Malaysia Dateline

Akui tidak suka DAP, Anwar, lagi audio mesyuarat Bersatu tersebar

Sebahagian lagi rakaman audio Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada jam 11 pagi, 23 Februari lalu yang berdurasi 56 saat tersebar lagi hari ini.

Dipercayai suara Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, mesyuarat ketika itu membincangkan kedudukan parti tersebut dalam Pakatan Harapan (PH).

Turut jelas kedengaran pendirian individu yang menyerupai suara Mahathir itu yang tidak suka DAP dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu dua parti komponen PH selain AMANAH.

“La ni ada satu cadangan iaitu kita keluar daripada Pakatan Harapan, satu cadangan lagi yang datang daripada saya ialah kita tunggu fikir dengan mendalam atau patut ikut yang lain.

“Jadi saya nak tahu samada kita nak keluar sekarang ataupun kita nak bagi masa sedikit kerana pada saya.

The support from Umno ini is for fickle that kalau bagi masa sedikit sahaja, dia nanti suka kat saya,” kata suara itu.

Reaksi ahli-ahli MPT dalam mesyuarat itu kemudiannya menggambarkan persetujuan mereka apabila kedengaran mereka menyebut, ‘Betul’ sekali gus sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan PH.

“Jadi tak ada kelainannya cuma ja saya pun tidak suka kepada DAP, tak suka kepada Anwar yang lain semua pun macam itu.

“Tapi semua itu soal masa sahaja, nak kita tentukan masa ataupun kita ambil tindakan hari ini.

“Kalau nak hari ini, ok hari ini… Hari ini kita keluar daripada Pakatan Harapan,” kata suara mirip Mahathir itu sebelum disambut tepukan ahli-ahli MPT.

Sebelum ini, individu mirip suara Muhyiddin dalam rakaman pertama yang bocor memberitahu mesyuarat supaya memberikan kepercayaan kepada Mahathir untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PH.

Dalam rakaman suara kedua yang tular pula, suara menyerupai Mahathir meminta ahli mesyuarat tidak memaksanya untuk mungkir janji meletakkan jawatan.

“Saya janji saya tunai. Saya kata nak letak jawatan, saya letak jawatan.”

“Tapi saya kalau janji nak letak jawatan, saya tak dibenar meletak jawatan, itu salah saya sebab keputusan itu ada pada diri saya,” kata suara itu yang turut mengakui dalam keadaan emosional ketika membincangkan isu peralihan kuasa dengan Anwar Ibrahim.

Semalam, Mahathir mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan membabitkan parti secara bersendirian. Bekas Perdana Menteri tertua di dunia itu berkata
MPT Bersatu tidak pernah membuat keputusan keluar dari PH.

Pada 24 Februari lalu, Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar PH susulan keputusan mesyuarat khas MPT parti sehari sebelum itu selepas mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

Mahathir pula pada hari yang sama telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 tengah hari.

Dalam Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, Yang di-Pertuan Agong turut bertitah tentang rasa dukacita baginda apabila Mahathir tetap mahu meletakkan jawatan.

“Sekitar 5 petang pada hari yang sama (24 Februari lalu) beta telah berkenan menerima menghadap Yang Amat Berhormat (YAB) Tun Dr Mahathir.

“Dalam pertemuan tersebut beta telah meminta YAB Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak meletak jawatan namun beliau tetap dengan keputusannya.

“Beta dengan hati yang sedih terpaksa akur dan menghormati keputusan beliau,” titah Seri Paduka dalam sidang Parlimen kali pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan pada Mac lalu.