Al-Ikhsan labur RM2 juta buka empat kedai konsep bola sepak

Al-Ikhsan labur RM2 juta buka empat kedai konsep bola sepak

Rangkaian gedung barangan sukan Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd membuat pelaburan bernilai RM2 juta untuk membuka empat kedai konsep bola sepak premium, Football Republic pada tahun ini.

Kedai keempat yang berkonsepkan sedemikian dibuka di Kuantan pada hari ini sebelum diperluaskan di Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Johor Bahru.

Pengurus Besar Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali berkata kebiasaannya pihak syarikat akan melabur dalam lingkungan RM300,000 bagi setiap cawangan Football Republic, namun peruntukan itu ditambah ekoran permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

“Pembukaan empat cawangan baharu itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Al-Ikhsan sebagai peneraju penjual barangan keperluan bola sepak terutamanya yang berkualiti tinggi dan premium.

“Peminat boleh mendapatkan peralatan bola sepak premium dan berkualiti tinggi di Football Republic yang tidak ada dijual di tempat lain, kita bekerjasama dengan rakan niaga seperti Nike, Adidas, Puma dan Umbro untuk membawanya ke Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran kedai Football Republic di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Hadir sama ialah Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh dan Ketua Pasukan Pahang, Matthew Davies bersama rakan sepasukan.

Mizal berkata peminat perlu menyokong industri bola sepak negara dengan membeli barangan asli demi kelangsungan ekonomi penggiatnya sekali gus merancakkan saingan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Saya berharap agar peminat membeli barangan asli, perkara (pembelian barangan ciplak) ini sangat serius kerana ada laporan menyebut jumlah dagangannya melebihi RM1 bilion.

“Jumlah itu lebih besar lima hingga enam kali ganda daripada nilai dagangan Al-Ikhsan, soalnya ke mana wang itu pergi…adakah ia sampai kepada pasukan? Tidak, sebaliknya hanya orang tertentu menikmatinya.

“Ia tidak membantu sukan bola sepak negara dan peminat harus menyokong dengan membeli barangan asli,” katanya.-BERNAMA