Seorang wanita sudah tidak mampu menahan rasa geram apabila melihat rakan sekerjanya yang berstatus isteri dan suami orang bergaul sesama mereka secara berlebihan.
Lebih memburukkan keadaan, mereka ini bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama di mana kejadian seperti itu tidak seharusnya berlaku terutama di depan pelajar.
Berikut perkongsian dari seorang guru wanita di sekolah agama yang menyesali keputusannya kerana tidak berani menegur perbuatan mungkar isteri dan suami orang itu.
“Assalamualaikum. Aku Qalbi. Perkara ini sudah aku pendamkan daripada dua tahun lepas lagi. Aku sudah menikah dan sekarang bekerja di sebuah sekolah agama. Awal bekerja dahulu, semuanya baik-baik sahaja. Untuk makluman, jumlah guru lelaki lagi ramai daripada perempuan di sekolah ini. Guru perempuan ada tujuh orang sahaja.
“Masalah bermula selepas seorang cikgu lelaki masuk ke sekolah ini. Aku namakan dia Pisang. Kalau nak tahu, Pisang sudah memiliki isteri. Tetapi isteri dia bertugas di sekolah lain. Isteri dia cantik sangat, aku memang kenal. Nak dijadikan cerita, Pisang ini jenis tak bergaul dengan guru lelaki. Dia lembut tetapi bukan macam maknyah.
“Pisang suka bersembang dengan guru perempuan. Mulanya, dia suka datang dekat meja guru perempuan untuk bergosip ataupun makan-makan. Awalnya aku tak kisah sangat. Sebab kami guru perempuan memang ramai. Asalkan tak buat perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Tetapi lama-kelamaan, Pisang macam makin melampau.
“Sejak diberikan tugas mencari hadiah untuk program hari sukan sekolah, kami guru perempuan ini tumpanglah kereta Pisang sebab dia yang tawarkan diri. Aku duduk di kerusi sebelah pemandu. Sebab masa itu, Pisang cakap jangan buat dia ‘driver’. Jadi aku terpaksalah duduk situ. Tahu tak apa yang si suami orang ini buat dekat aku?
“Pisang boleh tarikkan tali pinggang kaledar untuk aku. Terkejutlah aku. Terus cakap dekat dia aku boleh buat sendiri. Sejak dari hari itu, aku perlahan-lahan jauhkan diri daripada dia. Sebabnya nampak dia macam tak menjaga batas pergaulan. Adalah seorang cikgu perempuan ini, sudah mempunyai suami ya. Aku namakan dia Bunga.
“Seronok ya Bunga ini kalau dapat keluar dengan Pisang itu. Sebab si suami orang ini suka belanja. Makanan mahal ke, murah ke memang dia sangguplah belanja. Aku tak faham dengan Bunga. Dia tak perasan ke yang Pisang nampak macam pelik? Bunga juga beria ajak aku keluar sekali dengan suami orang itu sebab nak makan percuma.
“Lama kelamaan, aku perasan Pisang dengan Bunga semakin rapat. Padahal kedua-duanya isteri dan suami orang. Selamba sahaja duduk rapat-rapat dalam bilik guru. Berkongsi makanan dan bergelak ketawa. Cikgu-cikgu lain juga perasan perkara ini membuatkan suasana di sekolah agama ini menjadi tak seronok seperti dahulu lagi.
“Mana tidaknya, pelajar-pelajar lain nampak juga mereka rapat macam itu. Aku juga perasan Pisang dengan Bunga ini tiada rasa malu berkelakuan seperti itu dekat bilik guru. Untuk pengetahuan semua, bilik guru sekolah agama ini bercampur lelaki dan perempuan. Sebabnya sekolah ini sudah kekurangan tempat nak buat bilik lain.
“Tahu tak, tahap rapatnya Pisang dengan Bunga ini sampai mereka pernah berdua-duaan di dalam kereta. Aku tak tahulah mereka buat apa. Memang mereka berada di tempat awam, tetapi perbuatan itu tetap salah. Sudah terang-teranglah boleh jatuh fitnah. Pendek cerita, kelakuan isteri dan suami orang ini kantoi dengan pengetua.
“Rupanya pengetua sudah lama perasan yang mereka terlalu rapat dan selalu keluar berdua. Cumanya pengetua bimbanglah tersilap fitnah. Akhirnya, semua orang yang berada di dalam bilik guru dipanggil pengetua untuk cerita perkara sebenar. Semua guru lelaki beritahu mereka tak selesa tengok Pisang dan Bunga berkepit di bilik guru.
“Katanya rasa berdosalah sebab masing-masing tak berani nak tegur. Hanya mampu membenci perbuatan itu di dalam hati sahaja. Selepas berjumpa dengan guru lelaki, pengetua panggil aku pula sebab kami bertiga dahulu pernah rapat. Pengetua tanya betul ke Pisang dengan Bunga itu terlalu rapat? Aku cakaplah perkara yang betul.
“Selepas pengetua tanya, aku ceritalah yang mereka rapat sampai boleh berkongsi makanan. Pengetua terkejutlah sebab dia tahu mereka berdua masing-masing isteri dan suami orang. Akhirnya, pengetua panggillah si Bunga untuk beritahu yang rapat dengan suami orang itu hal yang tak patut sebab boleh membawa kepada fitnah.
“Pengetua juga nasihati supaya elakkan dari buat perkara macam ini sebab semua orang perasan. Pelajar pun nampak. Cuba bayang apa reaksi dia? Boleh cakap yang pengetua fitnah dia. Selepas itu dia masuk ke dalam bilik guru dan bahasakan cikgu lelaki. Dia tanya juga siapa yang mengadu mengenai hal mereka dekat pengetua.
“Tetapi semua orang buat tak tahu sahaja. Dekat sini aku perasan, Bunga tahu apa yang dia buat itu salah. Tetapi masih ego nak mengaku salah sendiri. Sejak kejadian dipanggil pengetua, Bunga semakin menjadi-jadi. Dia semakin rapat dengan Pisang. Aku perasan juga yang dia sengaja nak menunjuk depan kami dalam bilik guru ini.
“Konon dia masih berani rapat dengan suami orang itu walaupun sudah kena tegur dengan pengetua. Kami semua pakat buat tak layan. Anggap mereka berdua itu tak wujud. Bukan tak nak layan, tetapi teguran sudahpun dibuat. Mereka yang tak mahu terima. Lantaklah, akhirnya kami buat hal sendiri walau dalam keadaan tertekan.
“Sebenarnya, aku tertekan. Si Bunga macam marah aku. Dia tahu aku bercerita pada pengetua tentang mereka berdua. Aku cerita sebab pengetua yang tanya. Aku juga tak sanggup nak tengok. Marah dekat diri sendiri sebab tak berani tegur perbuatan mereka. Sebelum ini aku pernah tegur, cakap kasihan dekat isteri Pisang itu.
“Sebabnya kami selalu keluar dengan suami orang tanpa pengetahuan isterinya. Tetapi Bunga tak kisah. Katanya bukan bercinta dengan suami orang pun. Pisang pun tak suka aku tegur sebab mereka sekadar kawan sahaja. Aku doakan mereka sedar perbuatan itu salah. Rasa berdosa sangat sebab tak mampu nak tegur.” Kongsi Qalbi (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Mak mentua pakai macam orang alim tapi suka bawa mulut sampai aku dan suami hampir bercerai”