Akur desakan umum, Pakatan Harapan pelawa orang ramai cipta logo

Akur desakan umum, Pakatan Harapan pelawa orang ramai cipta logo

Akur dengan kritikan umum terhadap draf logo Pakatan Harapan yang dimuat naik naib presiden PKR Rafizi Ramli di laman Facebook, Media Pakatan Harapan mempelawa orang ramai untuk membantu merekacipta logo Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, pihak Media Pakatan Harapan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi komen, maklum balas, kritikan serta cadangan yang membina.

“Setelah mengambil kira dapatan dan pandangan umum yang telah diberi, serta berpandukan pandangan dari kalangan pimpinan Pakatan Harapan, pihak Media Pakatan Harapan mengalu-alukan cadangan balas reka bentuk logo Pakatan Harapan dari pihak yang berminat,” kenyataan media itu dipetik.

Garis-garis panduan mencipta logo ini adalah seperti berikut:

  • Sebaik mungkin, logo perlulah terdiri daripada dua warna, dan perlu disertakan versi hitam-putih untuk tujuan paparan di kertas undi.
  • Logo mestilah menggunakan simbol yang mudah dikenali atau difahami ramai.
  • Logo perlu mempunyai rasional berteraskan konsep-konsep “harapan”, “demokrasi”, “keadilan”, “integriti” dan “perpaduan”.
  • Logo mestilah boleh dilihat sepenuhnya pada skala kecil (seperti pada lencana baju) dan besar (seperti bendera bersaiz besar)
  • Logo versi akhir sebaiknya adalah dalam format ‘outlined vector’ dan dibuat menggunakan Adobe Illustrator (.ai) atau program seumpamanya.

Orang ramai boleh menghantar cadangan logo Pakatan Harapan ke [email protected] mulai hari ini sehingga jam 10 pagi, Selasa 9hb Mei 2017.

Sertakan sekali nama, nombor MyKad serta nombor telefon pereka logo.

Penganjur berhak ke atas logo yang diterima untuk kegunaan Pakatan Harapan, dan boleh membuat perubahan kepada corak asal.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi [email protected]

COMMENTS

Wordpress (0)