Malaysia Dateline

‘Aku tidak menangis mendengar gelak tawa mereka’

Hari ini, aku mendengar sendiri mereka ketawa keriangan. Mereka mempersenda aku dan teman-temanku yang berkawan dengan Cina, India, Iban, Kadazan dan Murut.

Kami cuba tunjuk contoh qudwah baik dalam membimbing mereka bernegara.

Mereka pula tekad menipu berbelit kepada rakyat dan sesiapa sahaja, demi menegakkan Kerajaan Melayu/Islam kononnya.

Mereka berpakat bersama-sama sepasukan manusia yang menyeru perkauman dan terkenal dengan perompak, pencuri, lanun dan pengkhianat.

Hari ini hari pertama hidupku di bawah negara pintu belakang. Ada laporan hakim akur dengan permintaan Orang Kena Tuduh untuk tinggalkan mahkamah kerana ada meeting parti? Hakim terpaksa tunggu untuk sambung semula jam 4 petang? Menurut JPM tiada pun meeting itu.

Itulah contoh Bapak Melayu yang mereka bersorak ketawa.

Aku malu kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan sandiwara terburuk ini. Apa kata bukan Islam melihat akhlak orang Islam?

Aku renung madah berbahasa Arab ini.

Aku malu melihat para ulama’ yang tertipu dan kemudiannya terpaksa menipu.

Aku dimarahi teman-teman kerana masih cuba berbaik sangka, bahawa mereka tidak menipu. Mereka hanya terpaksa menipu.

Aku menyaksikan mereka yang menjaga kepentingan batang tubuh mereka daripada pelbagai kes dakwaan yang sedang dan yang akan dibicarakan.

“Usiamu engkau habiskan untuk memelihara kesihatan diri, agar tidak kena (penyakit) di musim dingin dan panas yang silih berganti.”

“Padahal sebaiknya, engkau menjaga diri dari perbuatan-perbuatan maksiat agar terhindar dari (panasnya) api neraka.”

Allah S.W.T berfirman mengancam sekelompok manusia yang memanjang tawanya atas kejayaan helah jahat mereka.

“Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.” (At-Taubah: 82)

Komentar Ibnu Abbas: “Bahawa hidup di dunia itu sebentar sahaja, maka biarkanlah mereka ketawa sesukanya selagi bernyawa. Apabila hidup di dunia telah habis dan mereka menghadap Allah S.W.T, maka mereka akan mulakan tangisannya yang tidak pernah berhenti untuk selama-lamanya.”

 

* Penulis ialah Naib Presiden AMANAH merangkap Ahli Parlimen Hulu Langat.
**Dipetik dari akhbar Mingguan Amanah, Bil 192.