewaktu bertanya pasal SPA.
“Dalam tak sedar kami ada rasa suka. Aku malas nak bercinta bagai nak rak tetapi akhirnya rak patah. Jadi aku minta dia datang berjumpa keluarga. Jujur aku gembira bila dia datang. Tetapi riak wajah keluarga aku tidak senang dengan mak dia selepas mereka balik. Aku ini duduk rumah flat sahaja, mak dia siap cakap rumah kami kecil.
“Tetapi aku bodoh waktu itu, sebab sayang aku buat tak peduli. Kami bertunang dan aku tolong bakal suami carikan kerja. Akhirnya dia dapat kerja berdekatan dengan tempat tinggal. Alhamdulillah, kami ingin ke langkah seterusnya. Tetapi mak dia menolak hasratnya itu kerana katanya bakal suami baru sahaja kerja.
“Mak dia tak setuju sebab aku minta hantaran RM10,000. Padahal bukan duit anak dia seorang, kami kongsi. Sebab waktu itu pekerjaan aku lebih kukuh daripada anak dia. Dalam tempoh bertunang, Ya Allah dugaan sangat berat. Semuanya kerana mak dia. Tetapi keluarga dan kawan sentiasa kuatkan aku dan minta bersabar.
“Aku beritahu bakal suami tak mahu duduk serumah dengan ibunya selepas dengar pengalaman kakak ipar dia. Aku nak elakkan masalah yang sama terjadi. Mak bakal suami tak setuju dan ugut tak mahu beri restu kalau dia berpindah selepas kahwin. Aku terus terangkan yang kami akan duduk di kawasan berdekatan tetapi rumah lain.
“Bakal mentua ada sebuah lagi rumah yang disewakan pada orang lain. Bakal suami pun minta sewa sebab orang itu nak pindah. Kami bayar deposit RM600 pada mak dia untuk tempah rumah itu. Sekali dua minggu selepas itu mak dia sewakan pada orang lain. Tak ke angin aku. Deposit pula tidak dipulangkan.
“Aku tetap cari rumah yang lain untuk kami. Tetapi sekali lagi mak dia halang sampai cakap nak duduk pondok selepas kami pindah. Padahal bakal suami ada dua orang abang dan seorang kakak lain. Mereka duduk dekat sahaja. Akhirnya aku mula putus asa dan hampir putus tunang. Kakak dia siap Whatsapp cakap aku kepala batu.
“Salahkah aku nak lindung diri dari kena macam ipar-ipar bakal suami aku? Akhir sekali kalau dah jodoh, lari ke mana pun kahwin juga. Selepas berkahwin, aku duduk dengan mak dia. Tetapi baru hari ke-3, perang sudah terjadi. Pagi itu, suami ajak sarapan di luar. Bilik mak dia kat sebelah, jadi boleh dengar.
“Mak dia pun nak ikut juga. Laki aku pula lurus. Pergi tanya aku, ‘sayang mak nak ikut boleh ke?’. Selepas dia cakap macam itu, mak mentua angin siap cakap suami aku anak derhaka, ikut cakap bini. Maka mulalah mak dia mengungkit. Hantaran 10K anak dia habis ikut kata aku. Hello, aku kerja lebih 3 tahun dari anak dia. Duit itu kongsi tau.
“Mak mentua kata sejak suami kahwin, dia sudah tak boleh buka dompet anak dia. Ini betul. Sebelum kahwin, hari-hari mak mentua buka dompet laki aku periksa duit semua. Selepas kahwin aku nasihat yang itu privasi kami suami isteri jangan sampai mak tahu. Sebab mak dia suka bercerita kepada anak-anak lain.
“Kata mak mentua lagi, masa anak dia habis banyak dekat aku. Padahal baru tiga hari kami kahwin. Sumpah tak faham. Mak mentua hina juga keluarga aku. Ini sampai sekarang pun aku tak maafkan selagi dia tak minta maaf. Mak mentua kata rumah dia besar, tak macam rumah mak aku, flat yang kecil dan sempit.
“Padahal rumah yang mak mentua duduk sekarang sewa sahaja. Mak mentua kata harta dalam rumah itu nanti akan jadi milik suami kalau kami duduk sekali. Dia siap cakap perkahwinan ini 100% duit anak dia. Cakap mak bapak aku ambik duit anak dia. Sumpah bagi aku keterlaluan. Aku sudah hilang sabar tetapi minta maaf juga.
“Selepas seminggu, rutin kami semakin sibuk. Kami suami isteri kerja keluar pagi, balik malam. Adalah borak sedikit dengan mak dia tapi tak lama sebab balik rumah pukul 9 malam. Kami suami isteri pun balik, tidur terus. Bilik yang aku duduk pula sangat azab ya, panas. Kalau tidur berpeluh itu memang biasa. Macam sauna.
“Ingat tak waktu duit KWSP dapat dikeluarkan RM5,000? Akulah salah seorang yang keluarkan duit itu. Aku pakai duit itu beli aircond. Tetapi mak mentua tak habis tuduh aku guna duit anak dia. Tetapi aku diamkan sahaja, senyum. Suami pula ada kereta yang dahulunya milik abang dia. Selepas kahwin suami minta sambung bayar.
“Mak dia cukup tak suka. Tetapi abang suami setuju sebab dia ada kereta lain yang perlu dibayar. Aku pula jenis tak nak hidup dengan duit suami. Jadi aku bayar kereta itu. Aku guna duit nafkah yang suami bagi supaya tak bebankan dia. Nak dijadikan cerita, mak mertua aku dan kakak ipar nak pergi ke Langkawi.
“Aku ini baik hati belikan tiket feri, hotel semua. Pagi itu aku bangun awal tolong print tiket siap belikan sarapan untuk mertua. Di sini mulanya marah yang aku pendam membara. Selepas siap makan, kakak ipar aku sampai. Aku pun gerak mandi nak siap pergi kerja. Tiba-tiba mereka masukkan beg dalam kereta kami.
“Sumpah aku blur. Makanan yang aku letak dalam kereta pun mak dia keluarkan. Aku betul-betul terdiam. Tiada seorang pun yang minta izin kami untuk pakai kereta itu. Selepas salam, kakak ipar serahkan kunci kereta dia pada suami. Dia suruh panaskan kereta nanti takut lama tak hidup rosak.
“Mereka pergi Langkawi naik kereta kami yang aku bayar, guna duit nafkah aku! Tanpa minta izin aku! Maka aku pun naik hantu dengan suami. Tetapi suami kata dia pun tak tahu dan tak faham apa yang jadi. Tiada sesiapa bagi tahu yang kakak ipar nak pakai kereta itu. Aku terus kemas barang dan keluar dari rumah itu.
“Aku cakap nak balik rumah keluarga aku. Saat itu aku cerita pada suami apa mak mentua hina, kutuk keluarga aku masa dia tiada. Keluarga aku bukanlah susah sangat. Tetapi ibu bapa aku tak nak pindah dari rumah flat itu sebab kemudahan banyak dan lokasi pula terletak di tengah bandar raya.
“Tetapi malangnya, masih ada orang kolot. Jadi apa pandangan anda semua?.” Soal Bunga Mawar (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan atas talian.
Baca juga: Ini rupanya fungsi ‘rahsia’ lubang dekat meja pejabat, ingatkan letak wayar sahaja