“Aku teringin bersuamikan rakan sekerja, tapi mati akal bila terbayang muka isteri dan 5 anaknya”

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita malang berusia di dalam lingkungan 30-an tidak pernah menyangka bahawa rakan sekerja yang bergelar suami orang bakal menjadi pengalaman ‘cinta’ pertamanya.

Bermula daripada perasaan terharu kerana diambil berat, gadis yang tidak mendedahkan identitinya itu mengakui terjatuh hati terhadap lelaki yang juga bapa kepada lima orang anak.

Masih menyimpan perasaan berikutan belum menemui lelaki sebaik rakan sekerjanya, berikut perkongsian gadis yang tidak mahu digelar perampas semata-mata untuk mengejar cinta.

“Assalamualaikum semua. Pertama sekali, aku mohon jangan kecam. Aku cuma ingin meluahkan rasa. Mohon nasihat baik-baik. Aku seorang wanita berkerjaya. Berusia di pertengahan 30-an. Tidak pernah bercinta. Namun tanpa sedar, aku tersuka rakan sekerja di pejabat. Umurnya tua setahun sahaja daripada aku.

“Masalahnya, dia suami orang. Pada mulanya, aku anggap ia hanyalah satu mainan perasaan. Sebab, rakan sekerja yang aku namakan Shashimi ini selalu mengambil cakna terhadapku. Kalau aku tak datang kerja sehari sebab cuti sakit, terus rakan sekerja ini telefon. Dia akan bertanyakan keadaan aku dalam nada suara yang sangat risau.

“Pendek kata, rakan sekerja ini sangat mengambil berat terhadap aku. Bayangkanlah setiap hari jumpa, dia buat aku bersemangat pergi kerja. Kadangkala, atas meja aku mesti ada hadiah yang dia bagi. Sekali-sekala rakan sekerja aku itu akan bagi coklat ataupun kek. Aku sendiri pun keliru dengan sikap dia.

“Aku persoalkan dalam hati. Adakah rakan sekerja aku itu memang terlalu baik atau diri ini sahaja yang syok sendiri? Aku selalu set semula otak supaya berhenti sukakan Shashimi. Aku fikir, mungkin Shashimi rapat dan ambil berat dengan dia merasa selesa. Boleh jadi juga dia anggap aku ini macam adik atau kawan rapat sahaja.

“Memang tidak dinafikan, kami memang rapat. Kadang-kadang kalau hujung minggu kami berborak di aplikasi Whatsapp, mesti ada sahaja bergurau senda. Kadang main ‘spam sticker’ sampai senak perut gelak. Aku boleh katakan yang rakan sekerja itu, kelakar orangnya. Aku sangat terhibur dengannya. 

“Kalau di tempat kerja, ada sahaja ideanya untuk menyakat aku. Dia sangatlah suka mengusik. Jauh di sudut hati, aku mahukan dia. Aku teringin bersuamikan dia. Tetapi, apabila teringatkan wajah lima orang anaknya, aku terus mati akal. Aku terbayang pula wajah polos isterinya yang setia sebagai suri rumah sepenuh masa.

“Waktu itu terus aku tak jadi dan tak sampai hati nak goyahkan keluarga bahagia itu. Tetapi apabila Shashimi terlalu ambil berat dengan aku, rasa suka yang membuak-buak itu hadir kembali. Pernah sekali, aku sedih sebab kena marah di tempat kerja. Mata aku bergenang lalu menangis. Shashimi perhatikan aku. 

“Untuk melepaskan perasaan kecewa dan sebak, aku terus lari keluar dari pejabat. Tiba-tiba rakan sekerja aku itu muncul di belakang. Dia tenangkan aku. Jujurlah aku cakap, masa itu aku rasa mahu sahaja peluk dia. Nak sahaja aku cakap, terima kasih kerana tenangkan aku. Lagipun tempat aku duduk itu memang tiada orang.

“Tempat itu memang tersembunyi. Hanya kami berdua sahaja. Tetapi alhamdulillah, aku masih ada iman. Jadi, aku masih waras. Aku tak buat perkara pelik-pelik seperti itu walaupun godaan syaitan amatlah kuat. Kadang-kadang aku teringin juga tanya Shashimi, kenapa dia baik sangat dengan aku?

“Aku tahu Shashimi memang baik dengan semua orang. Tetapi kenapa baik dengan aku ini terlalu berlebihan? Kebaikan dia itu membuat aku salah faham. Perbuatan dia menyeksa jiwa dan membuatkan aku semakin suka padanya. Hujung minggu waktu cuti, hanya Allah sahaja tahu betapa rindunya aku dekat rakan sekerja ini.

“Sehari tak dengar suara dia, aku rasa macam tiada semangat. Tetapi apabila pergi kerja, akulah orang pertama yang dia akan tegur. Tindakan Shashimi itu cukup untuk memberi aku tenaga bagi melalui keseharian hidup. Shashimi tak pernah berkongsi tentang keluarganya di media sosial atau story Whatsapp.

“Gaya Shashimi ini kalau orang tak kenal, mereka akan ingat dia bujang. Sebab dia jenis tak tunjuk isteri dan anak-anak. Aku pun tertanya-tanya kenapa dia tak tunjuk isteri dia. Padahal kalau kami bergambar di tempat kerja, laju sahaja Shashimi muat naik story. Adakah dia tak bahagia dengan isteri? Tetapi anak berderet lima orang.

“Mungkin Shashimi ini jenis perahsia hal peribadi? Entahlah. Salahkah aku menyukai Shashimi? Apa yang patut aku lakukan? Adakah aku perlu mencari lelaki lain untuk disukai? Tetapi sejujurnya, sudah ramai lelaki aku cuba berkenalan. Namun belum ada lelaki sebaik Shashimi.

“Hanya Shashimi yang memahami aku, menyenangkan dan sentiasa menyejukkan hatiku. Tapi aku tak mahu jadi perampas. Tolonglah bagi cadangan. Terima kasih.” Tulis wanita itu berkongsikan keresahannya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum di atas talian.

Baca juga: “Aku kerap minta cerai, bila suami tunaikan barulah aku rasa menyesal…”