Akui gagal tarik undi Melayu, Pemuda AMANAH Perak cadang tubuh jawatankuasa analisa isu

Akui gagal tarik undi Melayu, Pemuda AMANAH Perak cadang tubuh jawatankuasa analisa isu

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berpendapat Pakatan Harapan (PH) dan AMANAH khususnya masih belum benar-benar memenangi hati pengundi Melayu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu, hal tersebut berkaitan hak keistimewaan Melayu, kedudukan Islam dan kedaulatan Raja-Raja juga segala peruntukan Perlembagaan berkaitan Melayu dan Islam.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Multimedia, Komunikasi dan NGO negeri tersebut berkata, penubuhan unit bagi memantau segala isu tersebut perlu bagi berdepan serangan Umno dan Pas.

“Kita perlu akui PH dan AMANAH khususnya masih belum dapat menarik undi Melayu sepenuhnya. Kita belum mengerah tenaga maksimum untuk tujuan itu.

“Pada masa sama, kita tidak mahu Melayu Islam yang dibina era Malaysia Baru ini jelik terhadap rasuah.

“Oleh itu, satu jawatankuasa perlu dibentuk untuk menghimpun dan menganalisa maklumat agar dapat dikongsi dengan pemimpin di atas supaya dapat menjawab dakwaan pembangkang,” ujarnya.

Hasnul berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Tahunan Pemuda AMANAH Perak kali ketiga di Tower Regency Hotel, Ipoh petang ini.

Konvensyen tersebut turut dihadiri ketua sayap pemuda parti komponen PH negeri dari PKR, Bersatu dan DAP.