Malaysia Dateline

Akui kelemahan, mari perbaiki diri, saran Khalid

Mengakui kemenangan tidak berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyeru kerajaan mengambil iktibar, dan bersedia  memperbaiki kelemahan pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, kekalahan PH merupakan undi protes dan mesej rakyat yang akan diambil sebagai iktibar dan diperbaiki oleh kerajaan.

“Ianya memang satu mesej daripada pengundi di Tanjung Piai dan memang kita pun dengar kempennya.

“Memang dikalangan MCA pun mengajak masyarakat Cina gunakan peluang ini untuk menzahirkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan PH yang memerintah.

“Kami maklum dengan undi protes tersebut oleh kerana beberapa isu yang timbul. Kami akan selesaikannya sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Riang Ria Kembali Ke Sekolah, pada Isnin.

Menurutnya lagi, keputusan PRK tersebut walaubagaimanapun tidak menggugat kerajaan Johor mahupun menjatuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Malah, Menteri Wilayah Persekutuan itu menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai berlebihan apabila menyimpulkan bahawa kemenangan BN di Tanjung Piai sebagai tanda penolakan rakyat terhadap PH secara keseluruhan.

“Untuk BN mengatakan bahawa ianya merupakan penolakan terhadap PH secara keseluruhan dan menuntut supaya diadakan satu PRU kembali, ianya adalah satu tindakan berlebihan.

“Kita tidak boleh membuat satu kesimpulan bahawa BN ingin dikembalikan sebagai kerajaan. Kalau BN mendakwa bahawa itu lah mesejnya, maknanya BN sendiri tidak ambil pengajaran daripada keputusan PRU14

“Ini adalah undi protes, mereka memprotes agar PH segera perbaiki kelemahan. Mereka tidak mahukan BN untuk kembali,” katanya.

Tambahnya lagi, sepertimana PH yang mengambil pengajaran daripada PRK P. 165 itu, BN juga perlu belajar dari PRU14 yang lalu.

“Bila BN cakap ini merupakan tanda rakyat mahukan BN kembali, maknanya mereka tidak serik lagi dan tak insaf lagi atas sebab kekalahan dulu. Tapi insyallah PH sedar dan insfar kelemahan yang ada pada PH menyebabkan keputusan kekalahan di Tanjung Piai itu.

“Kamu tidak sanggup buat (insaf) perkara itu, tapi PH oleh kerana apa yang berlaku di Tanjung Piai, In shaa Allah kita akan perbaiki. PH sedar atas kelemahan yang ada pada kami, yang menyebabkan keputusan di Tanjung Piai tu.

“Kita akan mengambil iktibar dan perbaiki,” ujarnya.