Al Baraka sasar peluas operasi di Asia

Al Baraka sasar peluas operasi di Asia

Al Baraka Banking Group (ABG) yang berpangkalan di Bahrain, menyasarkan untuk memperluas operasinya di Asia, dengan Malaysia, China dan Indonesia, dikenal pasti dalam pelan strategik jangka sederhananya.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya Adnan Ahmed Yousif berkata kumpulan perbankan itu akan menjadikan Malaysia batu loncatan di Asia memandangkan negara ini merupakan pasaran penting bagi perbankan Islam.

“Malaysia merupakan negara maju dengan sektor perbankan yang sangat baik. Saya berpendapat jika hendak meluaskan operasi di Asia atau Timur Jauh, anda perlu berada di Malaysia terlebih dahulu,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Ditanya mengenai hubungan antara Malaysia dan Bahrain, Adnan menyifatkannya sebagai ‘cemerlang dalam sektor kerajaan dan perbankan’, dan boleh dipertingkatkan lagi menerusi pembangunan institusi.

“Kita wajar memikirkan bahawa perhubungan perlu sentiasa diwujudkan secara peribadi dan institusi,” katanya.

Al Baraka kini beroperasi di 16 negara di Timur Tengah, Asia dan Afrika, dengan 700 cawangan di rantau ini. Kehadirannya di Asia adalah menerusi operasinya di Indonesia, dengan ABG membuka pejabat perwakilan di negara Islam terbesar itu.

Sehingga 31 Dis, 2017, jumlah aset kumpulan perbankan itu sebanyak US$25.5 bilion, peningkatan sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya, yang mencerminkan perkembangan asas pelanggan, serta aktiviti pembiayaan dan pelaburan.

ABG juga mahu mewujudkan 51,000 pekerjaan dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan melalui pembiayaan bertanggungjawab, dengan merancang untuk mengembangkan pekerjaan dalam kedua-dua sektor.

“Kami mempunyai strategi lima tahun, antara 2016 dan 2020, dengan tumpuannya kepada tiga matlamat, iaitu pekerjaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Dalam tempoh lima tahun, kami akan membelanjakan US$190 juta untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan bernilai US$54 juta, dengan 51,000 peluang pekerjaan.

“Kami akan mewujudkan 51,000 pekerjaan menerusi pembiayaan ke atas projek serta memastikan ia direalisasikan. Jika tidak, kami tidak akan menyediakan pembiayaan. Kami perlu melihat projek yang mewujudkan pekerjaan,” katanya.

Adnan menegaskan mengenai perlunya perubahan minda dalam kalangan penggiat industri kewangan Islam bagi menerima pakai teknologi kewangan (fintech).

“Bank-bank Islam perlu seiring dengan perubahan, anda tidak boleh ketinggalan di belakang institusi lain. Eropah kini menerajui (pelaksanaan fintech), manakala Timur Jauh sudah bersedia untuk itu,” katanya.

ABG melancarkan perkhidmatan perbankan digital perintisnya di Jerman pada September tahun lepas dengan rancangan untuk menawarkan perkhidmatan kewangan tanpa faedah di seluruh Eropah melalui anak syarikat Turki, Albaraka Turk.

“Kami mempunyai 224 cawangan di Turki. Kami melaksanakannya  (perkhidmatan digital) di Jerman memandangkan terdapat kira-kira dua juta rakyat Turki bekerja di sana. Mereka berminat terhadap produk Islam dan oleh itu, kami mewujudkan Insha, perkhidmatan digital Islam pertama (untuk mereka),” kata Adnan.

— BERNAMA