Malaysia Dateline

Al-Sisi didekati, Ikhwanul Muslimin dihindari, Pas kekal sepi

Perjuangan Pas pada satu ketika dahulu tidak dibentuk atas landasan untuk menjuarai isu-isu umat Islam dalam negara sahaja. Akan tetapi, apa sahaja nasib yang menimpa umat Islam di seluruh dunia akan dianggap sebagai luka panjang yang turut memedihkan batang tubuh Pas.

Semua isu umat Islam akan mendapat perhatian segera daripada Pas. Sedar diri mereka hanyalah parti pembangkang yang tiada kekuatan pengaruh dan kewangan.

Maka hanya kutukan, demontrasi, penyerahan memorandum di kedutaan-kedutaan boleh dilakukan selain merakamkan takziah melalui wakil yang dipilih.

Oleh kerana Pas memiliki media seperti Harakah, maka isu-isu itu akan dimuatkan juga dalam setiap keluaran untuk tatapan ahli-ahli sebagai pengetahuan am dalam memahami isu-isu semasa.

Penindasan rejim Zionis-Israel ke atas Palestin antara yang masih disuarakan hingga kini, begitu juga tragedi yang menimpa umat Islam di Bosnia-Herzegovina, di Patani, pembantaian etnik Uyghur, etnik Rohingya dan sebagainya adalah torehan perjuangan yang sentiasa dibangga-banggakan oleh Pas.

Selain masalah umat Islam, rantaian gerakan-gerakan Islam di luar negara juga penting kepada Pas yang dianggap rakan strategik dan berjuang di negara masing-masing. Tidak ada kisah duka mereka yang terlepas daripada pengetahuan Pas.

Nasib yang menimpa Barisan Pembebasan Islam (FIS) di Algeria, Hamas di Palestin, Ikhwanul Muslimin di Mesir merupakan antara nama gerakan Islam serta contoh penting yang sentiasa diulang-ulang dalam program-program seperti usrah, mukhayyam, tamrin, muktamar dan sebagainya bagi membangkitkan kesedaran ahli Pas tentang perjuangan Islam yang dibawa.

Segelintir menganggap nama-nama negara seperti Turki, Iran, Palestin, Mesir, Arab Saudi hanya sekadar negara sebagai destinasi pelancongan, perdagangan, pendidikan, ibadah haji dan sebagainya.

Tetapi bagi Pas, semua negara Islam di seluruh dunia ibarat sebuah kesatuan yang mesti digandingkan untuk membina satu kekuatan dan kebangkitan Islam yang baharu.

Oleh itu, apa sahaja perkembangan di sana akan dipantau. Jika duka melanda, Pas akan menangis. Jika gembira tiba, Pas akan tersenyum lebar.

Apabila Revolusi Iran berlangsung pada 1979 dan berjaya menumbangkan monarki Shah Iran, Pas turut menumpang semangat dan menikmati angin kebangkitan itu di Malaysia.

Revolusi itu membangkitkan gelombang baharu kepada gerakan Islam di Malaysia terutamanya kepada Pas. Pada masa itu tidak timbul soal perbezaan mazhab Sunni-Syiah seperti sekarang.

Kemenangan umat Islam yang bersolat pada kiblat yang sama diraikan secara spontan tanpa melihat kepada latar belakang mazhab anutan mereka.

Apabila revolusi kebangkitan Arab melanda Asia Barat atau Timur Tengah antara 2010 dan 2011, Pas melihat proses ini sebagai kebangkitan yang perlu disokong.

Bermula di Tunisia, Libya, Mesir dan seterusnya, satu demi satu kekuasaan diktator ditumbangkan melalui protes jalan raya.

Dalam kalangan negara yang bergelut, perhatian penting telah diberikan ke atas Mesir apabila Hosni Mubarak ditumbangkan. Kejatuhan Hosni selepas memerintah Mesir selama 30 tahun telah membuka ruang kepada proses demokrasi pilihan raya dijalankan.

Gerakan Islam popular, Ikhwanul Muslimin tampil menjadi komponen penting sebelum, semasa dan selepas revolusi itu.

Apabila laluan demokrasi dibuka, Ikhwanul Muslimin menyertai pilihan raya dengan menggunakan parti politik yang dikenali Freedom and Justice Party (FJP). Nama tokoh besar Ikhwanul Muslimin, Dr Mohamed Morsi dicalonkan untuk merebut jawatan presiden.

Hasilnya, buat pertama kali, Mesir telah menuai hasil daripada proses demokrasi yang telus dan bersih apabila Dr Mohamed Morsi terpilih sebagai Presiden Mesir.

Pada awal pentadbiran, Dr Mohamed telah membantu Palestin dengan mengarahkan agar sempadan laluan dari Mesir menuju ke Gaza dibuka.

Mana-mana pemimpin akan segera popular jika menjadikan Palestin sebagai instrumen penting dalam membina imej dan pengaruh.

Sehingga kini, penduduk Palestin tidak melupakan jasa bekas presiden itu kerana memudahkan penghantaran barang-barang, perubatan dan sebagainya sampai kepada mereka dari Mesir.

Akan tetapi panas yang disangka hingga ke petang, rupa-rupanya hujan menimpa di tengahari. Tidak sampai setahun memerintah, pada Julai 2013, Dr Mohamed berhadapan dengan demonstrasi yang didalangi oleh orang kepercayaannya, Jeneral Abdul Fattah Al-Sisi.

Kesudahannya, Dr Mohamed digulingkan, ditangkap, dipenjarakan dan dibicarakan di mahkamah Mesir.

Seluruh dunia termasuk Pas marah dengan tindakan tersebut.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang telah menulis kenyataan pada Ogos 2013 yang menggesa dunia agar bangkit menyatakan bantahan terhadap penggulingan Dr Mohamed dan mengambil tindakan terhadap Al-Sisi kerana merampas kuasa.

Morsi terus terseksa sepanjang beliau dipenjarakan sehingga akhirnya beliau meninggal dunia pada 2019 semasa perbicaraan di mahkamah.

Tentunya kematian ini ditangisi oleh Pas kerana menganggap beliau sebagai mangsa kezaliman Al-Sisi. Akan tetapi semua itu berlangsung semasa Pas masih menjadi pembangkang.

Kini Pas merupakan sebahagian daripada kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (PN).

Tiga ahli Parlimen Pas dilantik sebagai menteri manakala Abdul Hadi Awang pun diberikan ghanimah jawatan istimewa iaitu Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah Bertaraf Menteri.

Jawatan itu pada awalnya dilihat layak dan ideal dengan profil Abdul Hadi sebagai tokoh pemimpin gerakan Islam yang mahir dengan selok-belok permasalahan ummah di rantau itu.

Pada masa sama, ahli-ahli Pas mungkin percaya bahawa gerakan Islam yang berada di Timur Tengah termasuklah Ikhwanul Muslimin akan memberi sanjungan dan penghargaan kepada Abdul Hadi atas pelantikan itu.

Harapan besar ahli-ahli Pas adalah Abdul Hadi bakal menjadi wakil penting kepada Malaysia di Timur Tengah; rantau yang sentiasa berada dalam benak fikiran dan sanubari dia.

Ramai Percaya suara lantang yang serak-serak basah Abdul Hadi akan menakutkan rejim Zionis Israel yang gemar menindas Palestin, pertelagahan di Syria akan reda kerana kebijaksanaan Abdul Hadi memberi pelan pemulihan manakala perang proksi Yaman akan pulih dan tamat.

Malangnya itu semua tidak berlaku.

Sebaliknya, secara terbuka dan tidak sensitif waktu, Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin telah mengadakan pertemuan dalam talian dengan Al-Sisi; musuh utama Pas di Mesir pada 17 Jun lalu.

Sementara itu Menteri Luar, Hishamuddin Tun Hussein pula ke Mesir dalam tempoh tersebut. Mengapa disebut waktu pertemuan antara dua pemimpin negara itu tidak sensitif?

Mudah, kerana pada tempoh terdekat sebelum itu, seramai 12 ahli Ikhwanul Muslimin yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tertinggi Mesir atas tuduhan menganjurkan demonstrasi sehingga mengakibatkan kematian pasukan keselamatan.

Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr Ahmad Al-Raysuni dan setiausaha, Sheikh Dr Ali-Qurrah Daghi menyifatkan hukuman tersebut sebagai bermotif politik dan melanggar prinsip keadilan.

Akan tetapi, anehnya hingga kini, seperti langsung tidak terdengar walau sekelumit halus suara pemimpin Pas, tidak terbaca walau dua patah tulisan pemimpin Pas, tidak tersiar walau sekecil zarah artikel pemimpin Pas di Harakahdaily yang mengutuk Al-Sisi dan menegur sikap tidak sensitif Mahiaddin.

Jangankan hendak bersuara membantah, mahu menasihatkan Mahiaddin supaya memilih tarikh lain pun tidak berani.

Nyatalah kini bahawa wang dan kedudukan semakin berkuasa untuk menundukkan suara lantang Pas satu ketika dahulu. Hukuman ke atas ahli Ikhwanul Muslimin ini pun nampaknya seperti tidak menarik minat pemimpin Pas untuk bersuara.

Sekadar semakan di Harakahdaily, tiada berita yang menyentuh mengenai isu ini. Sebaliknya, berita kecaman terhadap Al-Sisi di Harakahdaily pula di”Error 404″kan.

Ternyata, Pas kini hanyalah terompah yang digunakan penguasa untuk ke tandas.