Demi kebahagiaan suami dan dua orang anaknya, seorang wanita sanggup berpura-pura bahagia sedangkan batinnya sangat menderita.
Rupa-rupanya, wanita yang dikenali sebagai Hanis itu masih tidak dapat melupakan pengkhianatan dilakukan suaminya walaupun telah lama memaafkan lelaki tersebut.
Hati Hanis masih terluka malah semakin sakit seolah-olah dikoyakkan berulang kali setiap kali melihat kebaikan yang dipamerkan bapa kepada dua orang anaknya itu.
Kehidupannya berubah sekelip mata selepas menerima panggilan daripada seorang rakan, berikut perkongsian Hani yang khuatir dirinya berdosa akibat kesilapan suami.
“Aku seorang isteri dan ibu kepada sepasang anak-anak comel. Mereka berumur 12 dan sembilan tahun. Aku seorang isteri taat yang sentiasa mendahulukan keluarga melebihi diri sendiri. Kisah ini berlaku beberapa tahun lalu. Ketika itu, aku sedang bekerja untuk membantu meringankan beban suami dalam mencari nafkah.
“Aku mendapat panggilan daripada seorang kenalan. Maklum kenalan tersebut, dia ternampak suami aku mendaftar masuk sebuah hotel bersama seorang wanita. Pada mulanya aku tidak percaya. Tetapi selepas beberapa keping gambar dihantar melalui Whatsapp, terbukti suami yang aku hormat dan sanjung rupanya curang di belakang.
Dipendekkan cerita, suami akhirnya mengaku selepas aku berhadapan dengan dia. Katanya sudah dua tahun menjalinkan hubungan sulit dengan wanita tersebut. Hati aku benar-benar hancur. Dunia aku gelap. Aku tidak sanggup untuk diduakan dan meminta suami untuk melepaskan aku.
“Tetapi suami merayu untuk aku memaafkan segala kesalahannya dan berjanji untuk meninggalkan wanita tersebut. Macam-macam juga yang dia lakukan untuk meraih kemaafan aku. Dia sudah mula mengambil berat tentang aku dan anak-anak. Kami juga sering solat berjemaah bersama.
“Selepas kejadian itu, suami selalu meluangkan masa bersamaku di hujung minggu. Kadang-kadang dia akan tempah tarikh untuk kami pergi ke kuliah agama bersama. Aku cuba untuk memaafkan dia. Tetapi setiap kali melihat wajah suami, aku tidak dapat melupakan pengkhianatannya yang lalu.
“Aku berpura-pura senyum gembira. Tetapi sebenarnya hati ini sangat sakit. Setiap perlakuan baik yang suami lakukan terhadap aku, pasti akan mengingatkan tentang kebaikan yang dia lakukan kepada bekas teman wanitanya. Masih sakit walaupun pengkhianatan dia itu sudah bertahun-tahun berlalu.
“Berdosakah aku jika berpura pura bahagia tetapi sebenarnya sangat menderita.” Kongsi Hanis (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan atas talian.
Baca juga: Rangup di luar berongga di dalam, jangan lupa buat langkah ini ketika uli Cakoi