Seorang wanita merasa menyesal kerana tidak menyelidiki latar belakang mentua sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Menahan derita selama 20 tahun hidup ‘bermadu’ dengan mentua, wanita bernama Hanah itu akhirnya reda sekiranya terpaksa berpisah dengan lelaki bergelar suami.
Tampil berkongsi cerita, Hanah hanya mahu pengalaman dialaminya itu dijadikan pengajaran buat gadis di luar sana agar lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.
“Saya sudah berkahwin lebih 20 tahun. Memiliki anak dan bersuamikan lelaki yang menanggung keluarganya. Semoga jadi teladan pada anak perempuan yang bakal berkahwin. Sebut sahaja mak ayah, semua orang sayang dan rela berkorban. Tetapi bagaimana kalau keluarga kecil sendiri tak cukup makan?
“Pihak isteri pula penat mencari rezeki untuk mencukupi apa yang tak cukup. Dengan jenis lelaki yang semuanya isteri buat. Sangat penat. Emosi hancur dan terperangkap dalam perkahwinan. Saat itu terasa ada baiknya pusing semula waktu dan jadi anak bujang yang ada wang saku sendiri.
“Tidak dibebani dengan sakit dan penat. Isunya di sini, masalah orang dihempas ke kita untuk menanggung. Mentua minta belikan rumah pakai nama suami. Bila gagal bayar terpaksa ambil tanggungjawab bayar sebagai anak sulung. Nafkah keluarga sendiri tak cukup. Terpaksa isteri cari nafkah untuk penuhkan keperluan anak-anak.
“Semuanya atas alasan mak ayah tiada tempat tinggal. Kesian, baik ya anak. Tetapi mana ehsan pada pihak isteri yang membanting tulang sama penat berpuluh tahun? Ajak duduk sekali, berlagak. Kononnya tak mahu tinggal bersama menantu. Padahal rumah yang dibeli bukan tahap rakyat biasa.
“Rumah itu hanya layak dihuni oleh orang bergaji bersih RM5,000 ke atas. Alasannya nanti akan jadi harta suami. Harta celah mana. Kami sendiri bergelut pun bayar sewa rumah yang semakin menokok tahun demi tahun. Anak-anak lagi. Ibarat bermadukan mak mentua. Boleh fikirkan? Mentua tak mahu menyewa takut jatuh standard.
“Rela biarkan anak sulung yang sudah ada tanggungjawab menjadi mesin ATM untuk kesenangan diri dan anak-anak lain. Tak fikir dosa yang anak lelaki dia tanggung jika buat isteri menderita. Bila menantu bantu, sedikit pun tak nampak. Siap dikata buruk dalam kumpulan sembang keluarga mereka.
“Anak-anak lain pula berlagak. Macam datuk dan neneknya tinggalkan harta tujuh keturunan. Padahal rumah mereka saya yang bayar. Sebab nak selamatkan suami dari hukum Allah. Bahagian dia bagi saya anggap nafkah keluarga kecil kami. Itu pun kita tolong tambahkan. Jadi siapakah yang membayar rumah mertua selama ini?
“Silap saya juga kerana sebelum berkahwin, tidak semak latar belakang suami. Saya tengok suami seorang yang baik dan menjaga solat. Ingatkan dia bolehlah menjaga kita dengan baik. Tetapi selepas dua atau tiga bulan berkahwin, barulah tahu bapa mentua tidak berkerja. Mula minta duit kami senyap-senyap di belakang ibu mentua.
“Apabila kami nak bernafas hidup dengan kehadiran anak-anak kecil, dijerumuskan pula dengan hutang beratus ribu. Mentua mahu beli rumah untuk keluarga mereka. Tetapi guna nama suami. Katanya tiap bulan dia bayar. Kami naif, masih muda masa itu, tak fikirkan kesannya di jangka masa panjang,
“Saya pula sangka mak ayah mentua tak sanggup aniaya anak menantu. Niat untuk membantu. Suami sedapkan hati, kata ini rumah kita juga. Tetapi, sejak beli hingga ke hari ini tak pernah saya merasa seperti rumah kami. Walaupun kami yang tolong bayarkan selepas setahun mentua tak mampu tanggung.
“Untuk elak nama disenarai hitam, kami suami isteri sepakat bayarkan. Tetapi rumah itu tak pernah pula kami dapat duduk. Kelakarnya, saya dan suami menyewa rumah lain. Bayangkan, setiap bulan kena tanggung dua rumah. Bohonglah kalau kata duit suami semua sepenuhnya.
“Yang lagi kelakar, adik-adik suami saya bukan main claim itu rumah mak ayah dia. Berlagak sombong macam anak orang berada. Setiap orang ada bilik sendiri. Kita nak menumpang tidur di biliknya sesekali pun tak benarkan. Saya rela tidur di hotel. Hingga diberikan rezeki, saya berkerja bagai nak gila siang dan malam.
“Sekarang sudah mampu mendapatkan rumah lain sendiri. Jadi komitmen kami ada tiga rumah. Rumah sewa dilepaskan hanya selepas kediaman baru siap dibina. Saya tak tahu apa pemikiran saya salah boleh hadap sampai tahap ini. Adik-beradik kata saya gila kerana sanggup hadap semua ini.
“Saya tak pernah menghalang suami beri duit saku pada mentua. Itu haknya. Saya juga tak pernah menghalang dia jumpa ibunya. Tetapi kamu semua, perempuan yang nak berkahwin di luar sana. Selidiklah betul-betul. Jika mentua tidak berkerja, calon suami kamu yang diharapkan menganggung keluarga. Berundurlah.
“Biarlah mereka terus berbakti hingga mati kepada orang tua. Untuk syurga mereka. Lebih baik daripada mereka kutip dosa mengabaikan nafkah kamu. Jangan percaya cakap mulut, tengoklah bukti atas dokumen. Sama ada bakal suami atau mentua itu muflis ke, atau ada hutang keliling pinggang.
“Mak ayah yang baca ini jika ada ciri ciri sama, saya ingin menegur. Jika kamu claim susah payah besarkan anak yang keluar dari perut kamu, ketahuilah. Saya juga ada anak perempuan hari ini. Tetapi saya tidak sanggup membiarkan anak perempuan saya dipergunakan oleh keluarga mertuanya.
“Rela saya tidak kahwinkan dia daripada nanti merana tubuh dan jiwanya sepanjang hidup. Balik ke cerita saya, anak-anak mentua saya yang lain bukannya tak berkerja. Bukan tahap-tahap biasa. Lulusan universiti, dari luar negara pun ada. Melancong sana sini. Pakai iPhone ada baju berjenama.
“Tetapi mentua kata anak-anak lain ada masalah kewangan. Pelik kan? Takut sangat anak yang lain susah. Mereka tak terfikir nak menyediakan rumah untuk seorang ibu. Pelik kan? Tak terfikirkah celah mana abang dia cari duit untuk menanggung rumah yang mereka duduk selama ini.
“Saya membantu sampai ada masa tak dapat beri kepada ibu bapa sendiri. Sedih kan? Pengalaman ini membuatkan saya jadi trauma, kemurungan dan kemarahan yang meluap. Bertahun saya berjuang sendirian. Suami pula hanya mendiamkan diri kerana rasa bersalah.
“Hinggakan saya nekad mengheret dia berunding di Pejabat Agama. Barulah suami mengaku salah dan ingin menyelamatkan keadaan. Tetapi sudah terlewat. Terlalu hancur untuk dibaiki. Saya berjalan hari ini dengan hati kosong tanpa perasan pada suami. Sungguh kejam mentua merampas hidup anak perempuan orang lain.
“Semuanya demi menyelamatkan hidup anak-anak perempuannya. Tahun 2024 ini, saya sudah nekad. Saya TAK REDHA setiap inci dan setiap sen yang dipaksa keluar atau dimanipulasikan dengan kata-kata kutip pahala. Saya ikhlas jika keluarga suami merendah diri dan tahu adat menumpang senang titik peluh orang.
“Malangnya tidak, saya terus berjalan tanpa hati dan perasaan. Jiwa menjadi solo disebabkan hal ini. Berkahwin dengan suami, namun bermadukan mentua. Tetapi saya wanita yang menyara madu (mentua) Jangan ada kata saya menantu yang tak kasihankan orang tua. Hanya mahu kesenangan sendiri dan anak-anak sahaja.
“Saya tulis terang dan baca betul-betul. Saya bayarkan rumah mentua dengan duit sendiri. Bukan duit suami. Sebab, anak dia tak mampu. Bukan sehari tetapi berpuluh tahun. Perempuan mana sanggup? Bolehkah saya kata hari ini wahai ibu mentuaku, anak mak sudah menipu dan memanipulasi isterinya.
“Semuanya kerana keinginan tingginya untuk berbakti pada mak. Sangat sayang dia pada mak kan? Tetapi betapa kejamnya mak kerana rela merosakkan kepercayaan kami suami isteri. Anak yang mak puji baik, saya ulang telah menipu isteri. Keluarga mak tak malukah menumpang titik peluh saya? Bukan anak mak sepenuhnya.
“Anak mak tak mampu. Mak tak sedar ke? Setiap sujud saya kali ini, saya minta Allah melihat semua perbuatan mak dan anak-anak ke atas saya anak perempuan orang. Sesungguhnya jika suatu hari anak-anak perempuan mak mendapat bahana dalam perkahwinannya dan mak berkata apa salahku dan anak anak?
“Saat itu ingatkanlah mak. Mak telah mengambil hidup saya anak perempuan orang dan mak berikan kepada anak-anak mak. Semoga mak dan anak-anak bertaubat. Tetapi jangan ganggu hidup saya dan anak-anak. Keluarga kita sudah musnah oleh sebab mak juga. Sedangkan mak tahu ianya salah dalam agama.
“Ingat kaum lelaki, kamu punya ibu iaitu hak tanggungjawab sehingga mati. Jangan sewenangnya kamu menggunakan perempuan untuk mencapai keinginan sendiri. Jika kamu tahu keadaan keluarga masih perlukan tanggungan, jangan kahwin dulu. Selesaikan keperluan keluargamu.
“Kamu tidak mampu untuk berkahwin dan menjaga dua keluarga sekaligus. Keluarga kamu bukan kewajiban dia. Kaum lelaki boleh kata, ibu satu tetapi isteri boleh dicari ganti. Tengoklah nanti berapa isteri kamu bersilih-ganti bagi mencari kesempurnaan. Siapkan diri sebelum berkahwin. Jangan menganiaya. Isteri kamu, anak orang juga.
“Saya kini reda dengan apa Allah takdirkan. Kerana saya sedang menyiapkan diri untuk masa masa tua. Untuk pulang padaNya dalam keadaan yang disukai. Hanya berkaitan hak saya dengan mentua sahaja saya tidak reda.” Kongsi Hanah (Bukan nama sebenar) menerusi laman luahan atas talian.
Baca juga: Jangan buang roti nak ‘expired’, boleh cuba resepi Puding Marble ini – “Sekejap je licin loyang!”