Akui masih duduk sebumbung, isteri pertama Datuk Red dedah punca fail penceraian

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri pertama kepada Datuk Seri Adnan iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila mengakui suaminya masih pulang ke rumah meskipun mereka terlibat dalam kes tuntutan cerai.

Menurut Sharifah, mereka yang masih tinggal sebumbung itu tetap bertegur sapa seperti biasa dan langsung tidak membincangkan permasalahan rumah tangga di rumah.

Malah anak-anak mereka juga tidak mengetahui bahawa Sharifah telah memfailkan penceraian terhadap sang bapa yang mesra disapa Datuk Red itu pada penghujung Januari lalu.

Pada masa yang sama, Sharifah turut menafikan dakwaan kononnya tuntutan cerai itu dibuat kerana suami sedang berhadapan dengan kesusahan akibat masalah kewangan.

Bagaimanapun, wanita yang lebih dikenali sebagai Datin Red itu menjelaskan bahawa ia adalah jalan terbaik buat dirinya dan suami meski penceraian tersebut bukanlah keputusannya sendiri, lapor mStar.

“Dia balik sahaja rumah, tetapi kami tak pernah bincang mengenai perkara ini. Kami masih sebumbung dan bertegur sapa seperti biasa. (Tuntutan penceraian) tidak ada kena mengena dengan isu Datuk Red tengah susah.

“Ini bukan keputusan saya, tetapi ia jalan yang terbaik. Saya memang nekad untuk berpisah,” kata Sharifah memetik laporan mStar selepas selesai prosiding sebutan kedua kes tuntutan perceraian.

Prosiding yang dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor itu bagaimanapun ditangguh kerana Datuk Red tidak hadir dan proses lantikan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) akan berlangsung pada 26 Mac ini.

Mengulas lanjut, Sharifah turut menafikan bahawa dirinya telah bersepakat dengan Adira untuk memfailkan penceraian mereka terhadap Datuk Red di masa yang sama.

“Saya tak boleh cakap banyak. Itu sahaja yang boleh dikongsi. Saya dan Adira tidak bersepakat (untuk menuntut perceraian). Itu keputusan dia sendiri,” jawabnya menepis spekulasi.

Sekadar info, Sharifah memfailkan perceraian terhadap Datuk Red pada penghujung Januari lalu dan perkara itu diketahui umum melalui hantarannya di akaun Instagram.

Menerusi hantaran tersebut, wanita terbabit memuat naik foto memaparkan dirinya ketika berada di luar kamar mahkamah dengan kapsyen mengenai ketentuan takdir.

Selain Sharifah, Adira Suhaimi turut memfailkan penceraian terhadap suaminya pada 25 Oktober tahun lalu.

Baca juga: Selesa duduk di kaki lima jual kerepek depan bank, warga emas di Kelantan ini akui mampu raih RM15,000